Cari @ Amanz

Siri peranti realiti maya HTC Vive ialah hasil kerjasama diantara pihak HTC dan juga Valve untuk membina sebuah peranti yang boleh memasukkan pengguna ke dunia maya yang cukup imersif dan realistik.

HTC memperkenalkan dua buah peranti Vive baru, iaitu HTC Vive Pro dan HTC Vive Consumer Edition untuk pasaran dunia, dan hari ini, ECS Sdn Bhd, sebuah syarikat pengedar peralatan IT dan elektronik baru sahaja diiktiraf sebagai pengedar siri peranti HTC Vive untuk pasaran Malaysia.

HTC Vive Pro ialah peranti realiti maya kelas atasan yang hadir dengan head-mounted display (HMD) dengan fon kepala terbina, Link Box Untuk menyambungkan HMD kepada komputer, dua base station untuk menjejak pergerakan pengguna, dan dua pengawal permainan untuk interaksi di dalam ruang maya.

HTC Vive Consumer Edition pula hadir dengan HMD yang mempunyai rekaan HMD yang berbeza, dan dua base station dan pengawal permainan yang sama seperti sebelum ini.

ECS akan membawa masuk kedua-dua peranti HTC Vive Pro Starter Kit dan juga HTC Vive Consumer Edition bermula 31 Oktober. HTC Vive Pro Starter Kit akan dijual pada harga RM6099, manakala HTC Vive Consumer Edition pula akan dijual pada harga RM2999.

Mereka yang berminat untuk membeli peranti HTC Vive Pro ataupun Vive Consumer Edition ini boleh ke laman membeli-belah atas-talian Lazada, Shopee ataupun 11street untuk membelinya.

Bagi semua pelanggan yang membeli HTC Vive Pro dari sekarang hingga 31 Disember 2018, dan 200 pembeli pertama HTC Vive Consumer Edition, mereka juga akan mendapat langganan tiga bulan secara percuma untuk VivePort, platform atas-talian HTC Vive untuk pelbagai perisian realiti maya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd