Honor Magic 2 akan dilancarkan minggu hadapan serentak dengan Honor Watch. Keunikan Magic 2 terletak pada sistem kamera hadapan boleh lungsur pada bahagian hadapan. Terdapat banyak spekulasi mengenai rekaan peranti ini dan imej rasminya telah dikongsi sendiri oleh pihak Honor di media sosial.
Ia memperlihatkan panel belakang yang diperbuat daripada kaca dan sistem tri-kamera. Apa yang kami rasakan menarik ialah ia benar-benar kelihatan seperti panel belakang Huawei P20 Pro. Pada bahagian hadapan pula terdapat mekanisme kamera lungsur yang membolehkan skrin peranti hadir dengan rekaan nirtakuk.
Berdasarkan sensor di hadapan, besar kemungkinan Magic 2 juga menyokong imbasan wajah 3D seperti Mate 20 Pro yang dilancarkan minggu lalu. Selain itu ia telah disahkan dijana cip Kirin 980. Honor Magic 2 akan dilancarkan secara rasmi pada 31 Oktober ini.