Dropbox hari ini mengumumkan sokongan baru pada platform mereka dinamakan Dropbox Extensions. Melaluinya, ia menawarkan integrasi perkhidmatan atas-talian pihak ketiga bersama-sama Dropbox, sekaligus memudahkan anda melakukan penyuntingan dan membangunkan sesuatu dokumen.
Dengan adanya Dropbox Extensions ini, anda boleh menggunakan dokumen atau fail sedia ada anda pada perkhidmatan berkenaan – dan menyuntingnya bersama-sama beberapa perkhidmatan pihak ketiga yang lain. Hal ini sekaligus menjimatkan masa anda daripada keperluan memuat-turun dokumen dari Dropbox dan memuat-naik ke perkhidmatan berkenaan.
Sebagai contoh, anda boleh menambah tanda-tangan pada dokumen di Dropbox melalui perkhidmatan DocuSign – tanpa melalui proses yang sukar seperti sebelum ini. Antara perkhidmatan yang disokong melalui Dropbox Extensions adalah termasuk Adobe, Autodesk, DocuSign, Viemo, AirSlate, HelloSign, Nitro, Smallpdf dan juga Pixlr.
Dropbox mengumumkan sokongan baru ini akan diperkenalkan kepada semua pengguna pada 27 November kelak.