Pada telefon pintar Pocophone F1, salah satu perkara yang mungkin mengecewakan ramai pengguna adalah ketiadaan sokongan penstriman HD disebabkan tiada sokongan pengesahan Widevine L1. Kini, pihak Xiaomi dilihat sedang cuba mengatasinya.
Melalui perkongsian pihak Xiaomi, mereka mengatakan sedang dalam perbincangan bersama pihak Qualcomm dan Google, dan menyasarkan untuk menawarkan penyelesaian untuknya menjelang penghujung tahun ini.
Buat masa ini, Pocophone F1 hanya hadir dengan pengesahan Widevine L3 yang menyokong penstriman Netflix pada resolusi 540p sahaja. Hal ini mungkin merugikan beberapa pengguna yang ingin menikmati kandungan HD pada telefon pintar mereka. Apa pun, ia agak menarik untuk melihat Xiaomi memberikan perhatian kepada permintaan pengguna, dan cuba mengatasinya.