Cari @ Amanz

Google Pixel tahun 2016, Google Pixel 2 tahun 2017 dan tahun 2018 adalah tahun buat Google Pixel 3. Pixel adalah siri telefon pintar Google tersendiri. Ia boleh dikatakan adalah pengganti kepada siri Nexus. Tahun demi tahun, peranti Pixel ini semakin baik dan buat generasi ketiga ini – tidak dinafikan adalah antara yang terbaik.

Google masih kekal menggunakan satu lensa buat Pixel 3, cuma untuk kamera swafoto – kini terdapat dua lensa. Bahagian perisian pula, ia adalah Android asli Android 9.0 Pie dan pengalamannya adalah yang terbaik. Bagaimana pengalaman selepas menggunakannya beberapa hari? Ini adalah artikel pandang pertama.

Spesifikasi

Google Pixel 3 XL
Skrin 6.3″ QHD AMOLED HDR (523 PPI)
Pemproses Snapdragon 845
Cip Lapan Teras
4×2.5 GHz Kryo 385 Gold
4×1.6 GHz Kryo 385 Silver
Cip Grafik Adreno 630
RAM 4 Gigabyte LPDDR4
Muatan Dalaman 64/128 Gigabyte UFS
Kamera Utama 12.2 Megapixel.
f/1.8,OIS, PDAF
Kamera Depan 8+8 Megapixel
f/1.8 + f/2.2
Bateri 3430 mAh
(Pengecasan pantas + nirwayar)
SIM/Telefoni Satu Sim
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air IP68
Sistem Imbasan Cap jari
Harga Jualan RM3759 (tukaran matawang secara terus).
RM4599 (harga jualan set import)

Google Pixel 3 XL kali ini menggunakan panel AMOLED daripada Samsung dan tidak lagi dari LG. Panel AMOLED ini adalah 6.3-inci, resolusi 1440 x 2960 dengan nisbah 18.5:9. Paling menjengkelkan adalah Pixel 3 XL ini mempunyai takuk yang sangat besar – ia boleh dikatakan adalah yang paling besar dalam sejarah peranti Android.

Akan tetapi takuk ini bukan sebarang takuk, kerana Google memuatkan pembesar suara dan juga dua lensa kamera sudut lebar. Satu sudut lebar biasa dan satu lagi adalah ultra-lebar. Jika takuk yang besar yang menjengkelkan ini tidak digemari, seperti mana-mana peranti Android lain – ia turut boleh disorokkan melalui tetapan yang terbina dalam peranti.

Sedikit tambahan di bahgaian skrin. Disebabkan ia adalah panel AMOLED Samsung, jadi kualitinya adalah tinggi. Takuk yang disorokkan sukar untuk dilihat. Kemudian, skrin Pixel 3 XL ini turut menyokong mod Always-on display, 100% DCI-P3 dan juga HDR.

Pixel 3 XL dijana dengan cip Snapdragon 845 dan kekal dengan memori 4GB RAM dan pilihan storan 64GB atau 128GB. Google dilihat ingin mengikut jejak langkah Apple dengan tidak menggunakan RAM yang besar kerana Android aslinya yang hebat. Tiada sokongan kad mikroSD, tetapi Google menawarkan kuota Google Photos pada saiz asli dan resolusi penuh tanpa had.

Untuk kamera, Google Pixel 3 XL menggunakan satu lensa 12.2 MP, f/1.8, OIS dan dwi-pixel auto-fokus berfasa pada kamera utama. Untuk kamera swafoto ia menggunakan dwi-lensa dan sensornya adalah 8 MP, f/1.8 dan 8 MP, f/2.2 lensa ultra-lebar.

Google turut ingin mencuba tandingi Huawei dengan menambah mod malam mereka yang dinamakan Night Sight. Walau bagaimanapun, fungsi ini masih belum boleh digunakan sehingga bulan November kelak. Lain-lain tambahan adalah kemampuan zoom digital yang dibantu dengan kecerdasan buatan untuk mengurangkan noise dan memberi hasil yang jelas. Kemudian turut terdapat mod Photobooth yang hanya akan mengambil gambar jika membuat mimik wajah yang kelakar. Banyak lagi fungsi menarik yang Google muatkan dalam kamera mereka dari segi perisian.

Bateri yang Google gunakan pada Pixel 3 XL adalah 3430mAh. Ia menggunakan sistem pengecasan pantas Power Delivery 2.0 melalui port USB-C. Kelajuan pengecasan ini pula adalah terhad kepada 18W maksima. Untuk pertama kali, Google menyertakan sokongan pengecasan nirwayar pantas 10W – tetapi ia hanya boleh digunakan dengan Pixel Stand buat masa ini.

Jika dibandingkan dengan Pixel 2 XL, Pixel 3 XL mempunyai kemasan yang lebih premium dan kali ini untuk perlindungan skrin – ia menggunakan Corning Gorilla Glass 5 dan juga kalis air dan debunya adalah IP68.

Rekabentuk

Jika dilihat sekilas pandang, rekaan Pixel 3 XL sangat mirip dengan Pixel 2 XL. Ia mempunyai rekaan yang asli dan tidak mempunyai persamaan dengan rekaan peranti lain. Kemasan kaca di bahagian belakang kini lebih kemas, terasa premium dan sangat selesa di dalam genggaman tangan.

Panel hadapan dari bahagian sisi kiri dan kanan, bingkainya adalah lebih nipis. ‘dahi‘ peranti ini juga adalah nipis, tetapi pengorbanan di sini adalah kehadiran takuk yang besar. ‘dagu‘ pula mempunyai saiz yang hampir sama dengan Pixel 2 XL.

Menjadikan panel belakang Pixel 3 XL ini unik adalah kerana, ia masih kekal dengan dua tona berbeza. Bahagian atas adalah kaca berkilat yang licin dan bahagian bawah hadir dengan kemasan yang pusam dan tidak licin.

Pada sisi kanan terdapat butang kuasa dan suara yang diperbuat daripada aluminium. Kerangka peranti ini juga dibina berasaskan aluminium. Tetapi, menjadikannya premium adalah lapisan hibrid yang digunakan yang menampakkan kerangka dan panel belakang peranti ini adalah dari bahan yang sama. Butang kuasa mempunyai warna yang sedikit berbeza. Untuk warna ‘Hitam Je..‘ (Just Black), butang kuasanya mempunyai warna hitam yang sedikit pusam. Tiada apa-apa di bahagian sisi kiri, di atas pula terdapat satu mikrofon dan di bahagian bawah adalah port USB-C dan slot kad sim.

Antaramuka

Antaramuka pada Pixel 3 XL ini adalah Android asli. Iaitu rekaan Material Design baharu yang hadir dalam sistem operasi Android 9.0 Pie. Font yang digunakan adalah Google Sans dan ia nampak kemas dan selesa di pandang. Android 9.0 Pie pada Pixel 3 XL ini adalah sama dengan Android Pie peranti Pixel lain. Cuma ia hadir sedikit dengan ciri dan fungsi khusus tersendiri.

Berikut adalah antara fungsi menarik yang hadir dalam Pixel 3 XL;

Kawalan Gesture – Tiada lagi bar navigasi atau butang navigasi. Ia kini menggunakan  100% kawalan gesture Android Pie.

Playground – Ia adalah ciri dalam kamera yang menggunakan teknologi Google ARCore. Ia hadir dengan watak Marvel untuk berswafoto bersama atau bergambar bersama.

Photobooth – Fungsi yang akan hanya mengambil gambar jika membuat mimik duckface atau mimik muka yang kelakar.

Night Sight – Mod mengambil gambar pada waktu malam seakan Huawei P20 Pro.

Sorok Takuk – Fungsi menyorok takuk yang tidak langsung menggunakan ruang tambahan di bahagian atas, secara terus menjadikannya sebagai skrin dengan nisbah hampir 16:9.

Google Assistant – Pengalaman Google Assistant yang sangat berbeza. Lebih lancar dan lebih menarik.

Aplikasi Lakaran – Tersembunyi dalam tetapan mengenai peranti. Ia hanya boleh diakses jika tap beberapa kali pada animasi P Android Pie.

Digital Wellbeing – Fungsi untuk mengawal pengguna dari obses terhadap peranti pintar.

Live Wallpaper – Live Wallpaper yang unik. Pergerakan animasinya realistik dan juga mempunyai interaksi dengan pengguna. Ia turut menyokong dalam mod Always-on Display.

Always-on Display – Turut digelar sebagai Ambient Display atau AOD. Pada Pixel 3 XL ia kini mempunyai paparan cuaca berwarna dan sangat menarik dilihat.

Kamera

Siri Google Pixel terkenal dengan penggunaan satu lensa. Kameranya boleh dikatakan sangat hebat walaupun hanya hadir dengan satu lensa. Ini kerana ia hadir dengan cip Pixel Visual Core dan juga penggunaan kecerdasan buatan Google yang hebat. HDR+ Enhanced adalah antara ciri dan fungsi yang paling ramai gemari. Hasil warna yang diberi sangat cantik, menarik dan menyerlah. Tidak lupa juga mod potret yang boleh diambil dengan satu lensa ini. Hasilnya adalah lebih baik dari Google Pixel 2 XL.

Kamera swafoto kali ini adalah lain daripada yang lain. Ia hadir dengan dwi-lensa. Walaupun kedua-dua lensa menggunakan sensor 8-megapixel tetapi saiznya adalah berbeza. Satu berkemampuan mengambil gambar sudut lebar dan satu lagi adalah ultra-lebar. Kini tiada masalah untuk berswafoto beramai-ramai. Kamera Google Pixel 3 XL banyak bergantung kepada perisian. Contoh ciri, Night Sight, Photobooth, Top Shot, dan banyak lagi. Ciri ini ada yang sudah noleh dicuba ada juga yang belum oleh digunakan sehingga November kelak.

Tiada Pixel 2, tiada GCam untuk peranti Android lain. Jadi, jika Pixel 2 telah menyelamatkan anda yang memiliki peranti Android yang kameranya hanya ‘ok’, apa pula jasa Pixel 3 kelak?

Kesimpulan

Tidak dinafikan, Google Pixel ini adalah cermin kepada Apple dengan iPhone. Dua syarikat besar, satu jenis telefon pintar, beberapa pilihan model telefon pintar dan sistem operasi yang asli dan eksklusif. Pixel 3 XL ini, pada awal penggunaan – saya sudah jatuh cinta dengan skrinnya dan juga kameranya.

Pengalam penggunaan awal pula adalah sangat menarik. Androidnya sangat lancar dan lain daripada yang lain. Untuk prestasi, bateri dan lain-lain pendapat – saya perlu uji pada jangka masa yang lebih lama dan mungkin akan saya terbitkan dalam artikel ulasan kelak.  Pixel 3 XL kini menjadi pilihan untuk peranti harian saya. Saya sudah tinggalkan iPhone XS saya dan ingin cuba Pixel 3 XL ini.

Sejujurnya, dalam masa 2 hari menggunakan Pixel 3 XL ini – saya sudah merindui iPhone. Apa-apa pun, jika anda ingin tahu jika Pixel 3 XL adalah lebih hebat daripada iPhone XS ataupun tidak – nantikan ulasan penuh kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd