Cari @ Amanz

Huawei Mate 20 Pro ialah peranti mercu terkini di pasaran Malaysia. Ia adalah jawapan Huawei kepada pesaing terdekat mereka. Senjata utama Huawei bukan hanya terletak pada sistem tri-kamera yang dipelopori mereka, tetapi beberapa lagi fungsi yang tidak hadir pada peranti lain. Di bawah ialah senarai 10 perkara paling menarik yang kami temui pada Huawei Mate 20 Pro selepas menggunakannya selama seminggu.

1. Lensa Sudut Ultra Lebar

Lensa sudut ultra lebar ialah fungsi “membunuh” yang paling menarik perhatian kami apabila menggunakan Mate 20 Pro buat pertama kali. Dengan hadirnya sokongan ini, mengambil gambar dari jarak dekat akan menjadi lebih mudah dan pada waktu yang sama menghasilkan gambar yang kelihatan lebih epik dari biasa. LG adalah yang pertama menggunakan sistem lensa sudut ultra lebar tetapi gagal memasarkan peranti mereka dengan baik. Huawei mempunyai rekod yang baik mempromosikan peranti mercu mereka.

Kami amat yakin pasca Mate 20 Pro. penggunaan lensa sudut ultra lebar akan menjadi ikutan pengeluar lain pada tahun 2019. Kami kini tidak boleh membayangkan menggunakan peranti yang tidak dilengkapi lensa ini. Ia secara harfiah memberikan perspektif baru ketika mengambil gambar.

2 .Pengecasan Adi Pantas 40W

Pengecasan pantas mengurangkan waktu menunggu apabila kehabisan peranti. Kerana pentingnya peranti dalam kehidupan harian, bateri yang besar sahaja tidak memadai sekiranya pengecasannya lama. Mate 20 Pro dilengkapi bateri 4200 mAh yang agak besar berbanding peranti mercu dengan saiz tubuh setanding. Tetapi dengan pengecasan SuperCharge 40W, waktu pengecasannya lebih pantas. Bateri boleh mencapai tahap 70% dalam masa 30 minit sahaja. Huawei juga menyertakan pengecas ini dengan setiap pembelian tidak seperti sebilangan pengeluar lain.

3. Pengecasan Nirwayar Dua Hala

Huawei akhirnya menyokong pengecasan nirwayar pada kuasa 15W. Ini ialah dua kali ganda lebih berkuasa berbanding yang disokong oleh Galaxy Note 9 dan iPhone XS. Pada waktu yang sama Mate 20 Pro boleh mengecas peranti lain juga secara nirwayar. Ini berguna di dalam situasi pengguna ingin membantu teman yang kehabisan bateri tetapi tidak mempunyai kabel pengecas. Mate 20 Pro ialah peranti pertama yang mempunyai sokongan pengecasan nirwayar dua hala di pasaran.

4. Easy Projection Nirwayar

Easy Projection diperlihatkan tahun lalu yang membolehkan peranti berubah kepada mod desktop apabila disambungkan kepada monitor ataupun televisyen. Sebelum ini pada Mate 10 ia memerlukan sambungan kabel tetapi kali ini Mate 20 Pro boleh melakukannya menerusi sambungan nirwayar Miracast. Huawei terlebih dahulu menyokong fungsi ini berbanding Samsung yang sebelum ini dilaporkan juga sedang membangunkan fungsi yang sama untuk DeX mereka.

5. Pengimbas Cap Jari Dalam Skrin

Kerana penggunaan skrin nirbingkai dan hampir semua skrin, tiada lagi ruang untuk pengimbas cap jari pada bahagian hadapan. Apple menyelesaikan masalah ini dengan hanya menyertakan sistem imbasan Face ID dan tidak lagi menyokong Touch ID. Huawei merasakan adalah lebih baik memberikan pilihan maka sistem imbasan wajah 3D disokong bersama dengan pengimbas cap jari fizikal di bahagian hadapan. Pengimbas cap jari terbina dalam skrin membuatkan peranti kelihatan cukup futuristik.

6. Pengimbas Wajah 3D

Pada waktu yang sama bagi yang inginkan sistem nyahkunci terpantas, sistem imbasan wajah 3D disokong pada Mate 20 Pro. Dalam penggunaan selama beberapa hari, kami mendapati imbasan wajah adalah lebih pantas berbanding pengimbas cap jari dalam skrin. Selain kepantasan, sistem imbasan 3D juga lebih selamat berbanding imbasa 2D yang digunakan 99% peranti di pasaran. Dengan sistem imbasan wajah 3D ini, Mate 20 Pro menjadi sebahagian kecil peranti di pasaran yang mempunyai fungsi unik ini.

7. Skrin OLED QHD HDR

Keluhan dari pengguna Huawei sebelum ini ialah skrin yang masih lagi hanya FHD dan tiada sokongan HDR menyeluruh. Pada Mate 20 Pro, skrin QHD+ dan sokongan HDR menyeluruh wujud sejak hari pertama. Ia pada hemat kami skrin tercantik pernah digunakan pada peranti Huawei setakat ini. Paparan skrin tajam dengan warna yang hidup. Apabila diletakkan bersebelahan sebuah Galaxy Note 9 dan iPhone XS, perbezaan kualiti skrin kini tidak lagi ketara. Penggunaan skrin yang besar juga menepati keperluan pengguna semasa yang semakin selesa dengan peranti berskrin besar bagi memudahkan mereka menstrim video kegemaran.

8. Android Pie

Masalah utama Android ialah penggunaan sistem operasi yang berusia. Malahan pasca pelancaran Android Pie, pengeluar masih lagi menggunakan Android Oreo. Ini bukan sahaja aneh tetapi tidak masuk akal. Pada Mate 20 Pro, Android Pie digunakan sejak hari pertama. Ini memastikan tampalan sekuriti dan fungsi terkini dapat digunakan tanpa perlu menanti kemaskini yang mengambil masa berbulan lamanya.

9. Pemancar Infra Merah

Pernah infra merah suatu ketika dahulu boleh ditemui pada peranti mercu Android namun kini boleh dikatakan sudah hampir pupus. Mengapa ia tidak lagi menjadi fungsi perlu tidak kami ketahui. Mate 20 Pro termasuk di dalam senarai pendek peranti dengan pemancar infra merah. Bagi insan seperti kami yang kerap kehilangan alat kawalan jauh, Mate 20 Pro boleh digunakan sebagai alat kawalan jauh sarwajagat yang tidak perlu diganti baterinya.

10. Peranti Android Paling Berkuasa Di Pasaran

Huawei Mate 20 Pro dijana pemproses Kirin 980 yang hadir dengan lapan teras. Keunikan pemproses ini ialah ia dihasilkan menggunakan teknologi 7nm yang lebih berkuasa tetapi menjimatkan penggunaan bateri. Dari ujian penanda aras yang telah kami lakukan, Kirin 980 ialah pemproses yang paling berkuasa digunakan pada peranti Android pada waktu ini. Ini membolehkan bukan sahaja permua dijalankan dengan lancar malahan melakukan proses harian tanpa sebarang masalah. Pendek kata jika kuasa memproses adalah penting, Mate 20 Pro ialah peranti yang berada di tangga di atas buat masa ini.


Baiklah ini sahaja 10 perkara paling menarik pada Mate 20 Pro yang sempat kami senaraikan. Apakah pula fungsi yang paling menarik minat pembaca Amanz? Tinggalkan pendapat bernas anda di bawah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd