Masalah pengurusan RAM pada Pixel 3 dan Pixel 3 XL telah dilaporkan beberapa minggu yang lalu. Kemudian, Google sedar akan masalah ini dan kemaskini akan hadir dalam minggu-minggu yang akan datang. Terkini, pengguna melaporkan isu kepanasan pula ketika peranti sedang dicas. Mengejutkan, peranti akan terus terpadam disebabkan terlampau panas.
Isu ini dilihat lebih kerap berlaku apabila pengguna menggunakan Pixel Stand sambil membuat panggilan video. Tetapi, mana-mana peranti kebiasaannya memang akan sedikit panas jika membuat panggilan video, bermain permua atau menjalankan multi-tugas. Cuma, pada Pixel 3 ini ia terus dipadam secara automatik. Ya, notifikasi akan diberikan memberi amaran – tetapi isu panas dan terus terpadam ini bagi saya agak menjengkelkan. Pixel 3 XL yang saya gunakan sekarang, dilihat tiada masalah. Tetapi semasa menggunakan Pixel 2/Pixel 2 XL saya pernah alami isu ini – tetapi itu selepas lama menggunakannya.
Harap Google boleh membaiki isu ini dengan pantas bersama-sama dengan masalah takuk kedua muncul sebelum ini.