Cari @ Amanz

Bagi pengguna yang mengikuti perkembangan bank tempatan, mungkin sedia maklum berkenaan ciri terbaru yang telah mula diperkenalkan, dinamakan DuitNow. Melaluinya, ia memberikan beberapa alternatif mudah untuk pembayaran ke akaun pengguna dan tidak terikat kepada penggunaan nombor telefon sahaja. Alternatif yang diberikan adalah termasuk menggunakan nombor kad pengenalan, nombor telefon, atau nombor passport.

DuitNow diterajui oleh Paynet, salah satu agensi yang dimiliki oleh Bank Negara. Berkongsi mengenainya hari ini, Paynet mengatakan DuitNow akan diperkenalkan kepada semua pengguna pada Disember 2018 ini.

DuitNow

Dengan pengenalan berkenaan, pengguna boleh membuat integrasi nombor telefon atau MyKad ke akaun mereka, dan menerima bayaran terus ke akaun mereka apabila sesuatu pembayaran dibayar menggunakan nombor telefon atau MyKad. Pengenalan ciri ini akan memudahkan beberapa proses pembayaran, termasuk sekiranya kerajaan ingin membuat pembayaran kepada rakyat, atau sekiranya pengguna ingin membayar kepada syarikat (menggunakan nombor pendaftaran SSM).

Buat masa ini, sebanyak 7 bank tempatan telah memulakan pra-daftar untuk DuitNow, dimana akaun bank anda dipautkan terus ke nombor telefon. Seperti biasa, mereka yang tidak ingin akaun mereka dipautkan, boleh nyah-aktifkannya dengan membalas SMS berkenaan sebelum 30 November 2018 ini.

Selepas tarikh berkenaan, bermula 8 Disember 2018, pengguna boleh menguruskan pautan berkenaan melalui bank atas-talian atau aplikasi mudah-alih bank-bank berkaitan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd