Carian
Papan Induk ASUS Z390 Dilaporkan Memuat-turun Dan Memasang Perisian Pada Komputer Tanpa Kebenaran Pengguna
October 24, 2018 Nazrin

Dengan kehadiran cip pemprosesan Intel generasi kesembilan, papan-papan induk yang menggunakan cipset Intel Z390 turut memasuki pasaran, dan ASUS diantara pengeluar komponen yang hadir dengan siri papan induk Intel Z390 mereka tersendiri.

TechPowerUp baru-baru ini melaporkan bahawa papan-papan induk ASUS Z390 yang diulas oleh mereka didapati memuat-turun dan memasang perisian bersama-sama dengan pemasangan sistem operasi mereka.

Perisian tersebut dikatakan dipasang di dalam UEFI BIOS papan induk tersebut yang bersaiz 16MB. Apabila sistem operasi Windows dipasang buat kali pertama, BIOS tersebut akan memasang perisian ASUSUpdateCheck.

Apabila Windows 10 dibuka untuk pertama kali, ia akan meminta anda memasang perisian ASUS Armoury Crate yang akan turut memuat-turun dan memasang perisian seperti driver untuk kad grafik, CPU dan juga cip LAN dan WiFi.

Walaupun “ciri” ini boleh dipadamkan pada tetapan BIOS, kebanyakan pengguna tidak akan sedar akan ciri ini, dan akan terus memasang sistem operasi mereka, dan perisian tersebut akan terus dimuat=turun tanpa kebenaran mereka.

Komen