Cari @ Amanz

Huawei Melancarkan Kerangka Khas Mate 20 Pro Untuk Rakaman Dalam Air

Link Copied!

Dua bulan lepas, Huawei menerbitkan satu video acah untuk Huawei Mate 20 Pro yang boleh membuat rakaman gambar/video dalam air. Tetapi, fungsi ini masih tidak jelas. Ya, benar – Huawei Mate 20 Pro menyokong perlindungan air dan debu IP68. Tetapi mana-mana peranti IP68 kebiasaannya skrin menjadi sangat sensitif apabila berada di dalam air dan sangat sukar untuk merakam gambar atau video.

Jadi, untuk menyelesaikan masalah ini – Huawei melancarkan kerangka khas untuk tujuan ini. Kerangka ini hanya terdapat untuk Huawei Mate 20 Pro. Ia khusus untuk menggunakan mod Underwater yang terbina dalam aplikasi kamera Mate 20 Pro. Menariknya, kerangka ini turut mempunyai sokongan kalis air dan debu IP68 jadi ia boleh diselam dalam air sedalam 1.5m selama 30 minit. Sekali imbas, kerangka ini kelihatan seperti kerangka kalis air sebuah GoPro.

Dengan kehadiran kerangka ini, ia akan memudahkan pengguna untuk membuat rakaman gambar dan video di dalam air tanpa risau akan sensitiviti skrin – kerana ia hadir dengan butang mengambil gambar terbina. Kerangka ini dilihat muncul dalam laman membeli-belah dalam talian di China. Ia dijual pada harga RMB599 iaitu sekitar RM360.


Komen ()