Cari @ Amanz

Beberapa bulan dahulu, kami ada mengulas mengenai tablet produktiviti berkuasa daripada Microsoft, iaitu Microsoft Surface Pro yang hadir dengan spesifikasi yang berkuasa dan juga tanda harga yang sangat premium.

Ekoran itu, Microsoft memperkenalkan sebuah lagi peranti tablet Microsoft Surface baru yang dinamakan Microsoft Surface Go, iaitu sebuah tablet produktiviti yang hadir dengan spesifikasi dan tanda harga yang lebih mampu milik.

Spesifikasi Dan Rekaan

Microsoft Surface Go
Skrin 10.0 inci (1800×1200)
Pemproses Intel Pentium Gold 4415Y
RAM 8 Gigabyte DDR4
Muatan Dalaman SSD 128GB
Kamera 5MP (Pandang hadapan), 8MP (Pandang belakang
USB USB Type-C x1
HDMI Tiada
Pembaca Kad MicroSD
Kad Grafik Tiada
Harga Jualan RM2888 (Dengan papan kekunci Type Cover)

Jika tablet Microsoft Surface Pro sebelum ini hadir dengan spesifikasi dalaman berkuasa seperti siri CPU Intel Core dan SSD yang sangat pantas, tablet Microsoft Surface Go ini dilengkapi dengan CPU Intel Pentium Gold 4415Y, pilihan memori DDR4 sebanyak 4GB dan 8GB dan juga storan eMMC 64GB ataupun storan SSD 128GB.

 

Tablet Microsoft Surface Go ini hadir dengan paparan PixelSense bersaiz 10 inci yang mempunyai resolusi 1800×1200 yang cukup tinggi sekali. Akan tetapi, berbeza dengan rekaan hampir nirbingkai Microsoft Surface Pro sebelum ini, tablet Surface Go ini mempunyai bingkai yang agak tebal di semua bahagian.

Dari segi I/O, tablet Surface Go ini hadir dengan satu palam USB 3.1 Type-C, satu palam audio 3.5mm dan satu pembaca kad MicroSD. Untuk pengecasan pula, peranti ini masih menggunakan palam pengecasan 13-pin yang sama seperti peranti Surface sebelum ini.

Peranti-peranti Microsoft Surface sebelum ini biasanya akan hadir dengan pilihan sistem operasi Microsoft Windows 10 Pro ataupun Home, tetapi tablet Microsoft Surface Go ini dimuatkan dengan sistem operasi Microsoft Windows 10 S,

Binaan tablet Microsoft Surface Go ini boleh dikatakan hampir sama dengan peranti Microsoft Surface Pro sebelum ini, menggunakan aloi magnesium untuk rangka yang bukan sahaja ringan tetapi kukuh.

Dari segi rekaan, tidak boleh dinafikan bahawa tablet Microsoft Surface Go ini ialah sebuah peranti di dalam keluarga. Daripada bahan binaan yang digunakan, hinggalah ke engsel tapak tablet ini, Microsoft tidak mengurangkan sebarang kos apabila membina rangka peranti ini.

Microsoft Windows 10 S

Sistem operasi Windows 10 S ialah sistem operasi yang ringan, dan walaupun ia hadir dengan hampir kesemua ciri-ciri Windows 10 yang lain, satu perbezaan ketara yang dapat dilihat ialah ia hanya boleh memuat-turun dan memasang aplikasi dan perisian daripada Microsoft Store sahaja.

Ini bermakna sistem operasi ini tidak menyokong pemasangan melalui fail-fail .exe ataupun .msi secara kendiri, dan apa-apa perisian yang anda ingin gunakan haruslah dimuat-turun melalui Microsoft Store.

Tablet Surface Go ialah tablet pertama yang menyokong sistem operasi Windows 10 S ini, dan kami mencubanya untuk beberapa hari. Dari segi pengalaman pengguna, ia boleh dikatakan hampir sama seperti jika anda menggunakan laptop Windows 10 yang penuh, dimana perbezaannya hanyalah anda boleh memuat turun perisian daripada Microsoft Store sahaja.

Ini bukanlah suatu isu buat kami kerana kebanyakan perisian yang kami gunakan seperti Microsoft Office dan Photoscape boleh dimuat-turun melalui Microsoft Store tanpa sebarang masalah.

Satu isu bagi saya secara peribadi apabila menggunakan sistem operasi ini ialah tidak banyak pilihan untuk menggunakan pelayar web selain daripada Microsoft Edge. Ini bukanlah isu besar, tetapi bagi saya yang sudah biasa dengan pemalam-pemalam di pelayar seperti Mozilla Firefox dan Google Chrome, kekurangan ini sesuatu yang agak serius bagi saya.

Akan tetapi, jika anda ingin menggunakan sistem operasi Windows 10 yang asal, Microsoft membenarkan anda untuk melog masuk ke dalam Microsoft Store dan mengubah sistem operasi tablet tersebut dari Windows 10 S kepada Windows 10.

Satu kekurangan di sini ialah selepas anda menukar sistem operasi anda dari Windows 10 S kepada Windows 10, anda tidak boleh lagi menukar balik sistem operasi ke Windows 10 S.

Aksesori

Sama seperti peranti-peranti Microsoft Surface yang lain, aksesori-aksesori seperti papan kekunci, tetikus dan stylus perlu dibeli secara asing. Dengan papan kekunci Surface Go Signature Type Cover, anda boleh membeli aksesori tersebut dengan tablet Surface Go di dalam satu set.

 

Ini kami sarankan kerana seperti tablet Microsoft Surface yang lain juga, tablet Microsoft Surface Go ini hanya boleh dikatakan sebuah peranti yang lengkap apabila ia digunakan bersama-sama dengan papan kekunci Type Cover tersebut.

Anda juga perlu membeli papan kekunci khusus Surface Go Signature Type Cover kerana papan kekunci Type Cover biasa terlalu besar untuk tablet Surface Go ini.

Dua aksesori lain yang boleh anda beli untuk memudahkan lagi penggunaan tablet Surface Go ini ialah tetikus Microsoft Surface Mouse dan juga stylus Microsoft Surface Pen.

Tetikus Microsoft Surface Mouse boleh disambungkan ke tablet Surface Go menggunakan Bluetooth tanpa penggunaan dongle, dan ini sangat membantu jika anda perlu menggunakan tetikus kerana tablet ini hanya mempunyai satu palam USB 3.0 Type-C sahaja.

Tablet Surface Go ini juga menyokong pena stylus Microsoft Surface Pen yang mempunyai tahap tekanan setinggi 1024 tahap. Jika anda seorang profesional kreatif, tablet Surface Go ini cukup sesuai sekali digunakan sebagai peranti ciptaan kreatif yang boleh dibawa kemana-mana sahaja.

Pengalaman Pengguna

Sebagai seorang penulis yang sering perlu ke acara pelancaran produk ataupun temubual yang seringkali diadakan di lokasi-lokasi yang tidak begitu besar, tablet Microsoft Surface Go ini, bersama-sama dengan papan kekunci Surface Go Signature Type Cover ini telah banyak membantu saya menjalankan tugas dengan lancar oleh kerana saiznya yang kecil.

Pada mulanya, apabila saya melihat spesifikasi dalaman tablet ini yang menggunakan CPU Intel Pentium Gold, saya teringat pengalaman menggunakan laptop JOI Book 100 yang menggunakan CPU Intel Celeron, dan berasa sedikit risau.

Setelah menggunakannya untuk beberapa minggu, pendapat saya mengenai Surface Go ini berubah dengan mendadak. Dengan tablet ini, saya bukan sahaja boleh menulis laporan acara dengan cepat, tetapi dapat melakukannya tanpa perlu risau mengenai masalah sela masa yang biasa membelenggu banyak peranti dengan CPU berkuasa rendah,

Dengan tablet ini, saya menggunakan pelayar web Opera yang tidak menggunakan memori sebanyak Google Chrome ataupun Mozilla Firefox. Walaupun saya membuka dalam 15-20 tab laman web, saya tidak menghadapi masalah sela-masa yang teruk dan tersekat-sekat.

Tetapi, satu masalah jika saya membuka bilangan tab yang banyak ialah saiz paparan tablet yang kecil ini boleh menyebabkan saya sukar membuka tab-tab yang sangat kecil Saya hanya menghadapi masalah tersekat apabila membuka laman web yang menggunakan memori dengan banyak seperti Facebook sahaja.

Apa yang sangat menarik disini ialah apabila saya melayari video-video di YouTube, tablet ini mampu memainkan video-video pada resolusi 4K tanpa sebarang masalah. Jika ada masalah tersekat, ia adalah barangkali kerana sambungan WiFi yang digunakan tidak cukup laju untuk memuat-turun video tersebut.

Boleh dikatakan dari segi prestasi, tablet Microsoft Surface Go ini hampir tiada sebarang isu jika digunakan sebagai peranti untuk tugasan pejabat yang merangkumi pengolahan dokumen dan sebagainya, dan juga jika anda ingin menonton video-video dan rancangan kegemaran dengannya.

Perlu juga saya katakan disini bahawa tablet Microsoft Surface Go ini menggunakan panel PixelSense sama yang digunakan pada peranti-peranti Surface yang lain seperti Microsoft Surface Pro, Book dan Laptop.

Panel PIxelSense tersebut turut dipadankan dengan sepasang pembesar suara stereo yang cukup lantang sekali kekuatan bunyinya, dan walaupun anda hanya membeli tablet Surface Go ini untuk tujuan riadah seperti menonton video ataupun mendengar lagu, kualiti kedua-dua komponen ini sangatlah tinggi dan tiada kompromi dari Microsoft dari aspek ini.

Microsoft menjanjikan ketahanan bateri selama sembilan hingga sepuluh jam dengan satu pengecasan penuh tablet ini. Sepanjang penggunaan saya, dengan kecerahan paparan pada 25-50 peratus dan WiFi digunakan sepanjang masa, saya dapati bahawa tablet ini dapat bertahan selama enam hingga tujuh jam sahaja.

Bagi saya, ketahanan bateri selama tujuh jam tidaklah begitu teruk, tetapi janji Microsoft yang menyatakan bahawa ia boleh bertahan selama sembilan jam yang meleset adalah sesuatu yang sedikit menyedihkan.

Walaupun begitu, berita baik di sini ialah tablet Surface Go ini boleh dibiarkan dalam tetapan Sleep Mode apabila tidak digunakan, dan akan mengekalkan tahap bateri dengan sangat baik walaupun tidak digunakan untuk beberapa hari.

Secara peribadi, saya hanya menutup terus tablet ini apabila tidak digunakan kerana bagi saya, sistem operasi yang digunakan pada tablet ini masih dapat dibuka dengan cepat walaupun dari keadaan rehat.

Kelemahan

Selain daripada isu bateri, tablet Microsoft Surface Go ini turut mempunyai beberapa kelemahan yang lain. Sebentar tadi saya jelaskan mengenai bagaimana ia hadir dengan paparan PixelSense yang sangat cantik.

Akan tetapi, ia hadir dengan satu isu yang perlu dinyatakan, iaitu bezel yang sangat tebal berbanding dengan tablet Surface Pro yang dilancarkan pada awal tahun ini. Ini mungkin satu masalah kecil sahaja, tetapi bagi saya saiz paparan peranti ini boleh dibesarkan lagi jika Microsoft menggunakan rekaan hampir nirbingkai yang sama pada tablet Surface Go ini.

Paparan yang lebih besar bermakna pengguna boleh melihat lebih banyak kandungan pada peranti, dan untuk sebuah tablet, sebuah paparan besar dalam rekaan peranti yang padat ialah sesuatu yang banyak pembuat peranti sedang lakukan sekarang.

Satu isu yang saya pernah utarakan di dalam ulasan Microsoft Surface Pro saya ialah bagaimana tablet tersebut masih tidak mempunyai palam USB Type-C. Microsoft telah memperbetulkan masalah tersebut dengan tablet Surface Go ini, tetapi telah menimbulkan satu lagi isu dengan membuang palam USB Type-A pula.

Ini bermakna ia adalah lebih sukar untuk anda menggunakan aksesori-aksesori jika anda tidak mempunyai dongle yang boleh menyambungkan peranti USB Type-A anda kepada tablet ini, contohnya tetikus ataupun pembaca kad SD.

Bercakap tentang aksesori pula, sebelum ini saya ada memberitahu bahawa seelok-eloknya anda membeli tablet ini bersama-sama dengan aksesori papan kekunci.  Ini kerana jika anda ingin membeli papan kekunci Type Cover, ia haruslah Type Cover yang bersesuaian dengan tablet ini, kerana papan kekunci Surface asal tidak akan muat dengan tablet ini.

Patutkah Saya Membelinya?

Jika anda sedang mencari sebuah laptop ataupun tablet padat yang mudah dibawa kemana-mana, jawapan ringkas saya ialah ya. Tablet Microsoft Surface Go ini hadir dengan rekaan bersaiz netbook, dan hadir dengan prestasi yang boleh melakukan semua tugas-tugas pejabat anda tanpa sebarang masalah.

Model termurah Microsoft Surface Go boleh dibeli pada harga RM1799, di Shopee, tetapi saranan kami jika anda ingin membeli peranti Microsoft Surface Go ini ialah anda beli model yang hadir dengan memori sebanyak 8GB.

Ini supaya anda tidak mengalami masalah tersekat-sekat ataupun segar semula secara paksaan jika pelayar web anda mempunyai terlalu banyak tab yang dibuka. Memori 8GB pastinya lebih afdhal, dan akan melenyapkan kebarangkalian perisian menghadapi masalah tersekat dan sela-masa.

Penutup

Selain daripada spesifikasi dalaman, tablet Microsoft Surface Go ini boleh dikatakan sebuah lagi tablet siri Microsoft Surface yang disukai ramai. Rekaan dan kualiti binaan tablet ini hadir dengan kualiti tinggi yang sama seperti model-model Surface yang lain.

Dari aspek ini, Microsoft tidak menggunakan cara pintas untuk membina tablet ini, walaupun Microsoft Surface go ini merupakan model peranti Surface paling mampu milik.

Prestasi tablet ini turut mengejutkan saya, terutamanya apabila ia hanya menggunakan CPU Intel Pentium Gold. Selain daripada kebolehannya untuk menggerakkan perisian-perisian seperti pelayar web dengan 10-15 tab pada masa yang sama dan juga perisian pengolahan dokumen seperti Word, disamping mampu memainkan video 4K tanpa isu cukup mengagumkan.

Pro Dan Kelebihan

  • Saiz tablet yang padat dan mudah dibawa kemana-mana
  • Rekaan berkualiti sama taraf dengan peranti Surface sebelum ini
  • Prestasi yang mengagumakan – boleh menggerakkan video 4K tanpa masalah
  • Peranti Microsoft Surface pada harga lebih mampu milik
  • Boleh bertukar ke sistem operasi Windows 10 dengan percuma dan mudah

Kontra Dan Kekurangan

  • Bezel paparan yang tebal
  • Masih hanya mempunyai satu palam USB
  • Jangkahayat bateri tidak setinggi yang diperkatakan
  • Tidak boleh kembali ke Windows 10 S apabila sistem operasi dinaiktaraf ke Windows 10

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd