Cari @ Amanz

Apple hari ini telah pun melancarkan tablet terbaru mereka secara rasminya, iaitu iPad Pro. Tablet ini menawarkan pelbagai kemaskini dan penaik-tarafan berbanding iPad sebelum ini – sekaligus membawakan beberapa perubahan, dan bukan sekadar penaik-tarafan spesifikasi sahaja.

iPad Pro sebelum ini telah diperkenalkan sebagai mesin produktiviti dan pesaing kepada komputer riba. Langkah ini diteruskan melalui iPad Pro (2018) ini, apatah lagi dengan beberapa sokongan baru seperti penggunaan port USB-C.

Saya sendiri pernah menggunakan iPad Pro bersaiz 12.9-inci versi lama sebelum ini sebagai pengganti komputer riba. Namun, kurang seminggu menggunakannya, saya beralih kembali kepada komputer riba disebabkan beberapa kekurangan ketika itu. Melalui versi terbaru iPad ini, ia dilihat Apple telah cuba mengatasi beberapa perkara berkenaan.

Rekaan

Apple iPad Pro

iPad Pro baru hadir dalam dua variasi saiz, iaitu 11-inci dan juga 12.9-inci. iPad Pro versi 11-inci kini mengekalkan saiz keseluruhan seumpama iPad Pro 10.5-inci sebelum ini, sementara iPad 12.9-inci pula kini bersaiz sedikit kecil berbanding iPad Pro 12.9-inci sebelum ini.

Perkara ini berjaya dicapai oleh Apple dengan penggunaan rekaan bingkai tepi yang lebih kecil berbanding sebelum ini. Walaupun berbingkai kecil, ia masih selesa untuk dipegang dan digunakan tanpa sebarang masalah. Mungkin kerana kini ramai yang telah selesa menggunakan rekaan nirbingkai pada telefon pintar, maka mengimplementasikannya pada tablet akan menjadi lebih mudah dalam mengadaptasi penggunaannya. Skrin iPad Pro masih menawarkan paparan yang sangat cantik, dan kali ini Apple memanggil panel mereka sebagai Liquid Retina – selari dengan penjenamaan untuk panel pada iPhone XR.

Apple iPad Pro

Bingkai tepi juga kini lebih “petak” berbanding sebelum ini. Langkah ini menawarkan pengalaman sebuah tablet yang lebih premium berbanding sebelum ini, dan kelihatan lebih kukuh lagi. Pengalaman memegangnya secara ringkas turut memberikan lebih keselesaan dan kepuasan hati berbanding iPad Pro sebelum ini. Secara kasar, boleh dikatakan saya secara peribadi lebih suka rekaan iPad Pro baru ini berbanding sebelum ini.

Dengan rekaan berbingkai nipis ini juga, Apple telah membuang butang Home. Langkah ini selari dengan rekaan telefon pintar iPhone baru yang turut tidak menyertakannya. Memandangkan tiada butang Home lagi, maka kini iPad Pro berfungsi menggunakan gesture sepenuhnya.

Apple iPad Pro

Untuk pulang ke halaman utama iPad Pro selepas membuka sebarang aplikasi, pengguna hanya perlu tatal (swipe) daripada bawah skrin ke atas, sementara untuk mengakses halaman aplikasi yang sedang dibuka (multi-tugasan), maka anda perlu tatal daripada bahagian bawah skrin ke bahagian tengah. Pengguna juga boleh mengeluarkan dock aplikasi daripada bahagian bawah skrin.

Dibahagian kanan tablet berkenaan, Apple menyertakan penyambung magnetik untuk Apple Pencil, port USB-C dibawah, dan tiada lagi bicu audio. Pada bahagian belakang, Apple menyertakan kamera 12-megapixel yang sedikit tertimbul.

Apple iPad Pro

Spesifikasi

Tidak lengkap rasanya bercakap mengenai sesuatu gajet tanpa menyentuh secara ringkas berkaitan dengan spesifikasi peranti berkenaan. iPad Pro meneruskan tradisi sebagai tablet berkuasa tinggi dipasaran, dan kini ia hadir dengan dijana menggunakan cip Apple A12X Bionic.

Penggunaan cip pemprosesan berasaskan 7nm ini sekaligus menjadikan iPad Pro (2018) sebagai tablet dengan penawaran seumpamanya di pasaran. Ini sekaligus menawarkan sokongan pemprosesan berkuasa tinggi melaluinya, selain kini lebih efisyen dalam pengurusan tenaga.

Apple iPad Pro

Selain cip pemprosesan, kini Apple juga turut menambah pilihan storan sehingga 1TB. Pengenalan storan bersaiz besar ini juga mungkin ditujukan kepada pengguna yang ingin menggunakannya sebagai pengganti komputer riba mereka. Apatah lagi dengan aplikasi Adobe Photoshop yang akan datang, selain sokongan USB-C yang membolehkan anda mengimport gambar daripada kamera DSLR anda dengan mudah untuk penyuntingan pada tablet ini.

iPad Pro (2018) juga turut menyertakan sokongan GPU tujuh-teras, sekaligus menawarkan pengalaman permua yang baik, selain sokongan untuk memudahkan tugasan anda ketika menggunakan tablet ini untuk tujuan multimedia – termasuk untuk realiti-gabungan.

Apple iPad Pro

Untuk rakaman gambar, ia menyertakan kamera 12-mepapixel f/1.8 dibelakang, selain kamera swafoto 7-megapixel f/2.2 dihadapan. Seperti biasa, kamera hadapan boleh digunakan untuk membuat panggilan video bersama rakan-rakan yang lain, sementara kamera belakang boleh digunakan untuk merakamkan gambar dokumen, selain penggunaan realiti-gabungan.

Seperti generasi sebelum ini juga, iPad Pro hadir dengan sokongan selular menggunakan kad nano-SIM.

USB-C

Salah satu perubahan besar yang hadir pada iPad Pro (2018) adalah penggunaan port berasaskan USB-C menggantikan penggunaan port Lightning sebelum ini. Langkah ini membolehkan pengguna menghubungkan lebih banyak aksesori ke tablet ini, dan menggunakannya untuk tujuan produktiviti.

Buat masa ini, sokongan USB-C ini hanya terhad untuk beberapa perkara, termasuk untuk pindaan dokumen atau fail dari satu peranti ke iPad Pro, selain sambungan iPad Pro ini kepada monitor. Sambungan kepada monitor juga bukan sekadar menjadi mirror semata-mata, sebaliknya boleh digunakan sebagai panel paparan kedua – sekaligus memudahkan tugasan anda menyunting video dan sebagainya.

Apple iPad Pro

Untuk USB-C ini, Apple menggunakan piawaian USB 3.1 generasi kedua, dan bukannya Thunderbolt 3. Ini sekaligus membolehkan pindaan dokumen dilakukan pada kelajuan sehingga 10-gigabit.

Daripada demo yang dipertontonkan kepada kami, Apple memperlihatkan kebolehan menghubungkan kamera DSLR ke iPad Pro, selain turut menghubungkan panel monitor 5K bersama-sama tablet ini.

Penggunaan USB-C juga membuka peluang kepada pengguna menggunakan pelbagai penyesuai di pasaran untuk menghubungkan ke iPad Pro mereka – termasuk penyesuai untuk bicu audio.

Selain daripada itu, Apple turut menyertakan sokongan mengecas keluar melalui port USB-C yang hadir pada tablet ini. Ia sekaligus membolehkan pengguna menghubungkan telefon pintar lain melalui sambungan USB-C, sekaligus menjadikan iPad Pro ini sebagai powerbank ketika kecemasan.

Apple iPad Pro

Face ID

Satu lagi perubahan besar pada iPad Pro baru ini adalah tiada lagi penyertaan butang Home fizikal padanya. Sebagai ganti, ia gunakan sokongan gesture, selain menggunakan Face ID untuk tujuan sekuriti.

Apple iPad Pro

Face ID untuk iPad Pro turut telah dibuat sedikit pengoptimasian. Apple mengatakan kini ia boleh digunakan pada pelbagai arah – dimana Face ID boleh mengecam wajah anda tidak kira bagaimana anda sedang memegang tablet berkenaan, sama ada menegak atau secara melintang.

Face ID boleh digunakan bukan sahaja untuk nyah-kunci peranti, tetapi juga boleh digunakan untuk mengesahkan sesuatu bayaran, atau log masuk ke sesuatu aplikasi dengan pantas. Face ID sebelum ini telah menawarkan sokongan mengecam dua wajah pada peranti yang sama, dan ia dijangka diteruskan pada tablet baru ini. Jadi, mungkin sekiranya anda membeli iPad Pro ini untuk kegunaan keluarga atau dirumah, anda perlu nyah-aktifkan ciri Face ID ini.

Apple Pencil

Apple Pencil

Bersama-sama kemaskini untuk iPad Pro, Apple turut menawarkan kemaskini untuk aksesori popularnya, iaitu Apple Pencil.

Apple Pencil generasi baru ini menawarkan rekaan yang lebih kecil, selain boleh dicas secara nirwayar melalui iPad Pro baru ini.

Apple Pencil

Apple Pencil menggunakan rekaan mendatar pada bahagian tepi, selain membulat pada bahagian lain. Ia boleh dicas secara nirwayar dengan menghubungkan ia pada bahagian magnetik baru ditepi iPad Pro (2018) ini. Menariknya, langkah ini juga akan mengelakkan daripada Apple Pencil hilang atau tersilap letak – salah satu masalah besar pada generasi sebelum ini.

Apple Pencil baru juga turut menyertakan sokongan dwi-tap pada bahagian hadapannya. Dengan ini, ia membolehkan anda membuat pintasan untuk sesuatu perkara dengan mudah. Sebagai contoh, ketika anda sedang melakar, anda boleh menetapkan dwi-tap untuk mengaktifkan pemadam – sekaligus memudahkan lagi proses lakaran anda berbanding sebelum ini.

Apple Pencil

Pada masa yang sama, pengguna juga turut boleh mengaktifkan Notes serta-merta dengan hanya tap Apple Pencil pada iPad Pro ketika ia dalam keadaan terkunci – lebih kurang seperti yang dilakukan pada Galaxy Note. Langkah ini sekaligus membolehkan anda mencatatkan sesuatu perkara atau melakukan lakaran dengan serta-merta tanpa perlu melalui beberapa langkah seperti sebelumnya. Secara kasar, boleh dikatakan saya lebih menyukai ciri Apple Pencil baru ini berbanding sebelum ini.

iPad Pro 2018

Lain-Lain

Apple iPad Pro baru juga turut membawakan lokasi baru untuk Smart Connector, dimana ia dialihkan ke bahagian bawah iPad berbanding sebelumnya. Ia digunakan untuk menghubungkan iPad anda bersama papan kekunci Keyboard Folio – sekaligus menjadikannya sebagai salah satu komputer riba. Keyboiard Folio baru juga hadir diintegrasikan dengan beberapa ciri-ciri untuk iPad Pro baru, sebagai contoh menekan spacebar dua kali akan membolehkan anda nyah-kunci iPad Pro menggunakan Face ID. Perubahan lokasi baru ini juga menjadikan aksesori iPad Pro sebelum ini tidak boleh digunakan bersama dengannya.

Apple iPad Pro

Penutup

Secara keseluruhan, iPad Pro (2018) semakin menghampiri penawaran seumpama sebuah komputer berbanding sebelum ini. Ia kini menawarkan saiz storan besar, kebolehan menyambungkan peranti bersama peranti berasaskan USB-C lain, selain pada masa yang sama menawarkan kuasa pemprosesan baik pada suatu tablet. Dengan sokongan pembangun aplikasi seperti Adobe yang ingin membawa Photoshop versi penuh ke iPad, kita mungkin melihat iPad Pro ini digunakan dengan lebih meluas sebagai ganti atau pelengkap untuk komputer. Secara tidak langsung, ia juga akan menjadikannya sebagai “komputer” Apple dengan sokongan skrin sentuh sepenuhnya.

Seperti biasa, ini sekadar pandang pertama ringkas kami selepas mencuba iPad Pro untuk kurang sejam. Kami akan hadir dengan ulasan penuh tablet ini sebaik sahaja ia memasuki pasaran tempatan.

Di Malaysia, iPad Pro baru ini ditawarkan pada harga bermula RM3499 untuk versi 11-inci, sementara versi 12.9-inci pula ditawarkan pada harga bermula RM4399.

Apple iPad Pro

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd