Anda mungkin kenal dengan syarikat-syarikat pembekal perkhidmatan Internet (ISP) di Malaysia yang terkenal seperti Telekom Malaysia, Maxis, TIME dan sebagainya.
ViewQwest ialah sebuah lagi ISP yang sudah bertapak di Malaysia untuk beberapa tahun, dan baru-baru ini, mereka telah memperbaharui pelan Fibernet mereka dengan tanda-tanda harga yang baru.
Pelan tersebut hadir dengan kelajuan muat-turun dan muat-naik bersimetri (symmetrical download/upload) selaju 1Gbps, dan pelanggan-pelanggan ViewQwest boleh memuat-turun dan naik fail pada kelajuan tersebut tanpa sebarang masalah.
Apa yang lebih menarik lagi, pelan kelajuan Fibernet 1Gbps ini hadir dengan dua tanda harga yang cukup mampu-milik, iaitu RM148 jika anda berada dibawah kontrak 24 bulan, ataupun RM168 dengan kontrak 12 bulan.
Selain daripada sambungan muat-turun/naik bersimetri, ViewQwest turut menjanjikan kelajuan yang tidak dikawal (traffic shaping) tidak kira laman web ataupun aplikasi/perisian yang anda gunakan, dan juga penghalaan paket (packet routing) yang terpantas supaya anda tidak terjejas dengan masalah sela-masa rangkaian yang dihadapi oleh pelbagai ISP lain.
Sayangnya, kawasan liputan ISP ViewQwest ini masih lagi sangat terhad pada beberapa kawasan sahaja, termasuklah Setia Eco Glades, Setia Sky 88, Suasana Iskandar, Tropicana Avenue dan juga Tropicana Gardens.
Bagi anda yang mempunyai kediaman di kawasan-kawasan ini, anda sudahpun boleh mula mendaftar untuk pelan ini, dan bagi mereka yang sudahpun menjadi pelanggan ViewQwest, mereka akan menghantar emel kepada anda untuk penaiktarafan kepada pelan terbaru ini.