Asus pada 2016 yang lepas telah hadir dengan robot yang ditujukan kepada pengguna-pengguna di rumah, dinamakan Zenbo. Terkini, melalui acara khas yang diadakan di Malaysia, Asus turut mengumumkan kemaskini untuknya dengan memperkenalkan robot bersaiz sedikit kecil, dinamakan Zenbo Junior.
Zenbo Junior hadir dengan saiz yang lebih kecil dan kompak berbanding yang asal, dan pada masa yang sama, ianya lebih ringan. Walaubagaimanapun, ia masih mengekalkan sejumlah sensor terbina untuk mengenal pasti persekitaran, termasuk integrasi kecerdasan buatan untuk memberikan maklumbalas kepada pengguna. Seperti robot asal, ia turut hadir dengan kamera, mikrofon, dan memberikan tindak balas berdasarkan kepada input berasaskan suara daripada pengguna.
Zenbo Junior ini dilihat disasarkan kepada industri pendidikan dan perusahaan. Namun, buat masa ini, Asus lebih memfokuskan penawarannya untuk para pembangun dalam membangunkan sokongan dan perkhidmatan menggunakan robot berkenaan.
Buat masa ini, harga jualan dan tarikh penawarannya masih belum diumumkan lagi.