Cari @ Amanz

Alienware ialah sebuah jenama dibawah Dell yang terkenal untuk peranti-peranti gaming mereka, termasuklah komputer, laptop dan juga aksesori-aksesori seperti papan kekunci dan tetikus.

Baru-baru ini, terdapat desas-desus yang mengatakan bahawa syarikat tersebut berminat untuk memasuki pasaran komponen pula, setelah berasa cukup selesa dengan kedudukan mereka di dalam pasaran komputer siap-pasang.

Frank Azor, pengurus besar Alienware di dalam temu-ramah bersama-sama dengan PCGames N, berkata bahawa Alienware mempunyai keinginan untuk memasuki pasaran komponen, terutama sekali papan induk dan kad grafik, tetapi sedar bahawa ini adalah sesuatu yang cukup sukar sekali, kerana jenama-jenama komponen sedia ada kini berada di dalam persaingan yang cukup sengit sekali diantara satu sama lain.

Akan tetapi, beliau tidak memberi sebarang butiran mengenai pelan untuk memasuki pasaran tersebut, dan sangat berhati-hati dalam memberikan sebarang kenyataan yang akan mendatangkan salah faham.

Secara teknikalnya, Alienware sudah boleh dikatakan berjinak-jinak dengan arena komponen dengan memperkenalkan aksesori Alienware Graphics Amplifier, dimana pengguna boleh menggunakan kad grafik bersaiz desktop dengan laptop menggunakan sambungan USB Type-C.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd