Sewaktu pembentangan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyatakan bahawa kerajaan akan hadir dengan mekanisma pas pengangkutan awam tanpa had untuk mengurangkan beban mereka yang bergantung kepada pengangkutan tersebut untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.
Menurut laporan New Straits Times, Menteri Pengangkutan Anthony Loke baru sahaja mengesahkan bahawa “pas bulanan” tersebut akan menggunakan kad-kad MyKad, MyTentera dan MyKid yang sedia ada.
Anthony berkata bahawa ini adalah supaya konsep pas bulanan tanpa had ini dapat dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia terlebih dahulu. Bermula dari 1 Disember 2018, rakyat Malaysia yang menggunakan kad MyKad dan MyTentera boleh mula melanggan untuk pas tersebut, manakala kanak-kanak yang menggunakan MyKid pula boleh mula melanggan pada 15 Disember kelak.
Pas tersebut akan diaktifkan dan boleh mula digunakan pada 1 Januari 2019 kelak. Dalam pada itu, pas ini akan diaktifkan selama 30 hari selepas pembayaran dilakukan, dan tidak akan dimatikan pada hujung bulan seperti banyak pas-pas yang lain.
Menurut Anthony Loke lagi, pas ini boleh digunakan pada perkhidmatan bas RapidKL dan Rapid Transit, LRT dan MRT. Langganan untuk pas 30 hari ini boleh dilakukan di stesen-stesen seperti Bandar Shah Alam, Greenwood (Gombak), Sri Nilam (Ampang) dan Terminal Kajang