Cari @ Amanz

Ulasan LG L38WK95C – Monitor Ultra Lebar Mantap Untuk Pengguna Kreatif

Link Copied!

Skrin lengkung mula dipromosikan secara meluas tiga tahun yang lalu sebagai cara untuk menikmati kandungan dengan lebih imersif. Tetapi sehingga ini tahap penggunanya adalah agak rendah jika dibandingkan dengan monitor berskrin besar dengan rekaan rata. LG masih lagi mengeluarkan monitor skrin melengkung dan LG L38WK95C sempat menjalani ujian di makmal Amanz. Adakah ia masih lagi gimik atau sebuah monitor yang harus dimiliki pembaca? Ulasan ini akan menjawab dua persoalan di ini.

Spesifikasi & Rekaan

LG L38WK95C
Skrin38″ resolusi 3840 x 1600 pixel (21:9) HDR10
PanelIPS LCD
Sokongan Warna10 Bit, 1.07 Bilion
Kadar Segar Semula75 Hertz
Contrast Ratio1000 : 1
Keterangan300 cd/m²
Masa Tindak Balas5 ms
Sudut Pandangan178°
Input/Output2 HDMI,
1 Display Port,
1 USB-C,
1 Output audio 3.5 mm
Pembesar SuaraStereo 10 Watt
USB2 USB-A 3.0
Kamera WebTiada
Harga JualanRM 6300

Walaupun dipasarkan sebagai monitor 38″, saiz sebenar skrin ialah 37.5″ apabila ditolak saiz bezel. Skrin dengan teknologi IPS LCD ini menyokong resolusi maksimum 3840×1600 pixel bernisbah 21:9. Kerana saiz skrinnya yang besar, ia menyokong sehingga empat input berbeza. Pilihan input yang diberikan ialah dua HDMI, satu USB-C dan satu DisplayPort. Sokongan USB-C ini amat kami hargai kerana ia membolehkan peranti yang disambung dicaj tanpa memerlukan kabel tambahan. Sokongan output pengecasan ialah sehingga 60W.

Sumber kuasa monitor menggunakan port AC dengan bongkah kuasa yang besar. Bongkah kuasa yang besar ini adalah bagi bukan sahaja menyokong keperluan skrin tetapi pelbagai peranti input yang disambungkan sebagai aksesori.

Terdapat dua port USB-A 3.0 pada panel belakang untuk aksesori seperti tetikus, papan kekunci atau storan USB. Kesemuanya terletak pada bahagian belakang maka sambungan storan USB mungkin sedikit canggung untuk digunakan. Tambahan lagi skrin hanya boleh mendongak ke atas sehingga 20 darjah dan ketinggian dilaraskan sehingga 4-inci. Dengan saiz skrin yang besar dan berat, ini mengehadkan darjah dongakan dan ketinggian monitor ini.

Terdapat sepasang pembesar suara 10W disertakan bersama dengan satu bicu audio 3.5mm. Pembesar suara terletak di bahagian bawah dengan dua kekisi audio yang bersaiz besar. Terdapat sokongan tambatan audio menggunakan bluetooth. Ini membolehkan monitor menjadi pembesar suara tanpa sebarang input video.

Rekaan hadapan adalah cukup kemas tanpa sebarang butang yang mengganggu estetik bersih yang digunakan. Hanya satu tombol kawalan disertakan pada bahagian bawah monitor. Tombol kawalan ini berbentuk bulat dan mempunyai sokongan lampu bagi memudahkan ia dicari pada waktu malam.

Majoriti bahagian monitor diperbuat daripada bahan plastik bagi mengurangkan berat. Kemasan logam hanya ditemui pada bahagian bezel dan leher monitor. Kemasan logam pada leher ini adalah pusam dan tidak memerangkap cap jari. Sebagai pengguna PC yang boleh dikategorikan sebagai bukan pengemas, kemasan pusam ini dapat mengurangkan keperluan mengelap permukaan yang berdebu selepas monitor digunakan setelah sekian lama.

Penggunaan

Proses pemasangan adalah mudah apabila mengambil kiri saiz monitor yang besar. Kaki logam hanya perlu disambung kepada palam berbentuk segi empat sama pada bahagian belakang. Untuk menanggalkannya semula, terdapat satu butang yang perlu ditekan. Proses memasang dan menanggalkan monitor ini sudah menjadi standard pada beberapa monitor PC yang kami ulas sebelum ini. Tiada keperluan untuk memiliki sebatang pemutar skru di sepanjang proses pemasangan jika kaki monitor yang disertakan digunakan. Terdapat sokongan cagak VESA sekiranya diperlukan dan untuk ini empat skru diperlukan.

Seperti kami katakan beberapa perenggan di atas, monitor menyokong sehingga empat input serentak menerusi dua HDMI, satu DisplayPort dan satu USB-C. Pengguna diberikan kebebasan memilih input manakah yang ingin dipaparkan menerusi skrin tetapan pada skrin atau perisian LG OnScreen Display. Perisian untuk Windows 10 dan Mac ini membolehkan skrin dipecahkan sehingga lapan zon sekiranya perlu.

Pengguna juga boleh memilih mod Gambar-Dalam-Gambar atau paparan bernisbah 2:1. Dengan kata lain L39WK95C cukup berkemampuan menyokong pelbagai input dan jenis paparan yang diperlukan pengguna. Monitor juga membenarkan pengguna untuk menggunakan mod 16:9 sekiranya peranti tidak menyokong resolusi ultra lebar seperti PlayStation 4 dan Samsung DeX misalnya. Di dalam mod ini terdapat dua palang hitam pada sisi dan kanan.

Ketika proses ulasan kami menggunakan menggunakan monitor ini untuk dalam konfigurasi tri-monitor apabila disambungkan kepada sebuah komputer riba. Hasilnya ialah kerja kami menjadi lebih produktif.

Kerana skrin 21:9, ia amat sesuai sekali digunakan bersama program seperti Photoshop dan Premiere Pro. Dalam Photoshop misalnya, karya boleh dihasilkan tanpa elemen antaramuka serta Tools menghalang imej yang disunting. Ruang menghasilkan karya kelihatan lebih bersih sekaligus mempercepatkan proses menyiapkan kerja.

Paparan adalah cantik dan tajam dengan sudut pandangan yang baik. Bezel yang digunakan bukan yang paling nipis pernah kami temui pada skrin tetapi tidak mengganggu. Skrin juga amat terang terutamanya ketika di dalam mod HDR. Kerana skrin ini bersaiz amat besar dan terang, pada awalnya mata kami mengalami masalah bekerja di hadapannya. Ia seperti sebuah lampu besar di depan mata dan ini menyilaukan. Tetapi lama kelamaan mata kami dapat membiasakan diri dan ini mengambil masa beberapa hari.

Terdapat beberapa profil terbina untuk menonton video/filem, suntingan imej dan permainan video disertakan. Secara peribadi kami rasakan profil yang disertakan kurang memuaskan oleh tetapan imej secara manual adalah lebih baik digunakan.

Sistem tombol kawalan yang digunakan memudahkan proses melakukan tetapan secara manual. Tekan sekali untuk empat pilihan utama iaitu input, mod permainan video, tetapan dan mematikan skrin. Tolak tombol ke kanan untuk skrin tetapan untuk pelbagai pilihan yang tidak mampu kami senaraikan sepenuhnya. Sungguhpun begitu memilih tetapan mana yang ingin diubah adalah amat mudah kerana penggunaan tombol yang mudah difahami sungguhpun tanpa membaca manual terlebih dahulu. Pada hemat kami sistem tombol LG dan Samsung harus digunakan dengan lebih meluas pada bukan sahaja monitor PC tetapi TV kerana ia paling mudah digunakan tanpa memerlukan sistem multi-butang sedia ada.

Setakat ini hanya pujian yang kami berikan dan kini tiba untuk bercakap tentang beberapa kelemahannya pula. Pertama sekali ialah donggakkan monitor yang terhad kepada 20 darjah. Ini adalah agak terhad jika dibandingkan dengan monitor Acer Predator yang memberikan donggakkan yang lebih lebar.

Pada waktu yang sama kami merasakan dua port USB 3.0 yang disertakan mungkin lebih praktikal jika ia terletak pada bahagian sisi. Adakah sukar memasukkan pemacu dan aksesori USB pada monitor ini kerana ia terletak pada bahagian belakang.

Beberapa tahun yang lalu kami mengulas monitor lengkung keluaran Acer dan Samsung. Pada waktu tersebut kandungan serta sokongan untuk monitor ultra sudut lebar ,melengkung adalah terhad. Kini di tahun 2018, sokongan sudah bertambah baik tetapi masih lagi di belakang monitor dengan resolusi 16:9. Menstrim video YouTube dan Netflix misalnya masih mempunyai palang hitam pada sisi yang sedikit sebanyak mencacatkan kenikmatan menonton. Buat masa ini penggunaan monitor 21:9 ini kami rasakan hanya berguna kepada golongan kreatif yang memerlukan ruang skrin yang lebih besar.

Tambahan lagi sistem HDR pada monitor ini adalah sedikit aneh. Gambar yang dipaparkan terlalu terang sehingga kelihatan over exposed. Ini berlaku ketika sambungan dilakukan pada PC, Xbox One dan PlayStation 4. Seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan paparan HDR monitor ini.

Audio

Speaker terbina dengan monitor secara lazimnya kami kategorikan sebagai sampah. Ia bersaiz terlalu kecil menyebabkan kualiti audio yang dihasilkan tidak memuaskan. LG L38WK95C memecahkan trend ini kerana ia bukan sahaja senonoh tetapi cukup baik untuk digunakan untuk menonton video. Dentuman bass adalah padu dan bunyi dilontar dengan terang. Dengan adanya speaker yang baik, pengguna tidak perlu menambah pembesar suara di atas meja kerja.

Ini adalah perlu kerana saiz LG L38WK95C yang amat besar ini mengehadkan ruang untuk pembesar suara tambahan. Sebuah lagi bonus ialah monitor ini menyokong tambatan audio secara bluetooth. Apabila tidak disambung kepada input video, ia masih boleh berfungsi seperti sebuah soundbar untuk memainkan muzik terus dari peranti pintar misalnya.

Kesimpulan

Dengan skrin sebesar 38″, ini ialah monitor PC yang paling besar pernah kami ulas. Ia memaparkan gambar dengan baik serta tajam. Terdapat juga sokongan untuk empat input berbeza secara serentak dengan pelbagai konfigurasi paparan yang dikawal menggunakan perisian di dalam komputer. Kepelbagaian input dan konfigurasi ini amat kami hargai kerana memudahkan proses menggunakan sistem “multi-monitor” dengan hanya menggunakan satu monitor sahaja. Ini menjimatkan ruan meja yang kami gunakan di pejabat.

Skrin ultra-lebar masih kami rasakan gimik dan tidak praktikal bagi kebanyakan pengguna. Sokongan kandungan 21:9 masih lagi rendah jika dibandingkan dengan 16:9. Apabila memainkan permainan komputer, resolusi aneh yang digunakan memerlukan kad grafik yang berkuasa tinggi bagi memastikan kadar FPS yang memuaskan. Sistem HDR yang digunakan juga kurang memuaskan dengan imej yang over exposed serta warna yang tidak kelihatan semula jadi.

Tetapi tidak dapat kami nafikan sebagai pengguna multi-monitor sejak lebih 15 tahun, LG L38WK95C direka untuk insan seperti kami. Mereka yang memerlukan kelebihan multi monitor tanpa ruang meja yang besar, rekaan lebih kemas dan ruang skrin yang cukup mewah untuk menggunakan program seperti Adobe Photoshop. Jika anda seperti kami, ini ialah monitor yang kami sarankan kepada anda kerana ia memenuhi kesemua keperluan harian.

Tambahan lagi ia juga mempunyai sistem audio yang memuaskan. Seperti kami katakan beberapa perenggan di atas, sistem audio yang baik jarang sekali ditemui pada monitor untuk PC.

Dengan harga jualan RM6300, LG L38WK95C adalah amat mahal untuk dimiliki. Tetapi ia adalah pakej lengkap untuk mereka yang mementingkan saiz skrin besar, sokongan pelbagai input, audio yang mantap dan visual yang cukup memuaskan.

PRO dan Kelebihan
  • Rekaan menarik, kemas dan minimalis.
  • Pelbagai input dan output pada bahagian belakang termasuk USB dan USB-C,
  • Kualiti gambar memuaskan untuk kegunaan harian dan menonton video.
  • Sistem tombol untuk melakukan tetapan amat mesra pengguna.
  • Audio yang baik.
KONTRA dan Kekurangan
  • Sistem HDR yang kurang memuaskan serta sukar ditala.
  • Dongakkan skrin yang terhad dan pelarasan ketinggian yang kecil.
  • Port USB sukar diakses dari hadapan.

Komen ()