Cari @ Amanz

Sejak daripada 8 Oktober 2018 lepas, ramai pengguna yang terkejut dengan beberapa bank tempatan yang telah mula membuat pendaftaran automatik untuk perkhidmatan DuitNow – sekaligus menimbulkan kekeliruaan sama ada SMS yang diterima mereka adalah sahih atau sebaliknya. Hal ini ditambah lagi dengan laman DuitNow sendiri seperti masih belum bersedia dan tidak menggunakan HTTPS, sekaligus membuatkan beberapa pelayar web memaparkan ia sebagai “Tidak Selamat”.

Walaubagaimanapun, untuk makluman semua pengguna, DuitNow adalah sebuah perkhidmatan perbankan terbaru yang diperkenalkan oleh PayNet – iaitu salah satu agensi bawah Bank Negara. PayNet juga sebelum ini telah menerajui beberapa perkhidmatan perbankan, termasuk antaranya adalah MEPS untuk pengeluaran duit melalui ATM, selain JomPay yang memudahkan pembayaran bil.

DuitNow

Apakah Itu DuitNow?

DuitNow merupakan perkhidmatan perbankan baru yang ingin memudahkan pengguna membuat pindaan wang kepada seseorang – dan tidak terikat kepada penggunaan nombor akaun bank semata-mata.

Melalui DuitNow, seseorang boleh memautkan nombor telefon, nombor kad pengenalan (MyKad), atau nombor passport (untuk bukan warganegara) ke akaun bank mereka. Selepas memautkannya, pengguna boleh menerima pembayaran ke akaun mereka terus menggunakan sebarang nombor berkenaan. Langkah ini sekaligus akan memudahkan beberapa proses pembayaran.

DuitNow

Sebagai contoh, melalui demo yang diperlihatkan pihak CIMB kepada kami untuk penggunaan DuitNow, pengguna boleh memasukkan nombor akaun penerima duit dengan hanya memilihnya daripada senarai buku alamat nombor telefon – dan melakukan pembayaran. Hal ini sekaligus memudahkan pembayaran dilakukan pada peranti mudah-alih.

Selain itu, penggunaan DuitNow juga akan memudahkan syarikat atau agensi kerajaan untuk membayar terus ke MyKad anda. Sebagai contoh, majikan boleh membayar terus ke nombor MyKad, dan tidak lagi perlu sukar meminta nombor akaun bank dan sebagainya daripada pekerja mereka. Hal sama juga untuk kerajaan melakukan sesuatu pembayaran terus kepada rakyat, dan memudahkan simpanan rekod.

Pada masa yang sama, DuitNow turut menyokong akaun perbankan syarikat. Ini bermakna, syarikat boleh memautkan akaun pendaftaran syarikat mereka ke akaun bank – dan seterusnya menerima pembayaran yang dibuat ke akaun pendaftaran syarikat mereka. Ini juga mungkin meningkatkan kadar keyakinan seseorang pembeli terhadap sesuatu syarikat berkenaan.

Secara keseluruhan, DuitNow ini dilihat sebagai langkah PayNet untuk memudahkan pengguna mengingati maklumat penerima pembayaran.

Bagaimana DuitNow berfungsi?

DuitNow berfungsi seperti perbankan biasa, dimana pengguna akan perlu masukkan nombor telefon atau nombor MyKad pada tempat penerima, seterusnya memasukkan amaun. Seperti pembayaran biasa, pengguna akan dibawa kepada skrin seterusnya untuk mengesahkan maklumat penerima (seperti nama). Sebaik sahaja disahkan, pemindahan wang akan dilakukan seperti biasa.

DuitNow menawarkan pemindahan percuma untuk nilai bawah RM5,000.

Menurut PayNet, sekiranya sesuatu nombor telefon atau MyKad tidak dipautkan kepada sesuatu nombor akaun – maka ia akan memaparkan mesej yang mana penerima berkenaan tidak wujud, sekaligus tidak membolehkan anda membuat pemindahan wang.

Penggunaan Nombor Telefon / MyKad

Ramai pengguna yang risau akan berkenaan dengan penerimaan SMS sejak awal bulan Oktober ini, kerana pihak bank tidak memaklumkan hal ini dengan baik kepada pengguna sebelum melaksanakannya.

Setiap nombor telefon atau MyKad hanya boleh dipautkan kepada satu bank sahaja. Sebagai contoh, sekiranya anda telah menerima SMS berkenaan nombor telefon yang dipautkan kepada akaun Maybank, maka anda tidak boleh menggunakan nombor telefon sama untuk akaun bank lain. Anda perlu nyah-daftar ia terlebih dahulu sebelum dapat menggunakannya pada perkhidmatan perbankan lain. Perkara sama juga untuk MyKad.

RHB DuitNow

Buat masa ini, pihak bank masih tidak menyediakan panel pengurusan untuk memautkan nombor telefon atau MyKad ini ke akaun bank. Hal ini akan berubah pada 8 Disember 2018 kelak apabila pelbagai bank-bank tempatan memperkenalkan fungsi ini terus pada perkhidmatan perbankan atas-talian mereka untuk pengurusan.

Malah, melalui demo ringkas yang dipertontonkan oleh Public Bank kepada kami, mereka turut menyertakan sokongan “Switch DuitNow” yang membolehkan anda memindahkan nombor telefon berdaftar DuitNow dari satu bank ke Public Bank. Berkemungkinan, pelbagai bank lain turut akan menyertakan ciri lebih kurang sama.

Walaubagaimanapun, buat masa ini, pendaftaran dan nyah-daftar dilihat diuruskan melalui bank atas-talian atau menggunakan aplikasi mudah-alih sahaja. Ia masih belum boleh diuruskan melalui perkhidmatan ATM buat masa ini.

Sekuriti?

Dengan penggunaan nombor telefon, ramai yang risau mereka akan tersilap dan melakukan pemindahan tanpa sengaja. Perkara ini merupakan salah satu hal yang tidak perlu anda risau. Hal ini kerana pemindahan wang ke DuitNow ini hanya satu hala sahaja – dan boleh dilakukan menggunakan perbankan atas-talian atau aplikasi mudah-alih. Pengguna hanya boleh menerima pembayaran sahaja menggunakan nombor telefon atau nombor kad pengenalan. Pengguna tidak boleh melakukan pembayaran menggunakan nombor telefon, sebaliknya perlu melakukan ia melalui akaun bank mereka seperti biasa.

Apa Seterusnya?

Pengenalan DuitNow ini dijangka akan menjadi titik tolak untuk sejumlah perkara lain dalam arena kewangan. Sebagai contoh, dengan pengenalan DuitNow ini juga kita mungkin akan dapat melihat PayNet menggunakan kerangka sama dalam pengenalan sistem kod QR universal yang dinantikan ramai. Malah, ia juga mungkin memudahkan syarikat teknologi kewangan (fintech) lain dalam mengintegrasikan kemudahan pembayaran, dan menambah-baik penawaran masing-masing. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan tarikh 8 Disember 2018 ini untuk melihat pengenalan perkhidmatan DuitNow ini secara menyeluruh, dan sama ada ia akan popular dikalangan pengguna tempatan – atau pengguna akan masih lebih selesa menggunakan nombor akaun bank seperti hari ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd