Siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2080 Ti dan RTX 2080 baru sahaja dilancarkan bulan lalu, dan banyak syarikat pembuat kad grafik hadir dengan rekaan-rekaan yang agak kreatif untuk menyejukkan kad grafik tersebut.
GIGABYTE baru-baru ini memperkenalkan siri kad grafik RTX terbaru mereka, iaitu AORUS Xtreme RTX 2080 Ti dan RTX 2080. Kedua-dua kad grafik ini dibina khusus untuk mereka yang ingin membina komputer berkuasa yang disejukkan menggunakan penyejukan cecair.
Blok penyejukan kad grafik ini menggunakan tembaga. dan hadir dengan penutup akrilik yang juga mempunyai sistem pencahayaan LED. Dari segi spesifikasi khusus, model RTX 2080 Ti hadir dengan kelajuan Boost 1770MHz, manakala model RTX 2080 hadir dengan kelajuan 1890MHz.
Kedua-dua kad grafik ini memerlukan dua palam 8-pin kuasa PCIe untuk menguasakannya, dan hadir dengan ketebalan dua slot pengembangan kerana jumlah palam output video yang banyak, termasuklah tiga palam HDMI 2.0, tiga palam DisplayPort 1.4 dan sebuah palam VirtualLink.