Kamera Digital Leica M10-D Dilancarkan Tanpa Skrin LCD Dan Fungsi Rakaman Video

Kamera Digital Leica M10-D Dilancarkan Tanpa Skrin LCD Dan Fungsi Rakaman Video

Diterbitkan pada Okt 25, 2018 oleh .

Bermula dari filem, Leica sejak beberapa tahun kebelakangan ini sudah berjinak-jinak dengan kamera digital bagi mengikut kehendak pengguna. Malahan di Fotokina yang baru berlangsung, mereka menubuhkan gabungan L-Mount bersama Panasonic dan Sigma bagi menyokong ekosistem kamera digital mereka. Bagi mereka yang yang tergolong dari kalangan purist, kamera digital dengan LCD mungkin dianggap tidak mempunyai roh fotografi sebenar.

Oleh itu kamera digital Leica M10-D telah dilancarkan hari ini. Tidak seperti penawaran lain Leica, M10-D tidak hadir dengan skrin LCD pada bahagian belakang. Sebaliknya sebuah tombol dedahan diletakkan di tempat yang sebelum ini mempunyai panel LCD. Menurut Leica, ini membolehkan pengguna kembali menikmati fotografi dan bukannya taksub dengan melihat hasil tangkapan sejurus selepas pemetik kamera ditekan.

Ia dilengkapi sensor 24-Megapixel CMOS Full-Frame dengan cip pemproses imej Leica Maestro II. Terdapat sokongan menangkap 5 gambar sesaat dan unik sekali tiada sokongan rakaman video.

Gambar yang diambil boleh dilihat pada peranti pintar menggunakan aplikasi FOTOS yang baru sahaja dilancarkan. Dengan M10-D, Leica cuba menggembirakan peminat kamera yang masih inginkan pengalaman kamera filem menggunakan kamera digital. Apa yang dilakukan mereka ini seakan sama seperti kamera Pixii yang kami laporkan semalam.


TIPS & ULASAN