RinggitPlus merupakan salah satu perkhidmatan berasaskan web tempatan yang membantu dalam pelbagai perkara berkaitan kewangan peribadi – termasuk memudahkan pengguna membuat permohonan untuk beberapa perkhidmatan. Hari ini, mereka telah berkongsi beberapa statistik menarik berkaitan pengguna tempatan, berdasarkan kepada bancian melibatkan sekitar 3000 orang rakyat tempatan.
Melalui hasil yang didapati, sekitar 29% pengguna mengatakan mereka tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk hidup selama tiga bulan. Dan agak mengejutkan lagi, hampir 30% mengatakan yang mana mereka tidak mempunyai simpanan untuk bertahan sebulan.
24% pengguna turut dilihat mengatakan mereka tidak mampu menyimpan setiap bulan, selain lebih 50% mengatakan mereka tidak mampu menyimpan lebih RM500 setiap bulan.
Bancian yang dilakukan RinggitPlus ini juga selari dengan laporan Khazanah Research Institute yang mengatakan sekitar 40% daripada mereka yang berpendapatan rendah mempunyai hanya sekitar RM76 sebagai baki untuk disimpan selepas pelbagai perbelanjaan.
Dengan pelbagai info terbaru ini, RinggitPlus dilihat akan mengambil langkah dalam mendidik rakyat tempatan dalam pengurusan kewangan peribadi masing-masing. RinggitPlus mengatakan mereka akan memperkenalkan laman web serba baru menjelang bulan November ini, selain mereka turut akan bekerjasama dengan Media Prima dalam menawarkan kandungan melalui rancangan Ringgit Sense+.