Pada awal bulan ini, kami ada melaporkan mengenai sebuah laptop gaming daripada jenama Alienware yang terbaru, iaitu Alienware M15. Lain daripada rekaan komputer riba daripada mereka sebelum ini, ia hadir dengan rekaan serba nipis, walaupun ia mengekalkan spesifikasi dalaman yang cukup berkuasa.
Nampaknya siri laptop Alienware M15 ini sudahpun memasuki pasaran Malaysia baru-baru ini, seperti yang tertera di laman web Dell Malaysia. Ia hadir dengan paparan skrin bersaiz 15.6 inci yang hadir dengan beberapa pilihan, termasuklah resolusi Full HD 60Hz, Full HD 144Hz dan resolusi 4K 60Hz.
Menguasakan laptop Alienware M15 ini ialah sebuah CPU Intel Core i7-8750H, memori DDR4 sebanyak 8GB hinggalah 16GB, bersama-sama dengan storan SSHD 1TB dan pilihan untuk sebuah SSD PCIe sebesar 256GB.
Dari segi tawaran kad grafik pula, pengguna boleh memilih untuk mendapatkan laptop Alienware M15 ini dengan sebuah kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1060 OC dengan 6GB memori GDDR5 ataupun NVIDIA GeForce GTX 1070 Max-Q dengan 8GB memori GDDR5.
Seperti yang boleh dilihat di laman web Dell Malaysia, laptop Alienware M15 ini hadir bermula daripada RM7999 untuk model asas, sehinggalah ke RM10,288 (RM9999 jika dibeli dari kedai atas talian) untuk model paling premium.