HTC hari ini telah pun mengumumkan secara rasminya spesifikasi yang dibawakan oleh telefon pintar dengan integrasi rantaian-blok daripada mereka, dinamakan Exodus 1.
Dengan fokus terhadap rantaian-blok, telefon pintar ini turut menyertakan dompet digital untuk kriptowang secara terbina yang dikatakan mempunyai lokasi sulit tersendiri, dan terlindung daripada sistem operasi telefon berkenaan. Menggunakannya, pengguna boleh menyimpan kriptowang mereka seperti Bitcoin dan Ethereum tanpa perlu risau berkenaan dengannya.
Dari segi spesifikasi, Exodus 1 hadir dengan skrin 6-inci Quad HD+, dijana cip Snapdragon 845, memori 6GB RAM, dan storan 128GB UFS2.1. HTC Exodus 1 turut menggunakan dwi-kamera belakang, gabungan 12MP + 16MP, selain dwi-kamera hadapan 8MP + 8MP. Melengkapkan ia juga adalah sokongan kalis air IP68, dan bateri 3500mAh.
Buat masa ini, HTC sekadar memulakan pra-tempahan untuk telefon pintar ini, dimana menariknya ia ditawarkan dalam bentuk bayaran menggunakan Bitcoin atau Ethereum – masing-masing 0.15BTC atau 4.78 ETH. Ia tidak diketahui lagi sama ada HTC akan menawarkannya dalam pasaran terbuka seperti telefon pintar HTC yang lain.