Facebook Messenger merupakan salah satu aplikasi permesejan milik Facebook. Walaubagaimanapun, sejak beberapa tahun lepas, Facebook telah menambah pelbagai ciri-ciri dan fungsi baru pada aplikasi berkenaan, sekaligus menjadikan halaman utamanya dipenuhi pelbagai menu dan menjadikan kurang mesra untuk permesejan.
Hal berkenaan berubah hari ini. Lanjutan daripada pengumuman Facebook untuk memperkenalkan versi baru Messenger, hari ini mereka telah mula memperkenalkan kemaskini untuk Messenger secara berperingkat untuk pengguna peranti mudah-alih.
Rekaan baru yang ditawarkan adalah lebih ringkas, dan memfokuskan sepenuhnya kepada ciri permesejan. Kini, ia hadir dengan tiga menu utama memfokuskan kepada permesejan, rakan-rakan, dan juga Discover. Tiada lagi menu yang tidak diperlukan seperti sebelum ini, selain turut menawarkan pilihan tema gelap untuk pengguna. Sokongan Facebook Stories masih dikekalkan, tetapi kini ia diposisikan dengan lebih kemas dan tidak “semak” seperti sebelum ini.
Facebook mengatakan aplikasi baru ini akan diperkenalkan secara berperingkat kepada semua dalam minggu-minggu akan datang.