Usai sudah acara pelancaran Apple MacBook Air, iPad Pro dan Mac Mini baharu di New York sebentar tadi. Pasti ramai yang teruja dengan fungsi baharu serta beberapa kemaskini yang telah dilakukan oleh Apple pada produk-produk popular ini. Bagi pengguna di Malaysia yang ingin membeli MacBook Air baharu, harga jualan tempatan kini telah diketahui.
Untuk model paling asas ia ditawarkan pada harga RM 5249 dan meningkat ke RM 11,229 untuk model yang paling premium. Pengguna diberikan pilihan memori sebesar 8/16 RAM dan storan SSD 128/256/512/1500 GB. Walau bagaimanapun hanya cip pemproses Intel Core-i5 generasi kelapan diberikan sebagai pilihan. Jika dipesan sekarang, anda akan menerima produk dalam masa 4-6 minggu. Harga MacBook Air generasi sebelum ini masih lagi kekal bermula dari RM4142 sebuah.