Cari @ Amanz

Samsung Galaxy A7 (2018)
Skrin 6.0” Super AMOLED, FHD+
Chipset Samsung Exynos 7885
CPU 2 x Cortex-A73 2.0 GHz
6 x Cortex-A53 1.6 GHz
GPU Mali-G72 MP3
Memori 4GB RAM
Storan 128GB + mikroSD
Kamera Utama 5MP + 24MP f/1.7 + 8MP
Kamera Hadapan 24MP f/2.0
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n/ac
Bluetooth 5.0
A-GPS, GLONASS
Mikro-USB
Sistem Samsung Experience 9.0
Android 8.0 Oreo
Bateri 3300 mAh, pengecasan 7.75W
Dimensi 159.8 x 76.8 x 7.5 mm
Berat & Ketebalan 168g, 7.5mm
Tempoh
Penggunaan
3 minggu

Segmen peranti kelas pertengahan boleh dikatakan sangat kompetitif pada saat ini, dengan penawaran yang sangat menarik daripada sejumlah pengeluar. Segmen ini memfokuskan kepada pengguna am, yang rata-ratanya mahukan sebuah peranti yang seimbang untuk kegunaan harian. Keseimbangan peranti ini selalunya dinilai dari segi rekaan, skrin, prestasi, kamera, dan aspek ketahanan bateri.

Segmen ini pada awalnya dimeriahkan dengan ASUS ZenFone 5, yang dijana dengan cip Snapdragon 636 bersama rekaan premium. Spesifikasinya cukup menarik perhatian kerana ia menampilkan sokongan pembesar suara stereo, sokongan kamera OIS, dan menyertakan sambungan USB-C. Kemudiannya, ia telah diasak oleh pencabar baru menerusi Huawei nova 3i, dengan rekaan yang lebih menarik, cip Kirin 710 yang lebih pantas, bersama storan dalaman sebesar 128GB.

Kini Samsung kembali untuk memeriahkan segmen peranti ini dengan penawaran yang cukup menarik untuk pengguna. Ia mempertaruhkan fungsi tiga kamera sebagai pelaris jualan, selain menampilkan rekaan yang cukup premium untuk harganya. Ia juga hadir dengan skrin yang cukup sinonim dengan Samsung menerusi Super AMOLED, iaitu teknologi skrin yang tidak ditawarkan pada peranti pesaing. Namun dengan penawaran yang hebat di atas kertas, bolehkah ia memberi pengalaman penggunaan yang terbaik untuk pengguna?

Rekaan

Sebagai memulakan ulasan ini, Samsung Galaxy A7 (2018) telah didatangkan dengan skrin 6.0-inci Super AMOLED Full HD+ dengan nisbah 18.5:9, cip Exynos 7885, memori 4GB RAM, dan storan dalaman 128GB bersama sokongan mikroSD. Ia juga menawarkan beberapa sambungan terkini seperti Wi-Fi 802.11 b/g/n/ac, Bluetooth 5.0, bersama kapasiti bateri 3300 mAh.

Agak menarik sebenarnya kerana Samsung dapat mendatangkan binaan kaca pada peranti ini. Ia tidak seperti pesaingnya iaitu Huawei Nova 3i dan Vivo V11i, yang mana kedua-duanya diperbuat daripada binaan belakang berasaskan polikarbonat. Binaan kaca pada Samsung Galaxy A7 (2018) ini telah dikemaskan dengan potongan kaca 2.5D dalam memberi penampakan peranti yang lebih elegan. Memegang peranti ini terasa sangat selesa apabila ia berada di tangan, cuma seperti biasa, binaan kaca ini sangat mudah memerangkap kesan cap jari. Seperti peranti lain juga, saya sangat mengesyorkan anda memakai aksesori perlindung pada peranti ini untuk memberi lebih cengkaman dan melindungi tubuh peranti.

Sekiranya anda perhatian pada bahagian belakangnya, ia tidak menampilkan pengimbas cap jari kerana ia terletak pada bahagian yang berlainan. Ia telah ditempatkan pada bahagian sisi kanan peranti, seperti yang dilihat pada peranti Sony Xperia Z5 dan Razer Phone. Kedudukan ini bagi saya sangat praktikal kerana ia terletak pada butang kuasa dan sangat mudah untuk dicapai. Cuma prestasinya tidak begitu pantas, dan memerlukan anda menunggu seketika sebelum dapat mengakses peranti. Fungsi imbasan wajahnya juga turut mempunyai isu yang sama, yang mana kadar tindas balasnya tidak terlalu pantas dan lancar.

Selain daripada pengimbas cap jari (dan butang kuasa) yang ditempatkan pada bahagian sisi kanan peranti, ia juga menampilkan butang pelarasan suara pada bahagian atas butang ini. Bergerak ke sisi kiri peranti, ia menempatkan slot dwi-sim, yang membolehkan anda meletakkan dua sim dan kad mikroSD secara serentak. Pada bahagian bawah, ia masih mengekalkan sambungan bicu audio 3.5mm, namun masih mendatangkan sambungan mikro-USB berbanding USB-C. Walaupun pesaingnya masih banyak yang menggunakan mikro-USB, sambungan USB-C dapat memudahkan pengguna mengecas peranti tanpa perlu memikirkan arah dan kedudukan kabel sebelum ia disambungkan.

Bergerak ke bahagian hadapan, ia menampilkan paparan Super AMOLED sebesar 6.0-inci dengan resolusi Full HD+ pada nisbah 18.5:9. Rekaan hadapan ini menyerupai seperti Galaxy Note 9, yang mana tidak menampilkan sebarang perletakkan takuk seperti yang terdapat pada peranti lain. Bahagian atas paparan ini menempatkan kamera hadapan, sensor proximity, saluran pendengaran, bersama lampu flash LED untuk kegunaan swafoto. Dari segi kualiti, ia kelihatan terang seperti kebanyakan peranti dengan panel Super AMOLED yang lain, selain dapat memberi darjah pandang (viewing angle) yang luas apabila dilihat dari sudut berlainan.

Dari segi variasi, Samsung Galaxy A7 (2018) telah ditawarkan dalam satu variasi sahaja iaitu 4GB RAM bersama storan 128GB di Malaysia. Seperti Huawei nova 3i, storan 128GB ini masih berasaskan eMMC 5.1 berbanding UFS 2.1 yang hanya ditawarkan pada peranti Samsung yang lebih berkuasa. Walaupun storan yang telah disediakan sangat besar, ia masih menawarkan slot kad mikroSD dengan sokongan penambahan storan sehingga 512GB. Dari segi pilihan warna, ia telah ditawarkan dengan tiga pilihan warna, menerusi warna hitam, biru, dan emas.

Sistem

Samsung Galaxy A7 (2018) telah dijana dengan Samsung Experience 9.0 iaitu antaramuka yang dibina berasaskan sistem operasi Android 8.0 Oreo. Antaramuka ini hadir dengan tampilan yang ceria, seperti yang dilihat pada kebanyakan peranti Samsung terkini. Ia membolehkan anda mengubah tema, yang mana boleh diubah dan dimuat-turun oleh pengguna. Paparan utamanya juga masih menyajikan talam aplikasi, untuk memudahkan pengguna meletakkan sejumlah aplikasi di dalam satu paparan yang berasingan.

Agak menarik pada peranti ini, ia antara yang terawal dapat menikmati keupayaan gesture baru, untuk memudahkan anda mengawal peranti pada peranti berskrin penuh. Anda hanya perlu leret jari anda ke atas (pada bahagian kiri bawah skrin) untuk “Back”, leret ke atas (pada bahagian tengah bawah skrin) untuk ke “Home”, dan leret ke atas (pada bahagian kanan bawah skrin) untuk membuka paparan pertukaran aplikasi. Tetapi sekiranya anda masih menyukai cara pengendalian konvensional, fungsi bar navigasi masih boleh dikeluarkan dengan susur atur butang yang boleh diubah.

Beberapa fungsi menarik telah hadir pada Samsung Experience 9.0 ini seperti Game Launcher iaitu pusat sehenti untuk mengawal notifikasi dan prestasi ketika memainkan permainan. Fungsi Dual Messenger pula dapat membuat aplikasi permesejan pendua, yang mana sangat berguna untuk menguruskan akaun peribadi dan akaun untuk kegunaan kerja. Dengan penggunaan Super AMOLED, peranti ini juga dapat menikmati fungsi “Always On Display” untuk memudahkan anda melihat jam dan notifikasi ringkas pada skrin kunci.

Prestasi

Dengan persaingan yang hebat daripada pengeluar lain, Samsung telah memilih Exynos 7885 untuk menggalas aspek prestasi peranti ini bersama penggunaan memori 4GB RAM. Rekaan cip ini membawakan rekaan cip lapan-teras, menerusi 2 x Cortex-A73 2.2 GHz + 6 x Cortex-A53 1.6 GHz, bersama penggunaan GPU Mali-G71. Cip ini telah digunakan pada Samsung Galaxy A8 / A8+, yang mana ia dapat memberi pengalaman penggunaan yang lancar untuk kegunaan harian. Melalui ujian aplikasi penanda aras seperti AnTuTu Benchmark, peranti ini berjaya mendapatkan markah 121,999, sekaligus meletakkan cip ini berada di antara cip Snapdragon 636 dan HiSilicon Kirin 710.

Untuk kegunaannya di dunia sebenar, cip ini dapat menggalas sejumlah tugasan harian dengan cemerlang, terutama ketika menggunakan aplikasi pemesejan, media sosial, dan pelayar web. Aplikasi dapat dibuka dengan pantas, walaupun terdapat banyak aplikasi yang berjalan di belakang tabir. Untuk prestasi permainannya, ia dapat memainkan sejumlah permainan terkini dengan pengalaman permainan yang memuaskan, melalui tetapan grafik sederhana. Cuma untuk pengeluran suhunya, ia mudah terasa suam, dan sangat disarankan untuk merendahkan sedikit tetapan grafik bagi mendapatkan kadar bingkai (frame rate) yang konsisten.

Kamera

Dari segi penggambaran, Samsung Galaxy A7 (2018) merupakan peranti Samsung pertama dengan sokongan tiga kamera, melalui perletakkan sensor 5MP f/2.2 untuk keupayaan Live Focus, sensor 24MP f/1.7 untuk penggambaran standard, dan sensor 8MP f/2.4 (13mm) untuk kebolehan penggambaran bersudut lebar. Ia turut menyertakan sistem penstabilan elektronik (EIS) bagi membolehkan peranti mengurangkan kesan gegaran ketika melakukan rakaman video. Untuk penggambaran malam pula, ia dilengkapi dengan lampu flash LED dengan sokongan pencahayaan satu tona warna.

Dengan penggunaan tiga kamera ini, anda dapat menikmati penggambaran Live Focus dengan hasilan kesan kabur di bahagian belakang subjek. Kamera kedua pula dapat mengambil gambar standard, dengan kawalan pencahayaan yang baik melalui aperture f/1.7. Manakala kamera ketiga pula menawarkan penggambaran bersudut lebar, untuk membolehkan anda memasukkan lebih banyak subjek ke dalam gambar.

Cuma dari segi kualitinya, pertukaran dari setiap sensor akan memberi white balance yang berbeza, sekaligus membuatkan kualiti warna pada ketiga-tiga sensor ini tidak sama walaupun diambil pada lokasi yang sama. Namun untuk kualiti sensor standard 24MP f/1.7 dilihat sangat baik, dengan memberi keperincian imej yang tajam walaupun digunakan pada situasi pencahayaan yang rendah. Saya juga cukup suka dengan hasil Live Focus pada peranti ini, kerana kesan kaburnya dilihat hampir sempurna apabila diteliiti pada bahagian sisi subjek.

Untuk keupayaan kamera hadapan pula, ia menyajikan kamera swafoto yang setara dengan pesaingnya seperti Huawei Nova 3i, melalui penggunaan sensor 24MP f/2.0. Kualiti swafotonya dilihat sangat memuaskan, dengan memberi hasil wajah yang jelas dan tajam. Cuma warna kulit tetap diterangkan walaupun sebarang fungsi Beautify telah dimatikan. Seperti kamera belakang, ia juga membolehkan pengguna menggunakan fungsi Live Focus, untuk penghasilan kesan bokeh di bahagian belakang wajah.

Dari segi fungsi, Samsung Galaxy A7 (2018) hanya menawarkan rakaman video setinggi 1080p@30fps, namun masih mempunyai sokongan EIS untuk memberi penstabilan video yang lebih baik. Ia juga menyajikan fungsi Scene Optimizer iaitu fungsi yang dapat mengoptimasikan warna dan kadar kontras subjek berdasarkan pengecaman pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI). Seperti Samsung Galaxy Note 9, anda juga dapat bermain dengan fungsi AR Emoji, untuk penghasilan avatar yang menarik berdasarkan rupa wajah pengguna.

Bateri

Untuk ketahanan baterinya, ia mempunyai kapasiti bateri yang sama dengan ASUS ZenFone 5, melalui kapasiti bateri 3500 mAh. Kapasiti bateri ini dilihat berpadanan dengan Huawei nova 3i (3340 mAh), Vivo V11i (3315 mAh) namun sedikit tewas apabila dibandingkan dengan OPPO F9 (3500 mAh). Dengan binaan 14nm FinFET pada cip Exynos 7885 ini, ia dilihat mampu memberi masa penggunaan peranti yang panjang menerusi binaan cip yang efisien.

Dengan kapasiti 3300 mAh dan padanan cip 14nm ini, Samsung Galaxy A7 (2018) mampu mencatatkan masa Screen-on-Time (SoT) yang cukup memuaskan, melalui bacaan SoT sekitar 6 jam 17 minit untuk penggunaan sepanjang hari. Namun peranti ini tidak menyokong fungsi pengecasan pantas, dengan hanya bergantung pada pengecas 7.75W yang didatangkan. Melalui pengecas 7.75W ini, Samsung Galaxy A7 (2018) dapat dicas sekitar 2 jam 25 minit dari kapasiti bateri 0 hingga 100%.

Rumusan

Samsung Galaxy A7 (2018) telah membuktikan Samsung mampu menawarkan peranti yang mempunyai spesifikasi yang berpatutan untuk harganya. Jika sebelum ini Samsung sering dikritik kerana menggunakan cip kelas permulaan pada harga peranti kelas pertengahan, kini Samsung kembali untuk menebus kesilapan mereka yang lalu. Peranti mempunyai spesifikasi kelas pertengahan yang cukup berdaya saing, selain mendatangkan sejumlah fungsi yang tidak ditawarkan pada peranti pesaingnya.

Dengan keupayaan tiga kamera, ia telah menewaskan pesaingnya (kecuali ASUS ZenFone 5) melalui penggambaran bersudut lebar yang mampu memuatkan lebih banyak subjek ke dalam gambar. Selain itu, ia mempunyai rekaan kaca, yang mana rata-rata pesaingnya seperti Huawei nova 3i dan Vivo V11i yang masih menggunakan binaan polikarbonat. Tetapi fungsi yang tidak disaingi ialah panel paparannya, melalui penggunaan Super AMOLED yang mampu memberi kualiti skrin yang terang berbanding IPS LCD biasa.

Cuma saya mengharapkan peranti ini hadir dengan fungsi pengecasan pantas untuk mengurangkan lagi masa pengecasan peranti. Selain itu, saya juga mengharapkan sambungan USB-C pada peranti ini, untuk memudahkan proses penyambungan kabel ke peranti.

Pro
  • Mempunyai rekaan kaca 2.5D yang menawan
  • Hadir dengan rekaan skrin penuh tanpa takuk
  • Kualiti skrin yang cemerlang melalui panel Super AMOLED dan resolusi Full HD+
  • Memberi prestasi yang pantas untuk kegunaan harian dan permainan melalui cip Eyxnos 7885
  • Membawakan keupayaan tiga kamera pada bahagian belakang untuk kebolehan Live Focus, penggambaran standard, dan penggambaran bersudut lebar
  • Mempunyai ketahanan bateri sepanjang hari dengan bacaan SoT 6 jam 17 minit
  • Hadir dengan slot dwi-sim bersama slot kad mikroSD secara berasingan
  • Padat dengan fungsi menarik pada harga berpatutan
Kontra
  • Tiada fungsi pengecasan pantas
  • Masih menggunakan sambungan mikro-USB berbanding USB-C
  • Keupayaan tiga kamera memberi warna white balance yang tidak sekata

Tetapi dengan harga RM1299, Samsung Galaxy A7 (2018) cukup padat dengan fungsi menarik, tidak kira dari aspek luaran atau dalaman. Ia mempunyai rekaan kaca yang menawan, penggunaan panel Super AMOLED, dan penggunaan cip Exynos 7885 yang pantas. Ia juga menyertakan sokongan tiga kamera yang jarang dibekalkan pada peranti kelas pertengahan, sokongan Dolby Atmos, dan penawaran storan yang cukup luas iaitu sebesar 128GB. Sekiranya anda mencari sebuah peranti yang seimbang dan berbaloi untuk harganya, Samsung Galaxy A7 (2018) ini adalah peranti yang sangat mudah untuk disyorkan kepada anda.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd