Carian
Acer Melancarkan Monitor 4K Predator XB273K Dan Nitro XV273K Pada Harga Bermula RM2999
November 1, 2018 Effi Saharudin

Resolusi HD penuh sudah menjadi lumrah sejak tiga tahun kebelakangan ini. Malahan penggunaan resolusi yang lebih rendah hanya boleh ditemui pada peranti dan komputer kelas permulaan. Bagi pengguna yang ingin mengikuti perkembangan semasa, resolusi 4K UHD adalah perlu kerana imej yang lebih tajam serta jelas. Bagi memenuhi keperluan pengguna yang ingin menerjah ke dunia 4K UHD, dua monitor baharu telah dilancarkan di bawah jenama Acer Predator dan Nitro.

Acer Predator XB273K ialah monitor permainan video sebesar 27″ dengan sokongan resolusi 4K UHD. Ia turut hadir dengan sokongan NVIDIA G-Sync dan kadar segar semula 144Hz. Panel monitor menggunakan teknologi Quantum Dot dan juga paparan yang melepasi piawaian Vesa DisplayHDR 400. Ini membolehkan XB273K memaparkan 90% spektrum warna DCI-P3.  Bagi mengurangkan gangguan ketika sesi permainan, penghadang sisi juga disertakan dengan monitor ini.

Acer Nitro XV273K juga sebuah monitor 27″ dengan sokongan resolusi 4K UHD. Perbezaannya dengan XB2673K ialah ia menyokong teknologi AMD FreeSync, mengekalkan kadar segar semula 144Hz dan melepasi piawaian warna VESA DisplayHDR 400. Monitor ini dihasilkan bagi golongan pemain yang memerlukan paparan 4K UHD 144Hz pada harga lebih mampu milik. Rekaan kedua-kedua monitor adalah sama cuma terletak pada warna dan logo berbeza.

Acer Predator XB273K akan dijual pada harga RM 4599 bermula Disember ini manakal Acer Nitro XV273K pula dijual pada harga RM 2999 bermula pertengahan bulan ini.

Komen