Cari @ Amanz

ASUS memperkenalkan peranti pintar yang memfokuskan kepada permua ASUS ROG Phone sewaktu acara COMPUTEX Taipei pada pertengahan tahun ini, dan setelah berbulan menunggu, ia akhirnya akan memasuki pasaran tempatan.

ASUS ROG Phone ini dilengkapi dengan paparan bersaiz 6.0 inci pada resolusi 2160×1080 pixel yang dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 845, memori sebanyak 8GB dan pilihan storan 128GB dan 512GB bersama-sama dengan bateri sebesar 4000mAH.

Diantara ciri-ciri menarik yang hadir pada peranti ini termasuklah kebolehan melewah jam X Mode, butang kapasitif Air Trigger, dan juga sistem nyalaan RGB Aura Sync.

Paparan ROG Phone ini juga hadir dengan kadar segar semula 90Hz dan sokongan untuk HDR yang boleh digunakan pada beberapa aplikasi permua dan juga Netflix.

Dalam pada itu, peranti ROG Phone ini turut hadir dengan pelbagai aksesori yang membuatkan pengalaman bermain permua anda lebih baik lagi.

Pihak ASUS Malaysia mengumumkan bahawa pra-tempahan peranti ASUS ROG Phone bermula hari ini pada harga RM3499 untuk model dengan storan 128GB, dan RM3999 untu model dengan storan 512GB di kedai atas talian Shopee dan Lazada ASUS Malaysia.

Setiap pra-tempahan peranti ini akan hadir dengan kerangka khusus untuk ROG Phone ini, dan juga sebuah kipas penyejuk yang boleh digunakan untuk menyejukkannya ketika bermain permua yang bernilai RM450.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd