MSI mungkin terkenal untuk komponen komputer dan laptop siri gaming mereka, tetapi mereka juga mempunyai laptop siri MSI Prestige untuk mereka yang menggabungkan prestasi dan kebolehan untuk dibawa ke mana-mana sahaja.
Hari ini MSI memperkenalkan dua buah laptop baru dibawah siri MSI Prestige, iaitu MSI PS42 Modern dan juga MSI P65 Creator, khusus untuk kreatif profesional yang sentiasa berpindah-randah apabila bekerja untuk klien-klien mereka.
Bermula dengan MSI PS42, ia adalah sebuah laptop yang mempunyai rekaan paling nipis dan ringan diantara kedua-dua laptop ini. Ia dilengkapi dengan paparan skrin hampir nirbingkai 14 inci di dalam rekaan sebuah laptop bersaiz 13 inci, dan hanya seberat 1.19kg.
Dari segi spesifikasi ia dilengkapi dengan pilihan CPU Intel Core i5 ataupun Core i7 generasi kelapan Coffee Lake, pilihan memori DDR4 sebanyak 16GB, gabungan storan SSD PCIe dan juga SATA III, dan hadir dengan pilihan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1050 Max-Q ataupun NVIDIA GeForce MX150.
Jika anda seorang pereka digital ataupun editor video yang memerlukan sebuah komputer riba dengan kuasa pemprosesan yang lebih berkuasa, mungkin MSI P65 untuk anda,
Siri laptop ini hadir melalui dua model, iaitu PS65 White Limited Edition dan juga PS65 Silver. Kedua-dua laptop ini hadir dengan paparan skrin 15.6 inci yang mempunyai rekaan bezel nipis, yang hadir dengan nilai sRGB 100 peratus untuk ketepatan warna yang jitu.
Kedua-dua laptop ini dikuasakan oleh CPU Intel Core i7 generasi kelapan Coffee Lake, pilihan memori sebesar 32GB. gabungan storan SSD PCIe dan SATA M.2. Dari segi grafik pula, MSI P65 White dilengkapi dengan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1070 Max-Q, manakala laptop MSI P65 Silver pula menggunakan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1060 6G Max-Q.
Kedua-dua laptop ini sudah boleh dibeli di kedai pengedar MSI dan juga kedai atas-talian MSI di Lazada. Tanda harga untuk kedua-dua siri laptop ini adalah seperti berikut:
- MSI Prestige PS42 Modern – Bermula dari RM3999
- MSI Prestige P65 Creator Silver – RM7799
- MSI Prestige P65 Creator White Limited Edition – RM9999