Fasstap Memulakan Ujian Rintis – Membolehkan Penerimaan Bayaran Kad Debit Melalui Telefon NFC

Fasstap Memulakan Ujian Rintis – Membolehkan Penerimaan Bayaran Kad Debit Melalui Telefon NFC

Diterbitkan pada Okt 25, 2018 oleh .

SoftSpace merupakan salah satu nama yang tidak asing bagi peniaga tempatan, dimana sebelum ini mereka telah menyediakan pembaca cip khusus yang membolehkan peniaga menerima bayaran daripada kad. Walaubagaimanapun, sistem yang dikenali ramai mPos berkenaan tidak begitu menarik, dan menyukarkan kerana memerlukan pengguna menghubungkan sebuah dongle khas ke telefon pintar sebelum menerima bayaran.

Fasstap

Kini, bergerak kehadapan, dan dengan populariti penggunaan kad MyDebit yang semakin popular, SoftSpace bersama-sama Paynet hari ini mengumumkan pengenalan Fasstap.

Fasstap merupakan sebuah aplikasi khusus yang disediakan untuk peranti Android yang mempunyai sokongan NFC. Melaluinya, para peniaga boleh menerima bayaran daripada kad MyDebit tanpa memerlukan sebarang terminal tambahan – sekaligus mempopularkan lagi penggunaan penerimaan bayaran daripada MyDebit dikalangan peniaga kecil dan sederhana.

Daripada demo yang dipertontonkan kepada kami, peniaga pada mulanya akan dipaparkan dengan panel khusus dengan jumlah wang jualan harian mereka. Seterusnya peniaga boleh menekan butang “Accept Payment”, memasukkan amaun, dan meminta pengguna menyentuh kad MyDebit mereka.

Fasstap

Pengguna juga seterusnya perlu memasukkan nombor pin mereka, sebagai langkah sekuriti tambahan sebelum transaksi berkenaan berlaku. Sebelum mengakhiri transaksi, pengguna boleh turut memasukkan nombor telefon atau emel untuk menerima resit bayaran.

Fasstap

Menurut pihak SoftSpace dan PayNet, ujian Fasstap ini akan dilakukan untuk tempoh sekitar 3 bulan akan datang di beberapa peniaga sekitar Lembah Klang, sebelum memperluaskannya dan membuka pendaftaran untuk peniaga lain. SoftSpace juga dijangka mengumumkan rakan kerjasama bank untuk perkhidmatan ini.

Berkongsi lanjut kepada kami, SoftSpace turut mengatakan kelak mereka akan membuka API, sekaligus membolehkan aplikasi sedia ada mengintegrasikan sokongan penerimaan bayaran MyDebit ini pada aplikasi mereka, dan memudahkan penerimaan bayaran. Sebagai contoh, aplikasi seperti penghantaran makanan mungkin boleh mengintegrasikan sokongan ini terus ke aplikasi mereka tanpa perlu memuat-turun aplikasi tambahan.

Fasstap


TIPS & ULASAN