Huawei Watch GT dilancarkan di London dua minggu yang lalu bersama dengan peranti di bawah keluarga Mate 20. Hari ini tiba giliran Honor pula untuk melancarkan Honor Watch dan rekaan jam tangan pintar ini telahpun tertiris ke arena web selepas ditemui di dalam aplikasi Huawei. Jangan betulkan kaca mata anda kerana Honor Watch memang menyerupai Huawei Watch GT.
Tiada perbezaan ketara yang dapat kami lihat di antara kedua-dua jam tangan pintar ini. Honor Watch mengekalkan penggunaan dua butang kawalan sisi dan juga rekaan tubuh yang sama. Huawei kerap kali mengitar semula rekaan telefon pintar mereka untuk digunakan pada jenama Honor. Tetapi kali ini rekaannya terlalu sama dan perbezaan spesifikasi sekiranya ada hanya akan diketahui pasca pelancarannya kelak.