Microsoft Mempunyai 1.5 Bilion Pengguna Sistem Operasi Windows Di Seluruh Dunia

Microsoft Mempunyai 1.5 Bilion Pengguna Sistem Operasi Windows Di Seluruh Dunia

Diterbitkan pada Okt 30, 2018 oleh .

Tidak dinafikan bahawa sistem operasi Microsoft Windows ialah sistem operasi komputer yang paling popular di dunia. Baru-baru ini, Microsoft telah hadir dengan sebuah laman infografik Microsoft By The Numbers yang menunjukkan pelbagai butiran mengenai syarikat Microsoft dan juga pelbagai produk dibawah jenama tersebut, terutamanya sistem operasi Windows.

Di laman web tersebut, Microsoft mengatakan bahawa terdapat 1.5 bilion pengguna sistem operasi Windows di seluruh dunia. Akan tetapi, Microsoft tidak menunjukkan pecahan pengguna sistem operasi Windows, samada mereka menggunakan Windows 10, 7, Vista ataupun XP.

Laman web Microsoft By The Numbers ini juga menunjukkan beberapa butiran menarik mengenai syarikat tersebut, seperti bilik kedap bunyi paling senyap di dunia mereka yang mempunyai tahap bunyi -20.6 desibel yang memenangi anugerah Guinness Record.

Selain dari itu, mereka mempunyai sebuah pusat pembinaan peralatan kuantum yang dikatakan 200 kali lebih sejuk daripada angkasa lepas untuk memastikan komponen-komponen tersebut disejukkan dengan sempurna.

Microsoft juga sedang menguji aplikasi Seeing AI mereka yang kini membantu 10 juta pengguna yang rabun teruk untuk mengimbas kod bar produk di pasaraya dan juga teks di dalam buku dan surat khabar untuk memudahkan pengguna membaca.

Terdapat pelbagai maklumat menarik yang lain di laman web Microsoft By The Numbers ini, dan jika anda berminat untuk mempelajari lagi mengenai syarikat teknologi tersebut, anda boleh layarinya sekarang.

Layari laman web Microsoft By The Numbers


TIPS & ULASAN