Apple sedang menjual idea bahawa iPad akan menggantikan komputer peribadi untuk tugasan harian. Dengan iPad Pro yang baru dilancarkan, mereka mendakwa tablet ini lebih berkuasa berbanding 92% komputer riba di pasaran. Hala tuju Apple ini tidak mengejutkan apabila angka pengeluaran iPad dari IDC dianalisa. Pada suku ketiga 2018, iPad memegang 26.6% pasaran diikuti oleh Samsung (14.6%), Amazon (12%), Huawei (8.9%) dan Lenovo (6.3%).
Ini bermakna setiap 1/4 tablet yang terjual pada suku yang lalu adalah sebuah iPad. Tetapi berita baik berakhir di sini kerana pasaran tablet menyusut 8.6% berbanding suku yang sama tahun lalu. Lenovo mencatatkan penyusutan -24.5% diikuti oleh Samsung (-11.4%), Apple (-6.1%) dan Amazon (~0.4%). Hanya Huawei menunjukkan peningkatan 7.1%.
Strategi Huawei sejak akhir-akhir ini berkesan kerana mereka turut mencatatkan pertumbuhan dalam pasaran telefon pintar pada suku ketiga 2018. Adakah anda masih menggunakan tablet setiap hari?