Asus mempunyai beberapa penawaran telefon pintar dibawah jenama Zenfone, dan terkini, beberapa gambar yang diperkatakan sebagai prototaip Zenfone 6 hadir ke arena web. Daripadanya, ia dilihat Asus sedang menguji beberapa variasi telefon pintar baru untuk diperkenalkan pada tahun hadapan.
Daripada apa yang dipertontonkan, ia dilihat Asus menguji rekaan takuk yang sangat kecil pada telefon pintar berkenaan – selain salah satunya hadir dengan rekaan skrin berlubang, salah satu trend yang dikatakan akan popular pada telefon pintar pada tahun hadapan.
Selain itu, dari segi rekaan kamera, salah satu telefon prototaip juga memperlihatkan penggunaan tri-kamera pada bahagian belakang – salah satu trend yang telah dipopularkan oleh Huawei sebelum ini.
Buat masa ini, ia dikatakan sebagai prototaip untuk Zenfone 6. Ia tidak diketahui lagi sama ada ini adalah rekaan akhir, atau Asus akan hadir dengan beberapa lagi rekaan prototaip lain sebelum memilih versi akhir.