Kebelakangan ini, komputer riba berspesifikasi berkuasa untuk tujuan gaming banyak dilancarkan oleh pelbagai pembuat komputer. HP kini memperkenalkan sebuah komputer riba untuk tujuan kegunaan pejabat yang hadir dengan spesifikasi yang baru dan juga menarik.
Komputer riba tersebut dinamakan HP EliteBook x360 1040 G5 dan ia dilengkapi dengan paparan skrin bersaiz 14 inci dengan pilihan resolusi Full HD (1920×1080) ataupun 4K (3120×2160), CPU Intel Core i5 dan i7 generasi kelapan, memori DDR4 sebanyak 32GB dan pilihan storan SSD PCIe sebesar 2TB.
Dari segi palam I/O, Elitebook x360 1040 G5 ini dilengkapi dengan dua palam Thunderbolt 3.0, dua palam USB 3.0 Type-A, satu palam HDMI 1.4 dan sokongan untuk sambungan nirwayar WiFi 802.11ac. Bluetooth 4.2 dan NFC.
Pilihan paparan komputer riba ini turut hadir dengan dua tahap kecerahan yang berbeza. Paparan beresolusi Full HD mempunyai kecerahan 700 nit, manakala paparan 4K mempunyai kecerahan 500 nit.
Rangka komputer riba ini diperbuat daripada aluminum, dan cukup nipis sekali, pada ketebalan 1.69cm sahaja dan seberat 1.3kg. HP menyatakan bahawa mereka akan mula menjual laptop ini di kedai atas talian mereka pada penghujung bulan ini, bermula pada $1399 (~RM5800).