MediaTek telah melancarkan cip terkini mereka Helio P70 yang memberikan beberapa peningkatan berbanding Helio P60. Helio P70 dilengkapi empat teras Cortex-A73 pada kelajuan 2.1 GHz dan empat teras Cortex-A53 pada kelajuan 2.0 GHz pada konfigurasi big.LITTLE. Cip grafik yang digunakan pula ialah Arm Mali-G72 MP3 pada kelajuan 900 MHz. Ia walau bagaimanapun masih dihasilkan menerusi proses 12nm.
Dengan cip kecerdasan buatan baharu, Helio P70 menunjukkan peningkatan sehingga 30% berbanding Helio P60. Sistem kamera yang disokong ialah dwi 24+16 Megapixel atau satu kamera 32-Megapixel. Penggunaan tenaga pada kamera berjaya dikurangkan sebanyak 18%. Akhir sekali modem yang digunakan menyokong rangkaian 4G pada kelajuan 300MBit/s serta dua sambungan 4G VoLTE secara serentak.