Konfigurasi multi-GPU NVIDIA SLI sepatutnya membolehkan pengguna komputer untuk memaksimakan tahap grafik sesebuah komputer, tetapi sejak pengenalannya bertahun-tahun lalu, konfigurasi SLI ini hadir dengan pelbagai masalah, sehingga NVIDIA terpaksa mengeluarkan kenyataan bahawa mereka hanya akan menyokong konfigurasi dua GPU di dalam mod tersebut.
Baru-baru ini, terdapat sebilangan pengguna komputer di dalam konfigurasi SLI ini yang melaporkan bahawa mereka mengalami masalah dengan teknologi paparan G-SYNC dimana prestasi kadar bingkai turun dengan ketara apabila kedua-dua ciri SLI dan G-SYNC ini dipasang dengan serentak.
Menurut laporan ExtremeTech, penurunan prestasi ini berbeza bergantung kepada permainan komputer yang dimainkan, dan tajuk yang berlainan menunjukkan penurunan prestasi yang berbeza bergantung kepada tetapan yang digunakan.
Buat masa ini, NVIDIA masih belum tampil dengan sebarang kemaskini, mahupun kenyataan mengenai masalah ini, yang turut dikatakan telah membelenggu pengguna kad grafik NVIDIA untuk sekian lama ini.