Apple hari ini mengumumkan mereka akan menawarkan kemaskini iOS 12.1 untuk para pengguna iPhone dan iPad secara rasminya esok. Melalui kemaskini ini, ia akan menyertakan beberapa ciri-ciri baru untuk pengguna, termasuk salah satunya adalah sokongan panggilan FaceTime secara berkumpulan.
Dengan menggunakan FaceTime berkumpulan, pengguna boleh membuat panggilan kepada sehingga 32 orang pada waktu serentak. Pada masa yang sama, FaceTime juga akan diintegrasikan terus ke aplikasi Messages dalam usaha memudahkan lagi anda membuat panggilan kepada rakan-rakan anda.
Bersama-sama dengannya, iOS 12.1 turut akan menyertakan sejumlah 70 emoji baru kepada pengguna, selain sokongan Depth Control pada kamera. Sokongan dwi-SIM pada iPhone XS, XS Max dan XR juga akan diaktifkan melalui kemaskini perisian ini.