Cari @ Amanz

Honor Magic 2 Diumumkan Secara Rasmi – Telefon Boleh-Luncur, Dijana Kirin 980, Dilengkapi Enam Kamera

Oleh Nazrin

Link Copied!

Honor hari ini telah mengumumkan kehadiran peranti utama mereka, Honor Magic 2 secara rasmi di sebuah acara pelancaran di Beijing. Peranti tersebut banyak diperkatakan kerana ia diantara beberapa peranti yang hadir dengan ciri boleh-luncur selain daripada OPPO Find X dan juga Xiaomi Mi Mix 3. Seperti Mi Mix 3, Honor Magic 2 turut dioperasikan secara manual – dimana anda boleh-luncurkan skrin kebawah untuk mengakses kamera disebaliknya. Rekaan ini sekaligus menawarkan paparan skrin yang menyeluruh tanpa penggunaan takuk.

Honor Magic 2

Honor Magic 2 hadir dengan paparan AMOLED bersaiz 6.39 inci dan hadir dengan resolusi FHD+ 1080×2340. Peranti tersebut dikuasakan oleh CPU Huawei Kirin 980 dan hadir dengan pilihan memori sebanyak 6GB ataupun 8GB, disamping pilihan storan 128GB, 256GB dan juga 512GB.

Apa yang menarik mengenai kamera ini lagi ialah ia turut hadir dengan kecerdasan buatannya sendiri yang boleh menukar mod pengambilan gambar dengan sendirinya apabila sesebuah subjek berada di dalam fokus.

Dari segi kamera, Honor Magic 2 ini dilengkapi dengan enam buah kamera, tiga di bahagian belakang, yang menggunakan lensa 16MP+16MP dan sebuah lensa ultrawide 24MP, manakala tiga lensa hadapan terletak di bahagian gelungsur peranti ini, yang merupakan sebuah lensa 16MP dan dua lensa 2MP.

Peranti ini juga menggunakan sistem operasi Android 9.0 Pie, dan turut hadir dengan pembantu digitalnya sendiri yang dinamakan Yoyo. Sebuah bateri besar bersaiz 3400mAh yang dilengkapi teknologi pengecasan pantas yang dikatakan mampu mengecas dari kosong hingga 50 peratus dalam masa 15 minit, dan sehingga 85 peratus dalam masa 30 minit sahaja. Telefon ini turut menyokong pengecasan pantas sehingga 40W.

Honor Magic 2

Honor Magic 2 ini akan dijual di China bermula esok untuk model-model dengan memori/storan 6GB/128GB, 8GB/128GB dan 8GB/256GB, manakala model dengan pilihan 8GB/512GB pula akan mula dijual pada bulan Disember kelak. Di China, Honor Magic 2 ditawarkan pada harga bermula RMB 3799, iaitu sekitar RM2279.


Komen ()