Cari @ Amanz

Apple bakal mengadakan acara khas mereka pada 30 Oktober ini, dimana pengeluar peranti terkemuka berkenaan dijangka memperkenalkan iPad baru bersama-sama kemaskini untuk Macbook. Selari dengannya, beberapa info berkaitan tablet terbaru berkenaan pun telah tertiris, memperlihatkan apa yang bakal dibawakan oleh iPad baru berkenaan.

Tablet iPad baru ini kelak dijangka akan menawarkan rekaan dengan skrin nirbingkai seumpama iPhone baru, selain berkemungkinan hadir dengan rekaan sedikit petak seumpama iPhone 5 sebelum ini.

Pada masa yang sama, iPad baru dijangka menggunakan pengecas berasaskan USB-C padanya – sekaligus membawa perubahan penggunaan port pengecasan pada peranti iOS, dan menyelarikan penawarannya bersama-sama Macbook baru. Langkah ini juga dikatakan bakal membolehkan iPad digunakan bersama panel pada output 4K.

Dengan rekaan baru, iPad dijangka membuang butang Home, dan menggantikannya dengan penggunaan Face ID. Ia akan digunakan untuk pengesahan, selain turut membolehkan penggunaan Animoji pada iPad.

Dari segi spesifikasi, iPad baru dijangka menggunakan variasi cip pemprosesan Apple A12 Bionic, selain turut dijangka menggunakan cip grafik rekaan Apple tersendiri.

Seperti sebelum ini, Apple dijangka akan memperkenalkan Apple Pencil generasi baru – selepas versi pertamanya dilancarkan pada 2015 yang lepas.

Apple akan mengadakan acara mereka pada 30 Oktober ini (31 Oktober waktu tempatan), dimana selain iPad, mereka turut dijangka berkongsi secara ringkas mengenai penawaran Macbook mereka.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd