Apple pada bulan lepas telah memperkenalkan tiga telefon pintar baru, iaitu iPhone XS, iPhone XS Max dan juga iPhone XR. Ketiga-tiganya akan dijual di Malaysia bermula penghujung minggu ini, dan menariknya, kini kami turut telah berpeluang mencuba iPhone XR untuk tempoh ringkas, sebelum ia dilancarkan di Malaysia secara rasminya pada penghujung minggu ini.
iPhone XR dilihat sebagai telefon pintar iPhone yang akan menjadi pilihan ramai pengguna, berbanding adiknya yang lagi satu. Menariknya juga, iPhone XR hadir dengan pilihan lebih berwarna-warni, dimana ia ditawarkan dalam pilihan warna biru, kuning, merah, putih dan juga hitam. Selepas menggunakan iPhone 8 untuk seketika, semestinya penaik-tarafan kepada iPhone XR adalah sesuatu yang menarik. Secara kasar, boleh dikatakan yang mana iPhone XR ini adalah suatu pilihan peranti yang sesuai untuk para pengguna iPhone 5, 6, 7, dan 8 sedia ada yang ingin menaik-taraf peranti mereka kepada versi baru, mahupun sekiranya pengguna platform lain ingin beralih ke iOS. Ditangan, ia boleh dikatakan membawakan binaan yang teguh, dan selesa dipegang. Rekaan bahagian tepi yang sedikit membulat turut membuatkannya mudah untuk digenggam – selain pengoptimasian perisian yang memudahkan penggunaan sebelah tangan.
Selain pilihan warna yang pelbagai, salah satu perbezaan besar yang anda dapat lihat dengan peralihan kepada iPhone XR adalah skrin yang sedikit nirbingkai berbanding iPhone generasi baru, sekaligus memberikan anda akses kepada saiz yang lebih besar pada rekaan kompak. Salah satu perbezaan besar yang dibawakan oleh iPhone XR adalah penggunaan panel LCD yang dijenamakan sebagai “Liquid Retina”. iPhone XR menggunakan skrin 6.1-inci. Walaupun ia adalah LCD, tetapi daripada perbandingan ringkas menggunakan mata kasar yang dilakukan oleh kami berbanding beberapa peranti lain di pasaran, paparan pada iPhone XR adalah jauh lebih terang dan cantik. Ia mungkin dijayakan oleh penggunaan panel berkualiti yang sering sinonim dengan Apple, dan pengoptimasian perisian yang dibawakan oleh pengeluar peranti terkemuka berkenaan.
Selain daripada panel, apa yang dibawakan oleh iPhone XR adalah spesifikasi tinggi seperti iPhone XS, iaitu pemprosesan berasaskan cip Apple A12 Bionic dan pilihan storan sehingga 256GB. Ia membolehkan pengguna menikmati prestasi iPhone yang tinggi, termasuk pelbagai pemprosesan yang pantas, dan menjalankan iOS 12. Pengguna juga turut boleh menikmati sokongan pengecasan nirwayar melalui telefon pintar ini, dan juga kalis air asas. iPhone XR juga turut menyertakan sokongan Face ID yang menawarkan kebolehan imbasan wajah yang pantas – untuk anda nyah-kunci peranti, mahupun sekiranya ingin membuat pembelian di App Store dan sebagainya.
Di belakang, iPhone XR menggunakan rekaan berasaskan kaca – memandangkan ia kini menyokong pengecasan nirwayar. Selain daripada itu, iPhone XR menyertakan satu kamera belakang, dan menggunakan kelebihan perisian dalam menghasilkan bokeh pada gambar. Walaupun menggunakan hanya satu kamera di belakang, ia membolehkan pengguna merakamkan gambar dengan canik, selain turut menyokong rakaman video beserta sokongan audio stereo. Sokongan rakaman Smart HDR turut disertakan dalam usaha menjadikan gambar nampak cantik dan jelas walaupun pada keadaan latar yang mungkin sangat cerah dan menjejaskan rakaman objek dihadapan.
Dari segi bateri, Apple mengatakan ia menawarkan masa penggunaan sepanjang hari. Memandangkan ia menggunakan panel “Liquid Retina” dan cip pemprosesan dengan binaan 7nm, maka tidak mustahil untuk kita melihat ia menawarkan masa penggunaan yang lebih lama berbanding iPhone lain dipasaran.
Secara kesimpulan, boleh dikatakan iPhone XR ini merupakan salah satu penaik-tarafan yang berbaloi untuk bagi pengguna iPhone 5,6,7, dan 8 sebelum ini, selain pengguna Android atau platform lain yang ingin beralih ke iPhone – sekaligus memberikan anda pengalaman telefon pintar dengan rekaan bingkai nipis, selain penawaran prestasi yang sangat pantas. Kami akan hadir dengan ulasan penuh untuk telefon pintar ini selepas mencuba dan menggunakannya selama beberapa minggu.
Di Malaysia, iPhone XR ditawarkan dalam tiga pilihan variasi, iaitu berstoran 64GB pada harga RM3599, 128GB pada harga RM3849, dan 256GB pada harga RM4299. Ketiga-tiga variasi ini boleh dibeli bermula 26 Oktober 2018 ini.