ASUS ialah sebuah jenama yang sepatutnya tidak asing lagi bagi orang ramai. Syarikat elektronik dari Taiwan ini terkenal untuk siri komponen komputer, peranti komputer, laptop, peranti pintar dan aksesori gaming yang terdiri daripada pelbagai siri seperti Republic of Gamers, STRIX dan juga The Ultimate Force, ataupun TUF.
Siri laptop gaming TUF diperkenalkan awal tahun ini untuk mereka yang ingin memiliki laptop gaming, tetapi tidak mempunyai kocek yang dalam untuk membeli model-model yang lebih berkuasa seperti model-model dari siri ROG dan STRIX.
ASUS Malaysia telah menghantar laptop ASUS TUF FX 505 yang terbaru kepada kami untuk diulas, dan di dalam ulasan ini, kita akan lihat samada laptop ini berbaloi untuk wang anda.
Spesifikasi
ASUS TUF FX 505 | ||
---|---|---|
Skrin | 15.6 inci Full HD | |
Pemproses | Intel Core i7-8750H | |
RAM | 8 Gigabyte DDR4 | |
Muatan Dalaman | SSD 128GB, HDD 1TB | |
Kamera | 5MP | |
USB | USB 3.0 x2, USB 2.0 x1 | |
HDMI | Ada | |
Pembaca Kad | Tiada | |
Kad Grafik | NVIDIA GeForce GTX 1060 6GB | |
Harga Jualan | RM5560 |
Bermula dengan spesifikasi khusus laptop ini, ia dilengkapi dengan paparan skrin bersaiz 15.6 inci yang mempunyai resolusi Full HD 1920×1080 pixel. Anda juga boleh memilih untuk mendapatkan paparan yang mempunyai kadar segar semula 60Hz ataupun 144Hz untuk pengalaman permainan yang lebih lancar.
Laptop TUF FX 505 ini dikuasakan oleh CPU Intel generasi kelapan, dimana pilihan anda termasuklah Intel Core i5-8300H dan Intel Core i7-8750H, memori DDR4 sebanyak 4GB hingga 8GB dan gabungan storan SSD PCIe bersaiz 128GB dengan cakera keras sebesar 1TB.
Dari segi grafik pula, pengguna diberi pilihan untuk mendapatkan model yang hadir dengan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1050, GTX 1050 Ti ataupun NVIDIA GeForce GTX 1060 dengan 6GB memori GDDR5.
Apa yang lebih menarik disini ialah ASUS menempatkan kesemua palam-palam I/O mereka di bahagian kanan laptop ini, dan ia termasuklah dua palam USB 3.1, sebuah palam USB 2.0, sebuah palam HDMI 1.2 dan sebuah palam RJ45 LAN yang digunakan untuk sambungan internet berwayar. Sayangnya laptop ini tidak dilengkapi pembaca kad SD seperti kebanyakan laptop-laptop yang lain.
ASUS juga memberi perhatian kepada papan kekunci laptop FX 505 ini, yang hadir dengan sistem pencahayaan RGB Aura Sync, manakala susun atur papan kekunci diolah menggunakan teknologi HyperStrike yang memastikan ia selesa digunakan oleh pengguna.
Papan kekunci laptop TUF FX 505 ini juga hadir dengan kekunci WASD yang menggunakan penutup kekunci berwarna putih yang mengambil estetika rekaan daripada sebuah lagi laptop ASUS, iaitu ASUS STRIX Scar II.
Untuk ulasan ini, pihak ASUS Malaysia telah menghantar kepada kami model laptop ASUS TUF FX 505 dengan spesifikasi CPU Intel Core i7-8750H, memori DDR4 sebanyak 8GB dan juga kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1060 bersama-sama dengan paparan dengan kadar segar semula 144Hz, yang merupakan spesifikasi paling premium untuk model ini.
Rekaan
Komputer riba ASUS TUF FX 505 ini tiba dengan tanda harga yang bermula daripada RM3699, dan pada hemat kami, salah satu daripada sebab mengapa laptop ini dipasarkan pada harga yang agak murah walaupun ia hadir dengan spesifikasi yang boleh dikatakan berkuasa ialah kerangkanya yang diperbuat daripada bahan plastik.
Menurut ASUS, laptop FX 505 ini disahkan melepasi piawaian MIL-STD-810G yang merupakan piawaian yang perlu dilepasi untuk kegunaan ketenteraan. Walaupun begitu, binaan laptop ini, yang diperbuat daripada plastik secara keseluruhannya membuatkan kami tertanya-tanya mengenai kenyataan tersebut.
Ini adalah kerana walaupun rangka plastik ini pada luarannya kelihatan cukup teguh, masih terdapat sedikit flex pada bahagian paparan dan papan kekunci.
Walaupun begitu, pandangan kami sedikit berubah mengenai kerangka plastik ini apabila kami melihat adegan seorang pengurus produk daripada ASUS Malaysia melompat keatas laptop ini, dan menunjukkan bahawa ia masih berfungsi selepas adegan tersebut.
Laptop ini mungkin lebih tahan lasak daripada laptop-laptop gaming yang lain, kami menasihatkan anda untuk tidak terlalu ghairah menghentak laptop ini untuk menguji kelasakannya.
ASUS juga menggunakan teknologi nirbingkai NanoEdge Display untuk paparan FX 505 ini, dimana paparan 15.6 inci ini hadir dengan rekaan hampir nirbingkai di tiga bahagian sisi, memaksimakan saiz paparan di dalam rangka laptop yang lebih kecil.
Dua pembesar suara terletak di bahagian-bahagian sisi laptop ini, dan bagi mereka yang lebih gemar menggunakan fon kepala untuk mendengar lagu, menonton video ataupun bermain permainan komputer, ia dilengkapi dengan ciri DTS Headphone X yang mampu menyokong fon kepala dengan kebolehan audio 7.1 surround sound.
Dengan laptop TUF FX 505 ini, ASUS memperkenalkan dua buah rekaan warna yang berbeza, iaitu Gold Steel dan Red Matter. Satu-satunya perbezaan disini ialah versi Red Matter hadir dengan penutup paparan yang lebih premium dan logo ASUS yang akan menyala warna merah apabila berada di dalam ruang yang gelap.
Pengalaman Pengguna
Seperti yang kami nyatakan sebelum ini, ASUS Malaysia menghantar model paling premium mereka kepada kami, dan dengan spesifikasi yang dinyatakan diatas, kami sangat berpuas hati dengan prestasi laptop ini.
Dengan CPU Intel Core i7-8750H, memori DDR4 8GB dan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1060, boleh kami kata bahawa hampir tiada permainan komputer yang laptop FX 505 ini tidak boleh main.
Tajuk-tajuk permainan seperti Player Unknown Battlegrounds, Fortnite, Overwatch, Doom, Rise of The Tomb Raider semuanya boleh digerakkan oleh laptop ini pada resolusi Full HD dan tetapan tinggi pada kadar bingkai lebih tinggi daripada 60FPS tanpa sebarang masalah.
Apa yang lebih mengejutkan lagi, sistem penyejukan HyperCool dengan Anti Dust Cooling mampu menyejukkan sistem laptop ini tanpa sebarang masalah, walaupun apabila ia digunakan untuk aktiviti yang menggunakan kuasa CPU dan GPU untuk satu jangka-masa yang lama.
Bunyi kipas boleh kedengaran apabila kami bermain permainan komputer, tetapi ia tidaklah terlalu bising sehingga mengacau konsentrasi kami apabila bermain.
Malah, kami agak kagum dengan sistem penyejukan HyperCool ini kerana sewaktu kami menguji prestasi gaming dan menjalankan ujian penanda aras, kami tidak pernah sekali pun mengadu mengenai bahagian papan kekunci ini berasa panas.
Salah satu ciri yang kami betul-betul suka mengenai laptop ini ialah paparan skrinnya. Walaupun anda membeli model paling murah dengan kadar segar semula 60Hz, ia masih menggunakan panel IPS sama yang menjanjikan pengolahan semula warna dan sudut pandangan yang baik, disamping rekaan hampir nirbingkai yang menggunakan teknologi ASUS Infinivision.
Ciri 144Hz ini pasti akan digemari oleh mereka yang selalu bermain permainan FPS seperti Counter Strike: GO, Call of Duty dan Overwatch yang sering mementingkan kadar segar semula yang pantas supaya mereka boleh menewaskan musuh mereka sebelum mereka ditewaskan.
Jangka-hayat bateri sebuah laptop gaming biasanya tidak begitu diambil kira kerana kebanyakan masanya ia hanya akan bertahan selama tiga ke empat jam, bergantung kepada spesifikasi dalaman laptop. Ini juga boleh dikatakan untuk laptop ASUS TUF FX 505 ini.
Dengan penggunaan biasa seperti menonton YouTube, Netflix, melayari laman web dan menulis artikel dengan kuasa bateri, laptop ini mampu bertahan selama empat jam lebih, dan ini setelah kami mengurangkan kecerahan paparan kepada 50 peratus.
Kami juga mencuba bermain permainan komputer melalui kuasa bateri sahaja, dan seperti yang disangka, ia hanya bertahan selama sejam sahaja.
Ujian Penanda Aras
Dengan laptop ASUS TUF FX 505 ini, kami juga menjalankan beberapa ujian penanda-aras untuk menguji prestasi, dan markah penanda-aras yang kami terima boleh dikatakan agak memberangsangkan.
3DMark Fire Strike Extreme
3DMark Time Spy
PCMark 10
Cinebench
Geekbench
CrystalDiskMark
Kekurangan
Walaupun prestasi laptop ini boleh kami katakan berada di atas tahap yang sangat memuaskan, masih terdapat beberapa perkara pada laptop siri TUF FX ini yang kami rasakan boleh diperbaiki oleh ASUS.
Laptop TUF FX 505 ini mempunyai lima palam I/O, dan keputusan ASUS meletakkan kesemua palam-palam tersebut di satu bahagian laptop ini agak aneh.
Ini adalah kerana jika kesemua palam-palam ini digunakan, ia akan menyebabkan satu bahagian meja berselirat dengan kabel, Sekurang-kurangnya mereka boleh meletakkan palam-palam HDMI dan LAN di bahagian belakang supaya kabel-kabel tersebut boleh kelihatan lebih kemas.
Bercakap tentang palam I/O, laptop ini juga tidak mempunyai palam USB Type-C yang semakin popular dengan pengguna-pengguna laptop kebelakangan ini untuk memudahkan lagi pengecasan peranti pintar mereka.
Bukan itu sahaja, laptop ini juga tidak dilengkapi dengan pembaca kad SD. Pada firasat kami, ketidakhadiran kedua-dua ciri ini mungkin adalah salah satu cara bagaimana ASUS mengurangkan kos pembinaan laptop ini.
Satu aduan kecil saya mengenai laptop ini ialah lokasi kekunci arah laptop ini juga sedikit kekok, kerana ia duduk betul-betul diantara kekunci Control dan pad nombor, dan saya selalu tersalah tekan kekunci apabila menggunakan kekunci arah apabila saya perlu menaip artikel.
Pembesar suara laptop ini juga agak hambar jika dibandingkan dengan beberapa laptop lain yang kami ada di pejabat. Kualiti audio pembesar suara laptop ini bagai ditutup dengan kapas dan banyak butiran audio tidak dapat didengari dengan jelas, dan pecah-pecah apabila bunyi audio dipasang pada tahap yang kuat.
Patutkan Saya Membelinya?
Jika anda hanya kisah akan prestasi dan tanda harga sesebuah laptop, ini adalah diantara beberapa laptop yang mempunyai purata prestasi dan harga yang terbaik yang pernah kami lihat.
Harus juga kami katakan bahawa spesifikasi laptop TUF FX 505 yang dihantar kepada kami ialah spesifikasi yang paling berkuasa, dan pada tanda harga RM5560, ia masih agak sukar untuk anda mendapatkan sebuah laptop yang hadir dengan spesifikasi seperti CPU Intel Core i7 generasi kelapan, memori 8GB dan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1060.
Pada harga RM3690, anda boleh mendapatkan laptop dengan spesifikasi Intel Core i5-8300H, 4GB RAM dan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1050, tetapi jika anda ingin mendapatkan model tersebut, saya sarankan anda sekurang-kurangnya meningkatkan jumlah RAM anda kepada 8GB.
Penutup
Secara jujurnya, laptop ASUS TUF FX 505 ini boleh kami katakan diantara siri laptop gaming paling mampu milik yang boleh dibeli di pasaran sekarang.
Ia hadir dengan spesifikasi dan tanda harga yang boleh dibeli oleh orang ramai, bergantung kepada kemampuan mereka, dan ini bukanlah sesuatu yang banyak jenama komputer di luar sana mampu lakukan.
Apa yang lebih menarik lagi, walaupun pada spesifikasi paling premium dan tanda harga tertinggi, laptop ASUS TUF FX 505 ini masih lagi diantara laptop gaming termurah di pasaran, khususnya jika dibandingkan dengan beberapa jenama pembuat komputer dan laptop yang lain yang menual laptop dengan spesifikasi yang sama.
PRO dan Kelebihan
- Harga mampu milik
- Prestasi yang sangat baik
- Sistem penyejukan yang berkesan
- Pilihan untuk paparan 144Hz
KONTRA dan Kekurangan
- Binaan plastik
- Lokasi palam di satu bahagian laptop sahaja
- Tiada USB-C, pembaca kad SD
- Pembesar suara yang tidak begitu kuat