Cari @ Amanz

8 Perkara Menarik Pada Apple iPad Pro 2018

Link Copied!

Seperti diramalkan iPad Pro baharu dilancarkan dengan perubahan paling drastik sejak iPad dilancarkan lapan tahun yang lalu. Jadi apakah perubahan paling menarik yang dilakukan oleh Apple pada tablet ini? Berikut ialah senarai perkara-perkara yang kami rasakan paling menarik mengenai iPad Pro baharu.

Skrin Lebih Besar

Dua model iPad Pro baharu diperlihatkan iaitu 12.9″ dan 11″. Model dengan skrin 11″ sebenarnya mempunyai saiz tubuh yang sama dengan iPad Pro 10.5″. Bezel yang lebih nipis ini turut membolehkan iPad Pro 12.9″ mempunyai saiz tubuh yang lebih kecil. Sebagai pemilik iPad Pro 12.9″, saiznya yang terlalu besar membuatkannya sukar untuk dipegang.

Bagi menyelesaikan masalah tiadanya bezel yang besar, sisi tablet kini berkotak mengingatkan kami kepada rekaan sebuah MacBook Pro. Ini besar kemungkinan disengajakan kerana Apple melihat iPad Pro sebagai pengganti komputer riba di masa hadapan. Malahan menurut Apple lagi iPad Pro lebih berkuasa berbanding lebih 92% komputer notebook yang dilancarkan sejak 12 bulan yang lalu.

Face ID

Sistem imbasan wajah Face ID kini akhirnya hadir pada tablet paling popular di pasaran. Ini dilakukan tanpa penggunaan sebarang takuk pada skrin. Berbeza dengan sistem Face ID pada iPhone XS, di iPad Pro nyahkunci dapat dilakukan pada posisi mendatar dan juga menegak. Tanpa butang Face ID, iPad Pro baharu kini menggunakan sistem navigasi berasaskan gesture. Kesemua produk baharu iOS kini menggunakan sistem navigasi yang seragam. Namun ia masih mengekalkan dermaga untuk aplikasi kegemaran, multi tugas dengan menatal bahagian bawak skrin dan menggunakan dua aplikasi serentak di atas skrin.

Sokongan Apple Pencil Generasi Kedua

Apple Pencil generasi kedua turut dilancarkan sekaligus mengesahkan ura-ura yang didengari sebelum ini. Tidak seperti Apple Pencil generasi pertama, model terkini ini tidak perlu dicucuk terlebih dahulu kepada iPad bagi melakukan tambatan. Ia hanya perlu dilekapkan kepada sisi iPad secara magnetik. Ini adalah jauh lebih mudah dan pantas. Pada waktu yang sama ia kini menyokong dwi-tap pada sisi tubuh. Ini boleh digunakan untuk menukar berus di dalam aplikasi lakaran. Malahan tidak mengejutkan jika pembangun aplikasi boleh menggunakan API yang sama untuk menjadikan Apple Pencil baharu ini sebagai pemetik kamera sama seperti Galaxy Note 9.

Fungsi Powerbank Dan Pengecas Nirwayar

Buat pertama kali iPad Pro mampu mengecas iPhone apabila disambungkan secara berwayar. Sebelum ini fungsi sebagai powerbank hanya ditemui pada peranti Android. Seperkara lagi yang pertama kali dilakukan ialah iPad Pro boleh mengecas Appe Pencil baharu secara nirwayar. Apabila Apple Pencil baharu dilekatkan secara magnetik pada sisi tablet, ia akan dicas secara nirwayar.

Status bateri akan dipaparkan pada skrin memudahkan pengguna mengetahui tahap pengecasan.Ini menyelesaikan masalah Apple Pencil generasi pertama yang sukar dicas. Tiada lagi keperluan menyambung kepada port Lightning sebelum ini masalah Pencil yang hilang kerana tiada tempat simpanan khusus.

USB-C

Sebuah lagi ura-ura menjadi benar hari. iPad Pro menggantikan port Lightning dengan USB-C. Ini dilakukan bagi membolehkan iPad Pro disambungkan kepada monitor sekunder dengan resolusi sehingga 5K. Bagi pengguna kreatif, karya yang dihasilkan boleh dilihat terus pada skrin sekunder yang lebih besar. Ia juga membuka ruang kepada aksesori USB-C lain digunakan bersama iPad seperti kamera digital dan tetikus bagi yang memerlukannya. Dengan ini iPad Pro akan menjadi lebih versatil sebagai peranti penghasil kandungan kreatif.

Cip Apple A12X Bionic

Anda memiliki sebuah iPhone XS? Berita buruk hari ini ialah telefon yang baru anda miliki bukan lagi peranti iOS yang paling berkuasa dikeluarkan oleh Apple. iPad Pro baharu menggunakan cip terkini A12X Bionic. Ia hadir dengan CPU 8 teras dan GPU 7 teras menggunakan proses 7nm. Sebagai perbandingan A12 Bionic pada iPhone XS hadir dengan CPU 6 teras dan GPU 4 teras sahaja. Kuasa yang lebih ini membolehkan aplikasi lebih berkuasa digunakan seperti Photoshop dan CAD yang sebelum ini tidak boleh dilakukan oleh sebuah tablet.

Storan Sehingga 1TB Dan Memori Sehingga 6GB RAM

Visi Apple seperti kami katakan beberapa perenggan di atas ialah melihat iPad sebagai pengganti komputer riba. Cip pemproses berkuasa A12X Bionic ini tidak berguna tanpa peranti dengan storan yang besar. Untuk itu iPad Pro hadir dengan pilihan storan sehingga 1 TB. Ini kali pertama storan sebesar ini ditawarkan pada peranti iOS. Fail-fail gergasi untuk Photoshop dan CAD boleh disimpan tanpa risau tiadanya storan yang mencukupi.

Bagi memastikan kelancaran menggunakan aplikasi yang berat, model dengan 1TB ini turut hadir dengan memori sebesar 6GB RAM. Model-model lain hanya dilengkapi 4GB RAM iaitu saiz yang sama seperti yang ditemui pada iPhone XS dan XS Max.

Pengecas Pantas Disertakan Dengan Setiap Pembelian

Ini mungkin topik yang mungkin dianggap remeh tetapi pengecas pantas 18W disertakan dengan setiap pembelian iPad Pro. Pengguna boleh memikmati pengecasan pantas tanpa perlu membeli aksesori tambahan seperti yang berlaku kepada pembeli iPhone X, XS, XS Max dan XR. Pengecas ini juga dari gambar yang diberikan bersaiz kecil tidak seperti pengecas USB-C MacBook yang ditawarkan sebelum ini. Sebagai pemilik iPhone XS Max, sebenarnya ini membuatkan geram dengan Apple kerana tidak memberikannya percuma kepada kami.


Komen ()