Celcom Dan UKM Bekerjasama Membangunkan Platform Digital & E-Dagang Di Tasik Chini

Celcom Dan UKM Bekerjasama Membangunkan Platform Digital & E-Dagang Di Tasik Chini

Diterbitkan pada Okt 22, 2018 oleh .

Baru-baru ini, Celcom Axiata Berhad bersama-sama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah memperluaskan agenda mereka untuk memperkasa komuniti Tasik Chini dengan perhubungan digital dan e-dagang. Di dalam perjanjian yang telah dipersetujui, syarikat telekomunikasi itu ingin membawakan kemajuan digital kepada Orang Asli di kawasan itu di samping mempelihara alam sekitar.

Celcom telah melancarkan Sri Gumum Cyber Cube, di mana komuniti Tasik Chini boleh menerima akses internet serta perkongsian ilmu dan latihan untuk bidang e-dagang. Melalui kerjasama ini, ia akan membantu masyarakat di Tasik Chini, khususnya Orang Asli menceburi bidang perniagaan atas talian bagi memperluas pemasaran produk-produk mereka ke pasaran yang lebih besar. Syarikat telekomunikasi itu juga telah menyediakan platform atas talian, ‘DesaMall’ dan katalog digital yang dinamakan ‘Pribumi Mall’ yang dibangunkan dalam 11Street tahun lepas.

Selari dengan agenda untuk memelihara alam sekitar, 1,000 pokok telah ditanam semula di kawasan Tasik Chini. Pertumbuhan pokok-pokok yang ditanam akan direkod secara digital melalui kod QR. Ia merupakan satu inisiatif digital dari Celcom untuk merapatkan jurang digital di antara komuniti luar bandar selain daripada membuka peluang untuk masyarakat di kawasan itu meningkatkan taraf hidup dan status ekonomi. Prof. Dr Mohd Ekhwan turut mengatakan bahawa kerjasama di antara UKM dan Celcom merupakan perkongsian pintar antara institusi akademik dan syarikat telekomunikasi swasta, yang mana inisiatif dari Celcom untuk melestarikan Tasik Chini dapat memberikan faedah dalam jangka masa panjang serta meliputi pelbagai bidang termasuk merangkumi penyelidikan, kajian kes, konsultasi, pengkomersialan, dan latihan bagi akademik dan pelajar.

Hasil dari kerjasama ini, ia dapat membantu Tasik Chini mengekalkan pengiktirafan antarabangsa sebagai rizab biosfera. Sebelum ini juga, Celcom telah menjalankan inisiatif lain termasuk penambahbaikan liputan 4G LTE di kawasan Tasik Chini bagi mengukuhkan rangkaian LTE mereka.


TIPS & ULASAN