Cari @ Amanz

Wiko View2 Plus
Skrin 5.93” IPS LCD, HD+
Chipset Qualcomm Snapdragon 450
CPU 8 x Cortex-A53 1.8 GHz
GPU Adreno 506
Memori 3GB RAM
Storan 32GB + mikroSD
Kamera Utama 12MP + 12MP
Kamera Hadapan 8MP f/2.0
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n
Bluetooth 4.2
A-GPS, GLONASS
Mikro-USB
Sistem Android 8.1 Oreo
Bateri 4000 mAh, pengecasan 10W
Dimensi 153.4 x 73.2 x 8.6 mm
Berat & Ketebalan 166g, 8.6mm
Tempoh
Penggunaan
1 minggu

Wiko merupakan jenama daripada Perancis dan sedia menjual beberapa peranti mereka di Malaysia. Antara telefon yang ditawarkan kebanyakannya daripada segmen peranti bajet yang rata-ratanya dijual pada harga di bawah RM1000. Tahun ini sahaja, mereka telah membawa masuk enam telefon pintar mereka ke sini, dengan penawaran rekaan dan spesifikasi yang menarik untuk pengguna.

Antara peranti yang banyak diminta untuk kami ulas ialah peranti Wiko View2 Plus yang hadir dengan spesifikasi kelas permulaan. Peranti ini menarik kerana ia mempunyai rekaan belakang yang menarik, selain menyajikan rekaan bertakuk pada bahagian hadapan. Bukan itu sahaja ia juga mempunyai penawaran memori 3GB RAM, selain mendatangkan kapasiti bateri sebesar 4000 mAh.

Dengan harga RM559, ia membuatkan orang ramai ingin mendekati peranti ini walaupun hadir dengan spesifikasi kelas permulaan. Ia mempunyai spesifikasi seperti pesaing terdekatnya seperti OPPO A3s, namun Wiko View2 Plus ini membawa penawaran memori dan storan yang lebih besar. Tetapi dengan harga yang rendah ini, bolehkah Wiko View2 Plus memberi nilai yang hebat kepada pengguna?

Rekabentuk

Sebelum itu, Wiko View2 Plus hadir dengan paparan sebesar 5.93-inci pada resolusi Full HD+ dengan nisbah 19:9, cip Qualcomm Snapdragon 450, memori 3GB RAM, dan storan dalaman 32GB eMMC 5.1 dengan sokongan kad mikroSD. Ia juga membawakan beberapa sambungan seperti Wi-Fi 802.11 a/b/g/n, Bluetooth 4.2, bersama kapasiti bateri 4000 mAh.

Dari segi rekaannya, ia menyajikan binaan belakang berasaskan polikarbonat, namun disajikan dengan kemasan kilauan yang menarik. Ia ditawarkan dalam tiga warna, menerusi Anthracite (hitam) dan Gold bersama warna Supernova dengan kemasan warna cerun ungu + hijau. Cuma, rekaan berkilau ini kelihatan mudah memerangkap kesan cap jari, namun boleh diatasi dengan aksesori perlindung peranti yang disediakan.

Untuk sambungannya, ia menawarkan bicu audio 3.5mm pada bahagian atas, bersama-sama dengan sambungan mikro-USB pada bahagian bawah. Ia juga menawarkan slot dwi-sim pada bahagian kiri peranti, dengan membolehkan pengguna meletakkan kad mikroSD pada ruang yang berasingan. Cuma pembesar suaranya ditempatkan pada bahagian belakang, yang mana sedikit sebanyak melenyapkan sedikit bunyi apabila diletakkan dalam poket seluar.

Untuk mengikut jejak langkah peranti moden masa kini, ia menampilkan rekaan bertakuk, bagi perletakkan kamera hadapan, sensor, saluran pendengar, dan lampu notifikasi pada bahagian ini. Paparannya hadir dengan rekaan skrin penuh bersaiz 5.93-inci, namun resolusinya hadir dalam bentuk HD+ sahaja. Sekiranya anda sering menggunakan peranti dengan skrin Full HD, anda akan dapati skrin ini mudah menampakkan piksel, terutama ketika membaca teks atau melihat keperincian imej pada sesuatu gambar. Namun untuk kualitinya, ia masih memberi paparan IPS yang baik untuk harian, disamping hadir dengan darjah pandangan skrin (viewing angle) yang memuaskan.

Untuk perlindungan sekuriti, Wiko View2 Plus memberi pilihan kepada pengguna sama ada untuk menggunakan pengimbas cap jari atau imbasan wajah ketika menyahkunci peranti. Ia menempatkan pengimbas cap jari pada bahagian belakang, dengan kadar menyahkunci peranti boleh dikatakan sederhana. Fungsi imbasan wajahnya kelihatan sedikit lambat, namun anda boleh mengaktifkan fungsi Lift to Wake bagi memudahkan anda menyahkunci peranti ini.

Dari segi variasi, ia hanya ditawarkan dalam satu variasi sahaja iaitu dengan memori 3GB RAM bersama storan dalaman 32GB. Walaupun variasi yang ditawarkan hanya didatangkan dengan storan 32GB, ia masih membolehkan anda meningkatkan storan dalaman ini dengan kad mikroSD sehingga 256GB. Untuk harga RM559, ia telah menewaskan OPPO A3s, yang hanya menawarkan memori 2GB RAM dan storan 16GB pada harga RM599.

Sistem

Wiko View2 Plus dijana dengan Android 8.1 Oreo dan menariknya, ia menyajikan tampilan antaramuka yang menyerupai Android asli. Ia kelihatan sangat kemas dan menyerupai antaramuka yang hadir pada Google Pixel, tanpa sebarang sokongan tema yang boleh dipilih oleh pengguna. Ia menyajikan talam aplikasi yang boleh dileret ke atas, bersama paparan “Google Feed” yang disertakan pada bahagian kiri skrin.

Walaupun didatangkan dengan antaramuka ke arah Android asli, Wiko turut menyertakan tiga aplikasi mereka pada peranti ini, seperti aplikasi kamera dan FM Radio. Wiko juga turut menyertakan aplikasi WiLine, yang membolehkan pengguna mengubah tampilan skrin kecil ketika memakai aksesori “Folio” pada peranti ini. Ia juga hadir dengan kebolehan menyorokkan takuk, yang mana suatu fungsi yang tidak didatangkan secara natif pada Android 8.1 Oreo.

Dengan penggunaan Android 8.1 Oreo ini, peranti ini dapat memanfaatkan fungsi Autofill, iaitu sistem kemasukan kata laluan secara automatik. Ia juga membolehkan pengguna menikmati pengurusan notifikasi dengan lebih baik, melalui fungsi Notification Dots dan kebolehan untuk melenyapkan notifikasi untuk seketika waktu. Melalui Android 8.1 juga, ia telah menyertakan sejumlah emoji baru yang direka berasaskan Unicode 10.

Prestasi

Wiko View2 Plus dijana dengan cip yang sama pada OPPO A3s dan Xiaomi Redmi 5, menerusi cip Qualcomm Snapdragon 450. Ia membawakan rekaan cip lapan-teras, menerusi 8 x Cortex-A53 1.8 GHz, bersama penggunaan GPU Adreno 506. Cip ini sebenarnya peranti yang direndahkan daripada cip Snapdragon 625 (8 x A53 2.0 GHz), jadi anda masih dapat menikmati kelajuan yang lancar untuk kegunaan harian. Dengan mengujinya pada aplikasi penanda aras seperti AnTuTu Benchmark, peranti ini berjaya meraih mata sekitar 71,424, iaitu mata yang setara dengan cip sekelasnya seperti MediaTek Helio P22.

Untuk kegunaan di dunia sebenar, cip ini memberi prestasi yang lancar seperti penggunaan cip Snapdragon 625, tanpa sebarang isu lengah masa (lag) yang besar ketika menggunakan aplikasi harian. Sejumlah aplikasi dapat dibuka dengan pantas, tanpa perlu menunggu lama sebelum aplikasi dapat digunakan. Anda juga boleh bermain permainan terkini seperti PUBG Mobile, namun tetapan grafik perlu ditetapkan pada tetapan paling minima untuk mendapatkan prestasi yang lancar.

Kamera

Untuk keupayaan kamera, Wiko View2 Plus membawakan sistem dwi-kamera, melalui padanan sensor utama 12MP (1/2.9″, 1.25μm, Sony IMX486) dan sensor kedua 12MP untuk kebolehan penggambaran potret. Ia turut menyertakan sistem penstabilan elektronik (EIS) yang mana dioptimasikan oleh perisian Vidhance. Untuk penggambaran malam pula, ia dilengkapi dengan lampu flash LED dengan sokongan pencahayaan satu tona warna.

Untuk hasil penggambarannya, ia mampu menghasilkan gambar yang sangat baik, dengan penampakan kesan hingar (noise) yang minima walaupun digunakan pada situasi pencahayaan yang rendah. Keperincian imejnya juga dilihat tajam disamping ia memberi perwarnaan yang hampir ke arah semula jadi untuk kebanyakan situasi penggambaran. Dengan menilai harganya RM559, saya sangat berpuas hati dengan hasil penggambarannya yang dilihat lebih baik berbanding OPPO A3s.

Untuk keupayaan kamera hadapan pula, ia menyajikan sensor 8MP, namun kualitinya berada pada tahap yang sangat sederhana. Ia sering memberi hasilan yang tidak tajam, selain memberi perwarnaan yang tidak konsisten pada wajah. Ia juga hadir dengan fungsi Portrait Blur, namun kemasan kaburnya sedikit bercerlaru dan tidak begitu sekata.

Dari segi fungsi, Wiko View2 Plus menawarkan rakaman video setinggi 1080p, dengan penstabilan EIS untuk mengurangkan gegaran. Ia juga menyajikan fungsi AI Beauty dengan membolehkan pengguna mengawal aras kecantikan mengikut keperluan. Pengguna juga boleh menggunakan fungsi Stickers, dengan sejumlah animasi menarik yang boleh diletakatkan pada wajah. Fungsi Professional Mode turut tersedia, dengan menyajikan sejumlah kawalan manual seperti pertukaran ISO, fokus, white balance, dan exposure.

Bateri

Salah satu daya tarikan kepada peranti ini ialah kapasiti baterinya yang cukup besar, melalui kapasiti bateri 4000 mAh. Kapasiti bateri ini adalah sama seperti OPPO A3s dan telah menewaskan Xiaomi Redmi 6 yang hanya didatangkan dengan bateri 3000 mAh. Dengan padanan kapasiti 4000 mAh bersama binaan cip 14nm pada Snapdragon 450, anda dapat menikmati penggunaan peranti yang lama walaupun digunakan secara intensif.

Apabila diuji, Wiko View2 Plus mampu mencatatkan masa Screen-on-Time (SoT) yang sangat baik, melalui bacaan SoT sekitar 7 jam 17 minit untuk penggunaan sepanjang hari. Untuk pengecasannya, peranti ini tidak menyokong fungsi pengecasan pantas, namun Wiko masih membekalkannya dengan pengecas berasaskan 10W. Melalui pengecas ini, peranti ini dapat dicas sekitar 2 jam 34 minit dari kapasiti bateri 0 hingga 100%.

Rumusan

Wiko View2 Plus membawa penawaran peranti yang sangat baik untuk harganya, melalui tampilan peranti yang menarik bersama rekaan skrin penuh yang moden. Ia juga hadir dengan spesifikasi yang bersesuaian untuk kegunaan harian, menerusi penggunaan cip Snapdragon 450 bersama memori 3GB RAM. Keupayaan kamera utamanya juga mampu memberi gambar yang terang, melalui penggunaan sensor 16MP Sony IMX486. Dengan bateri 4000 mAh, ia sebuah kapasiti yang cukup besar untuk mendapatkan penggunaan peranti yang lama untuk harian.

Cuma kekurangannya, ia hanya menyajikan resolusi HD+, yang mana tidak begitu tajam sekiranya anda jenis mengutamakan kualiti skrin. Binaan pembesar suara di bahagian belakangnya juga tidak begitu praktikal, dengan melenyapkan sedikit bunyi apabila diletakkan di dalam poket atau permukaan rata. Keupayaan kamera hadapannya juga kurang memuaskan, dengan hasilan yang tidak begitu tajam bersama warna yang tidak konsisten.

Pro
  • Rekaan menarik dengan kemasan warna cerun untuk pilihan warna Supernova
  • Hadir dengan rekaan skrin penuh dengan nisbah 19:9 yang moden
  • Menawarkan prestasi harian yang lancar menerusi Snapdragon 450
  • Mempunyai sokongan EIS untuk rakaman video
  • Android 8.1 Oreo dengan tampilan yang menghampiri Android asli
  • Mempunyai lampu notifikasi pada bahagian takuk
  • Hadir dengan kapasiti bateri besar 4000 mAh
  • Didatangkan dengan slot dwi-sim dan mikroSD secara berasingan
  • Ditawarkan pada harga rendah untuk variasi 3GB RAM bersama storan 32GB
Kontra
  • Skrin hanya hadir dengan resolusi HD+
  • Kedudukan pembesar suara di bahagian belakang mudah melenyapkan bunyi
  • Keupayaan kamera hadapan kurang memuaskan

Namun dengan harga RM559, Wiko View2 Plus hadir dengan penawaran yang seimbang, terutama dinilai dari aspek rekaan, prestasi, kamera utama, dan bateri. Ia mempunyai rekaan yang menarik, prestasi yang lancar, kamera utama yang terang, bersama bateri yang dapat memenuhi keperluan intensif anda. Sekiranya anda mencari sebuah peranti di bawah RM600, Wiko View2 Plus adalah salah satu peranti yang berbaloi untuk dimiliki selepas dinilai dari segi penawarannya yang berkualiti.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd