Setelah sekian lama tidak menawarkan kemaskini untuk Mac Mini selama ini, hari ini Apple mengubahnya dan memperkenalkan generasi baru Mac Mini.
Mac Mini kini hadir dengan pilihan cip empat teras dan 6 teras, selain menawarkan memori sehingga 64GB. Apple mengatakan kini ia menawarkan sokongan prestasi sehingga 5 kali ganda berbanding sebelum-sebelum ini. Mac Mini turut menggunakan rekaan daripada aluminium yang dikitar semula, selain turut menawarkan kadar kitaran udara yang baik dalam Mac Mini untuk memastikan prestasi yang baik untuk penggunaan masa panjang.
Dari segi storan, ia hadir dengan pilihan sehingga 2TB SSD. Melengkapkan komputer bersaiz mini juga adalah cip Apple T2. Pengguna juga boleh menghubungkan lebih daripada satu Mac Mini untuk penawaran pemprosesan yang lebih berkuasa tinggi. Dari segi sokongan port, ia hadir dengan empat Thunderbolt 3, sokongan HDMI 2.0, dan dua port USB-A. Selain itu, ia juga menyertakan bicu audio dan juga Gigabit Ethernet.
Mac Mini baru ini akan boleh dipra-tempah di Amerika Syarikat bermula hari ini, pada harga bermula $799 iaitu sekitar RM3342.