Cari @ Amanz

Pandang Pertama : MacBook Air Dengan Paparan Retina Dan Touch ID

Oleh Aman

Link Copied!

Apple mempunyai beberapa penawaran komputer riba, dan salah satunya adalah MacBook Air. Bercakap mengenainya sendiri, mungkin ramai yang masih ingat akan detik dimana Steve Jobs menariknya keluar daripada sebuah sampul surat biasa bagi memperlihatkan betapa nipisnya komputer riba berkenaan.

Kini, dari tahun ke tahun, komputer riba nipis telah menjadi trend ramai pengeluar seluruh dunia. Namun, Apple yang pada awalnya hadir dengan MacBook Air telah sekian lama tidak memperkenalkan kemaskini untuknya. Hal berkenaan berubah hari ini apabila Apple memperkenalkan MacBook baru bersama-sama sejumlah ciri-ciri baru.

MacBook Air 2018

Rekaan dan Spesifikasi

MacBook Air baru ini boleh dikatakan diposisikan antara MacBook dan juga MacBook Pro. Ia hadir dengan skrin 13-inci, dan pada kemaskini baru ini, Apple menyertakan panel paparan Retina bersama-sama dengannya.

Melalui penyertaan panel paparan Retina, ia sekaligus menjadikan hasil paparan yang dibawakan oleh komputer riba ini jauh lebih cantik berbanding generasi sebelumnya. Selain itu, ia juga membawakan pewarnaan lebih jitu – sekaligus menjadikan penyuntingan gambar dan video menggunakannya menawarkan hasil yang lebih kemas.

Apple MacBook Air

Rekaan bingkai skrin untuk komputer riba ini juga telah dikurangkan, menjadikannya lebih bersaiz kompak berbanding sebelum ini. Walaubagaimanapun, tahap kenipisan-nya masih tidak seumpama Dell XPS 13 yang menawarkan rekaan nirbingkai pada komputer riba mereka. Namun, jikalau dibandingkan dengan rekaan MacBook Air sebelum ini, boleh dikatakan ia lebih nipis.

Kamera masih diposisikan pada bahagian atas untuk memudahkan anda melakukan panggilan video mahupun FaceTime kepada sehingga 32 orang pengguna pada waktu sama.

Apple mengatakan komputer riba ini kini dibina menggunakan aluminium yang dikitar semula 100%, sekaligus menjadikannya lebih mesra alam berbanding pengeluar lain di dunia. Dari segi binaan dan ketika memegangnya, ia masih menawarkan pengalaman seumpama MacBook yang lain dipasaran – dimana ia teguh dan kelihatan premium.

Apple MacBook Air

MacBook Air baru hadir dengan tiga pilihan warna baru, termasuk emas jambu, dan juga emas. Secara mata kasar, ia mungkin akan membuatkan beberapa pengguna tersilap membandingkannya dengan MacBook 12-inci, tetapi ia dapat dibezakan dengan melihat kepada penawaran ruangan port tambahan pada MacBook Air baru ini.

Dari segi spesifikasi, MacBook Air hadir dengan cip Intel Core i5 generasi kelapan, memori sehingga 16GB RAM, dan storan sehingga 1.5TB. Komputer riba ini turut hadir dengan penawaran dua port Thunderbolt 3, selain sokongan grafik Intel UHD Graphics 617.

Touch ID dan Cip Apple T2

Salah satu ciri baru yang hadir pada MacBook Air baru ini adalah sokongan Touch ID. Touch ID menawarkan sekuriti tambahan kepada komputer riba anda, dimana ia membolehkan anda log masuk ke komputer menggunakan cap jari.

Apple MacBook Air

Selain daripada itu, Touch ID juga berfungsi sebagai pengesahan tambahan ketika anda ingin membeli atau memuat-turun sesuatu kandungan.

Bercakap mengenai sekuriti lagi, selain daripada Touch ID, pihak Apple kini turut melengkapkan MacBook Air baru ini dengan sokongan cip Apple T2. Seperti ramai sedia maklum, cip ini telah hadir pada iMac Pro sebelum ini, dan turut disertakan pada MacBook Pro tahun ini.

Melaluinya, ia menawarkan sokongan sekuriti tambahan kepada pengguna yang beroperasi secara bebas berbanding cip komputer sedia ada. Sebagai contoh, dengan menggunakan Apple T2, ia akan mematikan akses kepada mikrofon dan sebagainya apabila komputer ditutup rapi (tanpa menghentikan sistem operasi). Ini sekaligus mengelak pihak ketiga mencuri dengar menggunakan mikrofon dan sebagainya.

Apple MacBook Air

Pada masa yang sama, cip T2 ini juga turut membolehkan sokongan “Hey Siri” – sekaligus membolehkan anda bertanya pelbagai perkara kepada Siri tanpa keperluan mengaktifkannya atau menekan sebarang butang fizikal terlebih dahulu.

Papan Kekunci Butterfly

Selain pada paparan dan sokongan Touch ID, satu lagi perubahan yang dibawakan pada MacBook Air baru ini adalah sokongan papan kekunci Butterfly generasi ketiga yang digunakan pada MacBook Pro.

Butterfly

Papan kekunci ini menawarkan rekaan mendatar, dan mungkin tidak menjadi kegemaran ramai pengguna pada awalnya – kerana jarak anda menaip yang sedikit dekat berbanding pada kebanyakkan komputer riba lain di pasaran. Malah, saya sendiri sebelum ini mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan peralihan daripada menggunakan papan kekunci ThinkPad kepada papan kekunci Butterfly ini. Walaubagaimanapun, selepas anda biasa dengan papan kekunci Butterfly ini, mungkin anda selesa, dan akan dapat melakukan input dengan pantas.

Bahagian trackpad juga kini bersaiz sedikit besar berbanding sebelum ini, selain pada masa yang sama menyokong input Force Touch.

Lain-Lain

Apple turut mengatakan yang mana kini ia hadir dengan sokongan speaker stereo yang lebih kuat. Namun, kami tidak dapat mengujinya pada ruangan terbuka kerana keadaan persekitaran yang bising. Melengkapkan komputer riba ini juga adalah sokongan tiga mikrofon.

Apple MacBook Air

Komputer riba ini dicas menggunakan USB-C, dan Apple mengatakan ia mampu menawarkan masa penggunaan sepanjang hari dengan sekali pengecasan penuh.

Penutup

Penawaran MacBook Air kali ini benar-benar menarik, dan mungkin membuatkan lebih ramai menyukai MacBook Air berbanding MacBook sendiri – memandangkan ia turut hadir dengan sokongan Touch ID, dan port tambahan yang membolehkan anda mengecas komputer riba dan menggunakan satu lagi port untuk menghubungkan MacBook Air bersama peranti lain.

Di Malaysia, MacBook Air ini akan ditawarkan dalam beberapa variasi, bermula pada harga RM5249 sehingga ke harga mencapai RM11,229. Apple juga masih menawarkan MacBook Air versi lama pada harga RM4142.

Apple MacBook Air


Komen ()