Pocophone F1 | |
---|---|
Skrin | 6.18” IPS LCD, FHD+ Nisbah 18.7:9, 403 ppi |
Chipset | Qualcomm Snapdragon 845 |
CPU | 4 x Kryo 385 Gold 2.8 GHz 4 x Kryo 385 Silver 1.7 GHz |
GPU | Adreno 630 |
Memori | 6GB RAM |
Storan | 64GB/128GB UFS 2.1 mikroSD sehingga 256GB |
Kamera Utama | 12MP f/1.9 + 5MP f/2.0 |
Kamera Hadapan | 20MP f/2.0 |
Sambungan | WiFi 802.11 a/b/g/n/ac Bluetooth 5.0 A-GPS, GLONASS USB-C |
Sistem | MIUI untuk Poco Android 8.1 Oreo |
Bateri | 4000 mAh, Quick Charge 3.0 |
Dimensi | 155.5 x 75.3 x 8.8 mm |
Berat & Ketebalan | 180g, 8.8mm |
Tempoh Penggunaan |
2 bulan |
Tahun ini kita menyaksikan banyak telefon pintar bajet telah hadir, yang kebanyakannya mempunyai penawaran spesifikasi yang menarik. Antara peranti awal yang berjaya mencuri perhatian ramai adalah Honor Play, yang menggarapkan sejumlah fungsi peranti berspesifikasi tinggi pada harga mampu-milik. Ia membawakan cip yang sama digunakan pada Huawei P20, disamping menjadi peranti pertama yang membawakan sokongan GPU Turbo.
Namun selepas dua bulan pelancaran peranti Honor Play ini, pesaingnya telah muncul, yang mana membawakan penawaran spesifikasi yang lebih tinggi dan menarik. Ia dibangunkan di bawah jenama baru menerusi Pocophone iaitu sub-jenama diasaskan di bawah jenama Xiaomi. Ia diwujudkan kerana ingin memfokuskan pembangunan peranti berspesifikasi tinggi dan dalam masa yang sama, mereka ingin menawarkannya dalam sebuah pakej peranti mampu-milik.
Pocophone F1 juga banyak diperkatakan sejak akhir-akhir ini atas harga jualannya yang berpatutan selain mempunyai sejumlah isu yang menghantui pada peranti ini. Ulasan ini mengambil sedikit masa untuk dikeluarkan kerana kami ingin mengumpul segala isu yang dihadapi pada peranti ini, terutama dari segi isu rekaan, skrin, perisian, dan lain-lain lagi. Jadi di dalam ulasan ini, kami akan turut menyentuh beberapa isu ini bagi memudahkan anda menilai sebelum membuat pembelian peranti.
Rekabentuk
Sebagai permulaan, Pocophone F1 didatangkan dengan spesifikasi tinggi seperti kehadiran skrin 6.18-inci IPS LCD, cip Snapdragon 845, memori 6GB RAM, dan dua pilihan storan iaitu 64GB atau 128GB bersama sokongan mikroSD. Ia juga menawarkan beberapa sambungan standard seperti Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, Bluetooth 5.0, bersama kapasiti bateri setinggi 4000 mAh.
Bagi mengurangkan harga jualan peranti, ia telah dibina dengan binaan belakang berasaskan plastik, tanpa sebarang kemasan yang menarik seperti kebanyakan pesaingnya. Kebanyakan peranti pada harga sekitar RM1300 sudah mula menggunakan binaan yang premium, selain menyajikan pilihan warna cerun (gradient) yang menarik, seperti yang dilihat pada Huawei nova 3i. Peranti lain seperti Vivo V11i juga turut membawakan rekaan yang serupa, melalui tampilan dua warna berbeza di bahagian belakang.
Namun bagi saya, binaan plastik ini tidak menjadi isu yang besar kerana rata-rata pengguna akan membeli aksesori seperti perlindung peranti sebaik sahaja mereka menerima peranti ini. Jadi dengan pemakaian aksesori ini, ia akan menutupi rekaan belakang ini secara menyeluruh sekaligus “menyorokkan” binaan plastik ini. Tetapi sekiranya anda gemar menggunakan telefon sahaja tanpa memakai sebarang aksesori, penggunaan binaan plastik ternyata lebih lasak berbanding kaca, selain tidak menampilkan sebarang kesan cap jari.
Dari segi sambungan, ia tidak menampilkan sokongan NFC yang dilihat berguna sekiranya anda gemar menggunakan CIMB Pay atau MaybankPay. Di bahagian bawahnya terdapat sambungan USB-C, dan menariknya, ia masih mengekalkan sambungan bicu audio 3.5mm yang ditempatkan pada bahagian atas. Ia turut menyajikan slot dwi-sim di bahagian kiri, dengan kebolehan meletakkan kad mikroSD pada slot sim kedua.
Agak menarik sebenarnya kerana peranti ini membawakan pembesar suara stereo berbanding Xiaomi Mi 8 yang tidak menampilkan sokongan ini. Prestasi bunyinya kedengaran agak lantang namun saya dapati bunyinya kurang seimbang seperti yang dialami pada peranti Xiaomi Mi MIX 2s. Saluran bunyi di bahagian bawah kedengaran lebih kuat, manakala bunyi di bahagian atas hanya menawarkan kelantangan bunyi yang sangat perlahan.
Saya sebenarnya cukup menyukai dengan fungsi imbasan wajahnya kerana ia tersangat pantas dan mampu menyahkunci peranti dengan kadar kegagalan yang sangat rendah. Ia juga lebih selamat berbanding peranti yang bergantung kepada penggunaan kamera hadapan sahaja, kerana ia dijayakan dengan penggunaan sensor inframerah. Jadi dengan sensor ini, ia juga mampu beroperasi dengan baik pada waktu gelap, tanpa perlu menaikkan keterangan skrin terlebih dahulu. Sekiranya anda gemar dengan fungsi imbasan berasaskan jari, ia juga menawarkan prestasi yang sangat pantas, dengan membolehkan peranti dibuka sebaik sahaja anda meletakkan jari anda pada sensor pengimbas cap jari.
Dari segi variasi, Pocophone F1 hanya ditawarkan dalam dua variasi sahaja di Malaysia iaitu 6GB RAM + 64GB (RM1299) dan 6GB RAM + 128GB (RM1499). Dengan sokongan kad mikroSD, anda tidak perlu risau untuk memilih variasi permulaan 64GB, dengan menjadikan kad mikroSD ini sebagai storan penyimpanan kandungan multimedia anda. Pocophone F1 untuk Malaysia telah ditawarkan dalam dua pilihan warna sahaja iaitu Graphite Black dan Steel Blue yang mana boleh dipilih sewaktu pembelian peranti. Untuk Armored Edition dengan kemasan Kevlar pula, ia hanya ditawarkan dalam variasi 6GB RAM + 128GB pada harga RM1599.
Skrin
Untuk skrinnya, peranti ini membawakan saiz skrin IPS LCD sebesar 6.18-inci, dengan resolusi skrin Full HD+ pada nisbah 18.7:9. Ia hanya hadir dengan panel berasaskan IPS LCD, namun saya boleh katakan ia masih memberikan warna yang baik, selain mempunyai darjah pandangan skrin (viewing angle) yang luas apabila dilihat dari sudut berlainan. Ia juga dilindungi dengan kaca Corning Gorilla Glass 3 bagi mengurangkan impak hentakan dan kesan calar.
Unit ditangan saya ini tidak mempunyai sebarang isu screen bleeding yang memaparkan lebihan cahaya pada bahagian atas dan bawah skrin. Namun apabila melihat komen pada kedai rasmi Xiaomi di Lazada, ada segelintir pengguna telah menerima unit yang bermasalah ini. Masalah ghost touch atau multi-touch juga tidak terjadi pada unit di tangan saya, yang mana ada pengguna ada melaporkan, ia sering berlaku ketika memainkan PUBG Mobile.
Kedua-dua isu ini tidak terjadi pada kesemua unit Pocophone F1 ini, namun nasihat saya sekiranya peranti anda terjejas dengan isu-isu ini, gunakan waranti yang ada untuk mendapatkan tukar ganti atau unit telefon yang baru.
Cuma isu yang pernah berlaku pada unit di tangan saya, adalah fungsi kecerahan skrin automatiknya yang kadangkala tidak menurun dan menaikkan keterangan skrin secara automatik. Jadi saya perlu mengalih kawalan kecerahan skrin ini dengan sendiri, terutama ketika berada di bawah sinaran matahari atau berada di dalam suasana yang gelap.
Saya juga tidak mempunyai masalah dengan rekaan takuk di bahagian atas ini, kerana ia boleh disorokkan sekiranya diperlukan. Cuma ia mempunyai satu masalah ketika memainkan PUBG, walaupun fungsi menyorokkan takuk telah diaktifkan. Bahagian takuk ini akan mengganggu butang di bahagian kiri ini, dan saya perlu menerbalikkan telefon untuk menekan butang ini. Masalah ini belum diatasi sewaktu artikel ini ditulis, walaupun telefon ini sudah menjalankan MIUI versi terkini.
Satu perkara lagi untuk pelanggan Netflix, telefon ini tidak membenarkan anda menstrim kandungan HD pada perkhidmatan ini, kerana ia tidak dilengkapi dengan pengesahan Widevine L1. Jadi dengan pengesahan Widevine L3 yang didatangkan, ia hanya mampu memainkan kandungan pada resolusi 540p sahaja, yang mana agak rugi sekiranya anda melanggan pelan Netflix “standard” dan “premium”.
Antaramuka
Dari segi antaramuka, peranti ini menjalankan MIUI for Poco, iaitu antaramuka yang sama dengan MIUI, bersama penyertaan Poco Launcher sebagai pelancar utama. Pelancar ini menawarkan tampilan talam aplikasi, yang membolehkan anda melihat senarai aplikasi mengikut warna dan jenis aplikasi tersebut. Anda juga boleh menyorokkan sejumlah aplikasi pada talam aplikasi ini, dengan mengaktifkan fungsi “Hide Apps” pada ruangan tetapan pelancar ini.
Unit di tangan saya ini telah dipasang dengan MIUI 10 beta, bagi memudahkan anda melihat apakah yang dibawa pada MIUI 10 pada Pocophone F1 ini. Antaramukanya kelihatan lebih kemas dan moden, selain membawakan sejumlah tampilan yang menyerupai antaramuka Android P. Ia masih belum ditawarkan kepada semua pengguna dan akan diberikan sebaik sahaja ia mencapai versi stabil pada akan datang.
Cuma apabila anda berada pada sesetengah negara, antaramuka ini akan memaparkan iklan, yang mana pernah terjadi pada unit saya ini sewaktu berada di Jakarta. Namun apabila kembali di Malaysia, kesemua iklan tidak lagi muncul sepanjang 2 bulan penggunaan saya bersama peranti ini. Sekiranya ia terjadi pada anda, anda boleh menutup paparan iklan ini melalui Security > tekan pada butang settings > dan tutup butang Receive recommendations.
Prestasi
Untuk prestasinya, telefon ini dijana dengan cip yang sama digunakan pada kesemua peranti berspesifikasi tinggi tahun ini, melalui penggunaan cip Qualcomm Snapdragon 845. Ia membawakan cip lapan-teras, menerusi 4 x Kryo 385 Gold 2.8 GHz + 4 x Kryo 385 Silver 1.7 GHz, bersama penggunaan GPU Adreno 630. Cip ini merupakan cip yang terpantas untuk siri Snapdragon tahun ini, dengan membolehkan anda memainkan sejumlah permainan terkini seperti Fornite dan PUBG Mobile pada tetapan grafik tertinggi.
Tetapi perkara yang saya cukup suka pada peranti ini, ia kurang memberikan haba yang panas, yang mana dibantu melalui sistem penyejukkan berasaskan cecair. Ia bukanlah cecair yang mengalir seperti yang terdapat di dalam PC, tetapi sebaliknya, ia terdiri daripada cecair kecil yang ditukar menjadi wap bagi memudahkan proses pengalihan haba. Memainkan PUBG Mobile selama lebih 30 minit masih terasa sangat selesa, dengan pengeluaran haba yang sangat minima pada bahagian belakang peranti ini.
Kamera
Dari segi keupayaan kamera, Pocophone F1 membawakan sistem dwi-kamera, melalui padanan sensor utama 12MP f/1.9 (Sony IMX363) dan sensor kedua 5MP f/2.0 untuk hasilan bokeh. Dengan harga peranti yang berpatutan, ia tidak didatangan dengan sistem penstabilan optikal (OIS), namun masih menawarkan sistem penstabilan elektronik (EIS) untuk mengurangkan kesan gegaran ketika melakukan penggambaran. Untuk penggambaran malam, ia dilengkapi dengan lampu flash LED dengan sokongan pencahayaan dua tona warna.
Untuk kualitinya, ia memberi kualiti yang cemerlang ketika digunakan pada waktu siang, dengan memberikan konstras yang baik bersama keperincian imej yang tajam. Warnanya kelihatan hidup dengan perwarnaan yang hampir semula jadi, bersama kebolehan julat dinamik (dynamic range) yang cukup memuaskan. Prestasi fokusnya juga kelihatan sangat pantas, melalui teknologi Dual Pixel PDAF yang didatangkan.
Cuma apabila digunakan pada pencahayaan yang rendah, keperincian imejnya akan mudah menjadi lembut, yang mana juga didorang atas ketiadaan sistem penstabilan optikal (OIS). Untuk mengurangkkan isu ini, fungsi HDR dapat meningkatkan lagi keperincian imej, selain membantu untuk memberi hasil penggambaran yang lebih terang.
Untuk kebolehan Portrait Mode, ia kelihatan sangat baik, dengan memberi kesan kabur yang hampir sempurna apabila diteliti pada bahagian sisi subjek. Cuma ia tidak menawarkan kebolehan menyunting kesan kabur selepas gambar diambil, seperti yang ditawarkan pada peranti Huawei P20 dan iPhone XS.
Kamera hadapan dengan sensor 20MP sering memberi keperincian swafoto yang tajam, bersama hasil yang cukup terang. Cuma seperti kebanyakan peranti sekelasnya, ia kelihatan sedikit memutihkan warna kulit, walaupun fungsi pencatikkan wajah telah dimatikan. Ia turut dilengkapi dengan kebolehan Portrait Mode yang kemas untuk hasilan kesan kabur di bahagian belakang wajah.
Aplikasi kamera pada Pocophone F1 ini menyerupai dengan aplikasi kamera yang hadir pada peranti terkini Xiaomi seperti Xiaomi Mi 8. Ia membawakan tampilan menyerupai kamera iOS, dengan membolehkan anda menukar mod dengan menyapu jari pada skrin dari kiri ke kanan atau sebaliknya. Pada bahagian atas, anda boleh membuka dan menutup fungsi AI, iaitu fungsi yang mampu mengoptimasikan gambar berdasarkan subjek di hadapan kamera. Beberapa mod lain turut tersedia seperti Tilt Shift, Group Selfie, Beautify, dan Panorama untuk digunakan pada sesi penggambaran anda.
Pocophone F1 juga menyajikan kawalan Manual Mode, dengan kebolehan untuk mengubah shutter speed dari 1/1000s sehingga 32s. Ia juga membolehkan anda untuk mengubah white balance, fokus, dan ISO dari 100 sehingga 3200.
Sokongan rakaman videonya menyokong sehingga resolusi 4K, namun fungsi EIS hanya boleh diaktifkan untuk resolusi 1080p sahaja. Ia memberi hasil yang sangat stabil tanpa sebarang isu gegaran dan “focus hunting” sewaktu mengambil rakaman. Ia juga dilengkapi dengan fungsi rakaman gerak perlahan, yang membolehkan anda mengambil rakaman 240 fps pada resolusi 1080p.
Bateri
Dari segi ketahanan bateri, Pocophone F1 telah menawarkan kapasiti bateri yang cukup besar berbanding peranti harga sekitarnya, iaitu dengan penawaran kapasiti 4000 mAh. Kapasiti ini dilihat sama seperti Xiaomi Redmi Note 5, selain meninggalkan kapasiti bateri Honor Play (3750 mAh) dan Xiaomi Mi 8 (3400 mAh). Dengan penggunaan cip 10nm melalui Snapdragon 845 dan kapasiti bateri sebesar ini, ia dijangka dapat memberi penggunaan sepanjang hari dengan masa nyalaan skrin (screen-on-time) yang lama.
Sepanjang menggunakan peranti ini, saya sering mendapat bacaan nyalaan skrin sekitar 6-7 jam untuk penggunaan dari pukul 9 pagi sehingga ke 11 malam. Bacaan ini dilihat sangat baik, kerana ia mampu memberi ketahanan melebihi 4 jam — iaitu suatu bacaan standard untuk peranti moden hari ini. Ia juga dilengkapi dengan fungsi pengecasan pantas, yang membolehkan bateri peranti ini dicas dari 0 – 100% dalam masa hanya 1 jam 57 minit.
Rumusan
Pocophone F1 dilihat menyajikan sebuah peranti yang berkuasa dengan mengekalkan beberapa fungsi penting untuk mengurangkan harga jualan peranti. Namun soalan yang sering ditanya pengguna, adakah peranti Pocophone F1 ini berbaloi untuk dimiliki? Sekiranya anda tidak kisah dengan empat perkara ini, seperti segala isu dihadapi, tidak boleh memainkan kandungan HD pada Netflix, ketiadaan NFC, dan tidak kisah dengan paras rupa peranti, peranti ini adalah disyorkan untuk anda.
Sekiranya tidak, Honor Play adalah peranti alternatif terbaik, kerana ia jarang mempunyai isu, boleh memainkan kandungan HD pada Netlfix, mempunyai NFC, dan hadir dengan binaan lebih menarik. Cuma kelemahannya, ia menggunakan cip generasi terdahulu, hanya menawarkan memori 4GB RAM, selain hadir dengan kapasiti bateri yang sedikit kecil.
Tetapi dengan harga bermula RM1299, Pocophone F1 ini sangat mudah untuk disyorkan kerana ia merupakan peranti termurah dengan cip Snapdragon 845, iaitu cip yang sama digunakan pada peranti berspesifikasi tinggi terkini seperti Google Pixel 3. Ia juga mempunyai keupayaan kamera yang baik untuk situasi mesra cahaya, selain mempunyai ketahanan bateri yang sangat memuaskan lebih-lebih lagi untuk kegunaan permainan.
Pro
- Peranti dengan cip Snapdragon 845 termurah di pasaran.
- Mempunyai sistem penyejukkan berasaskan cecair.
- Menyajikan binaan peranti yang kukuh dan selesa di tangan.
- Hadir dengan sistem imbasan wajah IR dan jari yang sangat pantas.
- Menawarkan paparan IPS LCD dengan warna yang sangat baik.
- Mempunyai sokongan pembesar suara stereo.
- Hadir dengan kapasiti bateri yang besar.
- Menyokong pengecasan pantas Quick Charge 3.0.
- Keupayaan kamera hadapan dan belakang yang sangat memuaskan.
- Rakaman video 1080p dilengkapi dengan sistem penstabilan EIS.
- Mengekalkan slot kad mikroSD dan bicu audio 3.5mm.
Kontra
- Mempunyai sejumlah isu seperti screen bleeding (sebilangan unit kecil), multi-touch (sebilangan unit kecil) dan takuk mengganggu ketika PUBG.
- Tiada pengesahan Widevine L1 untuk tontonan HD pada Netflix.
- Tidak menawarkan fungsi NFC.
- Rekaan peranti kurang menarik berbanding pesaingnya.
Apa yang menarik lagi, ia turut menyajikan kepelbagaian fungsi ekstra seperti sokongan pembesar suara stereo, Quick Charge 3.0, dan imbasan wajah inframerah, bagi melengkap lagi pengalaman penggunaan peranti ini. Ia juga mengekalkan dua fungsi penting yang tidak ditawarkan pada peranti berspesifikasi tinggi pada hari ini, iaitu slot mikroSD dan bicu audio 3.5mm. Pendek kata, sekiranya anda tidak melihat isu yang dihadapi sebagai isu besar, Pocophone F1 bukan sahaja penawaran yang berbaloi dari segi fungsinya, tetapi turut menyajikan prestasi yang tiada tindangan untuk harganya.