Cari @ Amanz

Wiko Sunny3 Plus
Skrin 5.45” TN, FWVGA+
Chipset MediaTek MT6580
CPU 4 x Cortex-A7 1.3 GHz
GPU Mali-400 MP2
Memori 1GB RAM
Storan 8GB + mikroSD
Kamera Utama 5MP
Kamera Hadapan 2MP
Sambungan WiFi 802.11 b/g/n
Bluetooth 4.0
A-GPS, GPS
Mikro-USB
Sistem Android Go
Android 8.1 Oreo
Bateri 2200 mAh, pengecasan 5W
Dimensi 148 x 72 x 9.3 mm
Berat & Ketebalan 175g, 9.3mm
Tempoh
Penggunaan
2 minggu

Telefon kelas asas kebanyakannya sering didatangkan dengan sistem operasi Android lama, membuatkannya pengalaman penggunaan telefon-telefon ini tidak memuaskan. Ia sering mempunyai isu dari segi prestasi dan mempunyai ketahanan bateri yang lemah kerana tiada pengoptimasian dibuat. Oleh itu, Google telah memperkenalkan inisiatif baru menerusi Android Go iaitu versi Android yang telah dikecilkan dan dioptimasikan untuk peranti berspesifikasi rendah.

Tahun ini menyaksikan beberapa buah peranti Android Go telah tiba ke pasaran tempatan, antaranya Nokia 1 yang menampilkan peranti dengan skrin bersaiz 4.5-inci. Rekaannya sangat kompak, selain hadir dengan binaan lasak yang cukup sinonim dengan Nokia. Menarik mengenai peranti ini, rekaan belakangnya boleh dibuka dan ditukar ke kerangka yang lain.

Kini Wiko telah menawarkan peranti Android Go mereka ke Malaysia, menerusi Wiko Sunny3 Plus. Ia mempunyai spesifikasi asas seperti Nokia 1, namun menyajikan saiz skrin yang lebih besar iaitu 5.45-inci. Tetapi perkara yang membuatkannya istimewa, ia hanya ditawarkan pada harga RM249, sekaligus membuatkan peranti ini antara peranti Android Go termurah yang anda boleh dapati di sini.

Rekaan

Dari segi spesifikasi, Wiko Sunny3 Plus telah didatangkan dengan skrin 5.45-inci FWVGA+ dengan nisbah 18:9, cip MediaTek MT6580, memori 1GB RAM, dan storan dalaman 8GB bersama sokongan mikroSD. Ia juga menawarkan beberapa sambungan asas seperti Wi-Fi 802.11 b/g/n, Bluetooth 4.0, A-GPS, bersama kapasiti bateri 2200 mAh.

Untuk rekaannya, binaan belakangnya diperbuat daripada plastik dan menariknya, ia boleh ditanggalkan untuk proses pertukaran bateri. Di dalamnya terdapat bateri 2200 mAh yang boleh dikeluarkan, bersama beberapa buah slot utama di bahagian atas. Ia terdiri daripada dua slot sim pada saiz mikro-SIM bersama slot kad mikroSD berhampiran dengan bahagian ini.

Untuk kedudukan butang, ia menempatkan butang pembesar suara di bahagian kanan, bersama butang kuasa untuk mengunci dan membuka peranti. Untuk sambungan, ia meletakkan sambungan mikroUSB di bahagian atas, bersama-sama dengan bicu audio 3.5mm yang turut ditempatkan pada bahagian ini. Untuk mengurangkan harga jualan, tiada sokongan pengimbas cap jari dan fungsi imbasan wajah disediakan pada peranti ini.

Bergerak ke bahagian hadapan, ia menampilkan paparan TN sebesar 5.45-inci dengan resolusi FWVGA+ pada nisbah 18:9. Walaupun ditawarkan pada harga rendah, ia masih menyajikan rekaan skrin penuh, dengan menampilkan lampu notifikasi LED, sensor proximity, saluran pendengaran, dan kamera hadapan pada bahagian atas skrin. Cuma apabila bercakap mengenai kualiti, ia ternyata asas, dengan penampakan piksel yang jelas, bersama darjah padangan (viewing angle) skrin yang sangat terhad.

Dari segi variasi, Wiko Sunny3 Plus telah ditawarkan dalam satu variasi sahaja iaitu model Android Go dengan 1GB RAM bersama storan 8GB di Malaysia. Walaupun storan yang disediakan tersangat kecil, ia membolehkan anda meletakkan slot kad mikroSD dengan sokongan penambahan storan sehingga 64GB. Dari segi pilihan warna, ia telah ditawarkan dengan tiga pilihan warna, menerusi Anthracite (hitam), Gold, Cherry Red, dan Grey.

Sistem

Untuk memastikan prestasi yang lancar pada peranti berspesifikasi rendah, Google telah menawarkan versi ringan untuk Android ini menerusi Android Go. Android Go ini secara kasarnya kelihatan sama dengan Android penuh, cuma ia mempunyai saiz sistem operasi yang lebih kecil. Dengan saiz sistem yang dikecilkan, beberapa fungsi telah dikurangkan, antaranya ketiadaan sokongan split-screen untuk menjalankan dua aplikasi dalam satu paparan.

Namun seperti Android versi penuh, anda masih boleh memasang aplikasi APK luaran seperti biasa. Dalam mengurangkan penggunaan storan peranti, Google telah menyediakan Play Store khas, dengan mengetengahkan aplikasi yang mempunyai saiz yang kecil. Apabila anda membuka Google Chrome, fungsi “Data Saver” telah diaktifkan secara tersedia, bagi mengurangkan penyimpanan cache selain menjimatkan data pengguna.

Google turut mendatangkan sejumlah aplikasi Go, iaitu sebilangan aplikasi Google yang telah dikecilkan berbanding aplikasi asal. Ia boleh dikatakan sebagai versi “Lite” untuk aplikasi-aplikasi Google, yang mana keseluruhan besarnya dibina berasaskan teknologi web HTML5. Sejumlah aplikasi Google telah tersedia di dalam peranti ini, seperti Google Go, Gmail Go, Youtube Go, Maps Go, Files Go, dan Assistant Go.

Prestasi

Seperti peranti Android Go yang lain, Wiko Sunny3 Plus hanya didatangkan dengan spesifikasi asas, melalui penggunaan cip MediaTek MT6580 bersama memori 1GB RAM. Rekaan cip ini hanya terdiri daripada empat-teras sahaja, menerusi 4 x Cortex-A7 1.3 GHz, bersama penggunaan GPU Mali-400 MP2. Melalui ujian aplikasi penanda aras seperti AnTuTu Benchmark, ia mencatatkan markah yang rendah, namun dengan penggunaan Android Go, ia adalah lebih adil untuk menilainya dari sudut praktikaliti.

Dengan spesifikasi yang rendah, sudah semestinya anda boleh menggunakan fungsi telefoni asas seperti membuat panggilan, menghantar SMS, dan menggunakan aplikasi permesejan seperti WhatsApp. Bercakap mengenai aplikasi, anda masih boleh menggunakan sejumlah aplikasi popular seperti Facebook, Instagram, Twitter, dan aplikasi-aplikasi kegemaran anda seperti biasa. Anda juga boleh menggunakan aplikasi navigasi seperti Waze atau Google Maps, yang mana ketepatannya dilihat memuaskan melalui sokongan GPS secara terbina.

Cuma untuk permainan, anda masih boleh memainkan permainan kasual seperti Candy Crush, Cut The Rope, atau permainan yang tidak memerlukan grafik yang tinggi. Namun permainan intensif seperti PUBG tidak dapat dijalankan pada peranti ini, jadi ia tidak disyorkan bagi yang mencari peranti untuk kegunaan permainan. Permainan lain seperti Mobile Legends boleh dijalankan, namun prestasinya tidak begitu memuaskan untuk memenuhi keperluan permainan ini.

Dari segi multimedia, anda boleh menggunakan peranti ini untuk menonton video di Youtube dan Netflix, namun resolusinya hanya terhad kepada 480p sahaja. Dengan penggunaan Android, anda juga boleh menggunakan aplikasi Spotify atau aplikasi-aplikasi penstriman muzik yang lain.

Kamera

Dari segi penggambaran, Wiko Sunny3 Plus hanya menyajikan keupayaan kamera asas, menerusi penggunaan kamera utama 5MP dan kamera hadapan 2MP tanpa sokongan autofokus. Jadi dengan harganya di bawah hanya RM250, ia tidak menyajikan sebarang sistem penstabilan elektronik (EIS) atau kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan kualiti gambar. Namun untuk penggambaran malam, ia masih dilengkapi dengan lampu flash LED dengan sokongan pencahayaan satu tona warna.

Dari segi kualitinya, sudah semestinya anda tidak boleh menjangkakan ia memberi keupayaan kamera yang baik atas penggunaan sensor berkualiti rendah. Kualitinya sering dilihat tidak begitu tajam, selain mempunyai keupayaan julat dinamik (dynamic range) yang sangat lemah. Namun fungsi penggambaran ini wujud untuk memudahkan pengguna mengambil gambar dan kemudiannya menghantar gambar ringkas ini ke sejumlah aplikasi permesejan.

Dari segi fungsi, agak menarik kerana peranti ini masih menawarkan rakaman video setinggi 1080p@30fps, berbanding 720p pada kebanyakan peranti sekelasnya. Ia juga menawarkan fungsi Face Beautify dengan membolehkan pengguna menetapkan pada 3 aras kecantikan berbeza. Ia juga hadir dengan penggambaran HDR, yang sedikit sebanyak dapat meningkatkan kualiti ketika mengambil gambar berlatar belakangkan cahaya.

Bateri

Untuk ketahanan baterinya, ia mempunyai kapasiti bateri yang hampir berpadanan berbanding Nokia 1 (2150 mAh), melalui kapasiti bateri 2200 mAh. Dengan kapasiti 2200 mAh bersama resolusi skrin FWVGA+, peranti ini dapat memberi bacaan Screen-on-Time (SoT) yang memadai, melalui bacaan SoT sekitar 3 jam 47 minit untuk penggunaan sepanjang hari. Ia juga tidak menyokong fungsi pengecasan pantas, dengan hanya bergantung pada pengecas 5W yang didatangkan. Melalui pengecas 5W ini, Wiko Sunny3 Plus dapat dicas sekitar 3 jam 10 minit dari kapasiti bateri 0 hingga 100%.

Rumusan

Wiko Sunny3 Plus tidak direka pengguna yang memerlukan peranti berkuasa, namun ia ditujukan untuk pengguna yang menggunakan fungsi-fungsi asas. Pertama sekali, jika anda mempunyai adik atau anak-anak, peranti ini dapat memberi hiburan asas seperti kebolehan memainkan kandungan Youtube tanpa sebarang masalah. Ia juga boleh dijadikan peranti ini untuk memudahkan proses pembelajaran, melalui sejumlah aplikasi pendidikan yang boleh dimuat-turun di Play Store.

Seterusnya anda boleh menghadiahkan telefon ini kepada orang tua anda, kerana ia mampu mengakses sejumlah komunikasi moden hari ini. Peranti ini dapat menggalas sejumlah aplikasi komunikasi seperti WhatsApp untuk memudahkan mereka berhubung tanpa dikenakan sebarang caj. Peranti ini juga membolehkan mereka melihat kemaskini terbaru rakan-rakan atau keluarga melalui Facebook dan Instagram.

Atau anda boleh membeli peranti ini untuk kegunaan sendiri, lebih-lebih lagi yang sedang mencari telefon kedua. Ia dapat menggalas sejumlah perkara asas yang boleh dilakukan pada telefon utama anda, tanpa perlu berbelanja ribuan ringgit. Anda juga boleh menggunakannya sebagai peranti navigasi di dalam kereta, kerana telefon ini mempunyai sokongan data dan GPS secara terbina.

Pro
  • Rekaan belakang boleh dibuka untuk memudahkan proses pertukaran bateri
  • Hadir dengan rekaan skrin penuh dengan nisbah 18:9 yang moden
  • Dijana dengan Android Go untuk pengoptimasian peranti berspesifikasi rendah
  • Mampu menggalas sejumlah tugasan moden seperti kebanyakan peranti pintar yang lain
  • Mempunyai sokongan GPS untuk kebolehan navigasi
  • Hadir dengan slot dwi-sim bersama slot kad mikroSD secara berasingan
  • Menawarkan harga rendah untuk mengakses komunikasi moden
Kontra
  • Tiada sokongan LTE
  • Hadir dengan keupayaan kamera yang sangat asas
  • Menggunakan panel TN berbanding IPS LCD
  • Ketahanan bateri sederhana

Membeli peranti ini juga adalah lebih baik berbanding membeli telefon asas, kerana ia dijana dengan Android Go yang membolehkan anda menikmati aplikasi Android seperti peranti pintar yang lain. Anda boleh menggunakannya untuk WhatsApp, Facebook, dan sejumlah penggunaan moden hari ini, dengan akses paparan yang lebih besar. Pendek kata, Wiko Sunny3 Plus menawarkan sebuah peranti Android Go yang moden, dalam sebuah pakej peranti pintar yang ringkas dan berpatutan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd