Siri telefon pintar Vivo V11 telah dilancarkan di pasaran Malaysia pada September lalu. Telefon pintar ini hadir dengan rekaan yang hampir sama tapi apa yang membezakannya adalah dari segi spesifikasi dan kehadiran pengimbas cap jari pada bahagian belakangnya.
Siri Vivo V11 hadir dengan dua pilihan iaitu V11 dan Vivo V11i. Semasa pelancarannya, kedua dua model ini hadir dengan pilihan warna Starry Night dan Nebula Fusion. Namun hari ini, Vivo telah menawarkan satu lagi pilihan warna untuk model Vivo V11i, iaitu Fairy Pink.
Jika dilihat pada bahagian belakangnya, telefon pintar ini hadir dengan warna pastel merah jambu dan kemasan bingkai berwarna merah jambu seakan ungu. Ia juga hadir dalam pakej bungkusan khas yang turut menyertakan cenderamata dari Swarovski berupa rantai leher edisi khas.
Pilihan warna ini hanya ditawarkan pada model Vivo V11i sahaja buat. Vivo V11i ini dilancarkan dengan membawakan rekaan skrin 6.3 inci bertakuk kecil pada bahagian atas skrin, menggunakan janaan cip MediaTek Helio P60, memori 4GB RAM bersama storan 128GB, sistem dwi kamera utama gabungan 16MP dan 5MP dan kamera hadapan 25MP. Baterinya pula adalah sebesar 3315 mAh.
Telefon pintar Vivo V11i dengan pilihan warna Fairy Pink ini sudah boleh dibeli pada harga RM1299 sebuah di pasaran Malaysia bermula 1 November 2018. Anda juga boleh membeli peranti ini menerusi kedai atas talian rasmi mereka serta pengedar sah dan laman jual beli popular seperti Lazada, Shopee dan 11Street bermula 3 November 2018.